Kumpulan K-9 paling bahaya, ada tiga lokap kurung peminjam
SHAH ALAM: Ketua kumpulan along paling berkuasa di Selangor adalah antara enam lelaki yang diburu polis kerana dipercayai terbabit merantai dan mengurung tiga lelaki di tingkat bawah sebuah rumah kedai di Sri Kembangan, Serdang, minggu lalu.
Kumpulan dikenali sebagai Kristal 9 Gems Enterprise atau K-9 itu, dikatakan paling besar, berpengaruh dan berbahaya di Selangor serta mampu membuat kutipan daripada peminjam sehingga RM40,000 sehari atau RM500,000 sebulan.
Ketua Polis Selangor, Datuk Khalid Abu Bakar, berkata ketua kumpulan itu dikenali sebagai Franco atau nama penuhnya Ong Leng Kok, 32, dan berperanan mengawal keseluruhan operasi K-9 di negeri ini.
Katanya, polis juga sedang memburu ketua kumpulan itu bagi daerah Klang, Chan Ching Fatt atau Ah Fat, 22, ketua daerah Ampang, Yong Hock Fai atau Alex, 25, dan Lee Chin Onn atau Kai Chi, 23, manakala maklumat dua lagi lelaki masih dikumpul.
Alamat terakhir Franco ialah Taman Cheras Indah; Ah Fatt (Kampung Bersatu Batu 13, Jalan Klang Puchong); Alex (Taman Kosas Ampang) dan Kai Chi (Pandan Perdana, Kuala Lumpur).
| KHALID menunjukkan rantai dan barangan lain yang diguna along pada sidang media di Ibu Pejabat Kontinjen Polis Selangor, semalam. Turut kelihatan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Selangor, Datuk Hasnan Hassan. |
"Gambar serta maklumat peribadi dua lagi lelaki akan disebarkan secepat mungkin. Kita sedang berusaha menjejaki semua suspek dan percaya mereka masih berada dalam negara," katanya pada sidang media di sini, semalam.
Khalid berkata, Kai Chi adalah pembantu Alex dan berperanan menculik mangsa yang gagal membayar balik pinjaman.
"Kumpulan ini mempunyai organisasi tersusun dan rangkaian di seluruh daerah di Selangor, selain tiga lokap untuk menahan peminjam, iaitu di Sri Kembangan, Gombak dan Pandan Indah," katanya.
Beliau berkata, polis sudah mengenal pasti ibu pejabat kumpulan itu dan akan mendedahkannya selepas semua suspek ditahan.
Khalid berkata, polis juga mengenal pasti beberapa lagi kumpulan along di Selangor, tetapi buat masa ini pihaknya memberi tumpuan kepada K-9.
Katanya, maklumat mengenai keenam-enam suspek kumpulan K-9 itu diperoleh selepas polis menahan dua beradik di sebuah rumah di Taman Bukit Permai, Ampang, Sabtu lalu.
"Dua beradik itu berperanan sebagai tukang simbah cat dan menculik peminjam yang gagal membayar hutang," katanya.
Khalid berkata, polis menemui pelbagai peralatan seperti rantai, tukul, cat, gam, fail dan lesen memandu peminjam serta pelbagai papan tanda iklan pinjaman dalam serbuan di pejabat berdekatan rumah suspek.
Kedua-dua lelaki berumur dalam lingkungan 20-an itu kini direman bersama tiga lagi lelaki yang ditahan sebelum ini.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: