Tuesday, June 2, 2009

Program bual bicara Otai mula disiarkan di TV9


DARIPADA filem, Otai ditukar menjadi siri televisyen yang yang membincangkan isu semasa dan pengalaman hidup seseorang. Program yang disiarkan menerusi TV9 setiap Isnin, bermula 1 Jun, jam 10 malam.

Setiap minggu Otai akan menampilkan tetamu jemputan istimewa untuk turut serta dalam isu yang dibincangkan.

Tetamu yang dipilih adalah berdasarkan kisah dan pengalaman hidup yang disampaikan. Penampilan pelakon dan dramatis tanah air yang terkenal disertakan bagi memperhebatkan rancangan ini.

Tetamu jemputan dan isu yang dibincangkan bukan saja meliputi masyarakat Melayu semata-mata. Malah, penyertaan dari kesemua etnik di Malaysia termasuklah Cina dan India melambangkan masyarakat yang majmuk di negara kita dan juga selari dengan konsep Satu Malaysia yang diperkenalkan oleh Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Tun Razak.

Selain berbicara dengan tetamu, penonton juga dapat berinteraksi bersama melalui pengacara Saiful Apek yang memegang watak Andy Armyn, seorang perantara yang lucu, periang dan dibantu oleh Azura lakonan Nasha Aziz merancakkan lagi rancangan ini.

Melalui paparan kisah hidup yang diceritakan sendiri oleh tetamu, Andy membawa penonton menyelami isu yang mereka alami melalui sedutan semula kisah yang mereka lalui agar penonton mendapat gambaran yang lebih jelas.

Di akhir rancangan ini pula, Andy akan mengulas bagaimana paparan sedutan berkenaan akan dapat dijadikan teladan oleh penonton di rumah atau di studio.

Lebih menarik, program Otai juga akan mengungkap kisah hidup tetamu jemputan ini di belakang tabir yang mana para kru juga merasai kisah hidup tetamu melalui interaksi di belakang kamera.

Pada setiap episod, pengacara rancangan akan menjemput seorang tetamu undangan (artis) untuk menceritakan mengenai pengalaman hidup yang pernah mereka alami.

Ketika tetamu bercerita, penonton akan dibawa mengembara bersama artis itu yang akan dibawa melalui lakonan semula yang dilakonkan oleh artis itu sendiri.

Setiap episod akan menampilkan tetamu lain yang terdiri daripada artis yang popular di persada tanah air manakala pengacara dan pembantu pengacara kekal sehingga ke episod terakhir. Diharapkan dengan adanya program yang seumpama ini, akan dapat menyemarakkan perpaduan sesama rakyat Malaysia.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: