MINGGU lalu, sedang Cik Normah asyik bersantai di rumah kerana mengambil cuti tahunan, Donna Marcella yang sudah lama tidak muncul, tiba-tiba muncul kembali tanpa disedari. Cik Normah pendekkan cerita, Donna beritahu yang vokalis Meet Uncle Hussain (MUH), Lan masih buat perangai yang keterlaluan hingga menyusahkan orang sekelilingnya. Laa... Cik Normah ingat Lan sudah okey, hakikatnya dia masih seperti dulu, malah lebih teruk perangainya.
Nampaknya, kemungkinan dan potensi zaman MUH berakhir dan berkubur akan menjadi kenyataan memandangkan sikap Lan sendiri yang sedikit sebanyak mencalar imej kumpulan itu. Dalam hati kecil Cik Normah berharap sungguh kumpulan yang mula menampakkan revolusi dalam industri muzik dengan kebangkitan band indie akan terus bertahan. Tapi kalau si empunya badan yang selalu mendatangkan masalah, nampaknya semuanya akan terus menjadi mimpi saja.
Cik Normah dapat tahu, Lan juga selalu memburuk-burukkan nama individu dan pihak yang terbabit secara langsung dengan MUH. Kenapa Lan harus bersikap sedemikian, apa untungnya memburukkan nama kumpulan sendiri? Malah, Lan juga difahamkan sering mengelak urusan rasmi yang memerlukan pembabitannya. Tapi kalau soal menuntut bayaran, Lan cepat bertindak.
Melihat situasi sekarang, Lan yang bakal bertunang tidak lama lagi dengan kekasih hatinya, Mala memang memerlukan wang untuk melunaskan perancangan yang dilakukan. Bukan orang tidak faham, tapi dengan sikap menjengkelkan Lan, tak mustahil Lan akan merosakkan reputasinya sendiri. Ibarat seperti menggali kubur untuk diri sendiri.
Cik Normah pun malas lagi nak cakap apa-apa. Sedangkan Lan sendiri yang tidak beriya-iya untuk menjaga nama baik kumpulannya, lalu kenapa perlu orang lain yang tidak ada kena-mengena bersusah-payah nak terbabit risaukan dirinya? Kepada Lan, bangkit dan sedarlah sebelum yang keruh terus menjadi keruh.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: