![]() |
| christian Bale dalam satu babak daripada filem Terminator Salvation. |
TERMINATOR muncul kembali ketika dunia bergolak dengan keruntuhan sosial dan ekonomi yang kacau. Dia muncul untuk menguasai masa depan dan juga masa silam manusia. Dan sebagaimana sebuah epik silam dalam cerita-cerita penglipur lara pasti ada seorang wira yang akan mendepani ancaman musuh tersebut dan seterusnya menyelamatkan umat manusia daripada hancur dan pupus.
Ketika Terminator dihasilkan 15 tahun lalu ia hanyalah sebuah filem fiksyen sains dengan nuansa seram (horror) yang berbudget rendah sahaja iaitu US$6.4 juta. Filem arahan James Cameron ini muncul bersama filem Alien (1979) dan Blade Runner (1982), kedua-duanya arahan Ridley Scott ketika genre fiksyen sains kurang popular.
Filem-filem ini melihat kemunculan makhluk asing kesan daripada kemajuan teknologi dan sains yang kemudiannya mengancam kehidupan dan tamadun manusia. Arnold Schwarzenegger membawa watak Terminator, watak yang tidak punya perasaan simpati, tanpa humor, tidak boleh dihalang dan membawa misi maut itu adalah ikon daripada musuh yang sangat bahaya yang berubah menjadi hero penyelamat.
Selepas mengarahkan Aliens (1986), James Cameron kembali mengarahkan sekuel Terminator iaitu Terminator 2: The Judgement Day (1991). Sekuel ini bukan sahaja lebih besar daripada filem pertama, malah lebih baik dan lebih berjaya dari segi pulangan keuntungan. Tetapi yang menariknya, Terminator 2 menampilkan watak wira wanita luar biasa hebat iaitu Sarah Connor (Linda Hamilton) yang perlu menyelamatkan anaknya sendiri John Connor (Eddie Furlong) iaitu bakal penyelamat manusia masa depan daripada dimusnahkan oleh Skynet (dicipta daripada teknologi komputer dan kuasa nuklear) yang menghantar dua Terminator iaitu "cyborg".
Jika Terminator yang pertama dilihat sebagai filem fiksyen sains dengan pendekatan horror dan dengan watak daripada sisi gelap manusia itu sendiri, tetapi kemunculan Terminator 2 telah membawa beberapa tafsiran menarik. Penganalisis sosial Ziauddin Sardar melihat Terminator 2 ini sebagai filem dengan perwatakan moden dan pasca moden. Watak cyborg T800 (yang dimainkan oleh Arnold) adalah watak yang membawa simbol kekuatan, kepastian dan kebenaran terpaksa menentang T1000, cyborg daripada besi cair yang boleh menyerap dan membentuk dirinya kepada apa sahaja dengan kekuatan luar biasa yang mampu membawakan kemusnahan besar.
Pertembungan kedua-duanya sebenarnya membawakan pertembungan dua ideologi yang dikonsepkan oleh barat iaitu antara modernisme (sains, agama dan ilmu yang menentukan kepastian dan identiti) dan pascamodernisme yang membawa misi kehancuran apa sahaja yang dianggap realiti dan kebenaran.
Apa yang menarik masyarakat pasca-moden mempunyai hubungan dengan filem (sinema) sebagai agen yang membentuknya. Dalam Terminator 2 selain cyborg T800 yang berubah daripada pembunuh kepada seorang bapa (yang melindungi John Connor) adalah perubahan yang berlaku kepada Sarah Connor daripada seorang dara (dalam Terminator asal) kepada seorang ibu (dalam Terminator 2), tetapi seorang ibu yang mengambil peranan bapa untuk melindungi anaknya daripada mesin pembunuh. Sarah menjadi ikon baru feminis dengan bentuk tubuh yang sasa.
Terminator Salvation yang terbaru dalam francise Terminator adalah arahan McG daripada lakonlayar tulisan John Brancato dan Michael Ferries. Terminator Salvation mengambil latar 2018, tahun di mana manusia terpaksa berperang dengan mesin-mesin pemusnah yang dihantar oleh Skynet. Terminator yang masih mampu menyerap bentuk manusia ini mempunyai misi untuk memusnahkan Kyle Reese (Anton Yelchin) seorang remaja yang kemudian akan menyelamatkan Sarah Connor dan kemudian John Connor (Christian Bale) yang merupakan ketua kepada pasukan penyelamat manusia dalam peperangan menentang mesin Skynet.
John Connor perlu menentang T800 demi menyelamatkan Kyle Reese yang sebenarnya akan menjadi bapanya (watak protagonist ini muncul dalam Terminator 1). Bagaimanapun Kyle Reese sebelum itu telah terlebih dahulu menyelamatkan Marcus (Sam Worthington) daripada buruan Terminator. Marcus sendiri sebenarnya adalah cyborg yang diprogramkan oleh Skynet (tubuhnya dipinjamkan dari seorang banduan) tetapi kemudian semakin percaya dan cuba memahami bahawa dia adalah manusia yang perlu menyelamatkan Kyle daripada Skynet.
Naratif dalam Terminator Salvation mungkin sedikit merumitkan kerana ia tentang perjalanan masa yang pergi balik. Konsep masa yang menghidupkan tamadun manusia dikacau dan dikaburkan dalam filem ini. Manusia tahun 2018 iaitu John Connor perlu menyelamatkan seorang remaja Kyle Reese yang nanti akan menjadi bapanya. Manakala Skynet perlu memusnahkan Kyle Reese yang nanti akan menzuriatkan John Connor yang menjadi ketua penentang mesin terminator yang dikirim oleh Skynet untuk memusnahkan manusia.
Kesemua cerita seakan berundur kebelakang dan juga bergerak ke hadapan. Peperangan dalam filem ini adalah peperangan antara manusia dan mesin ciptaannya sendiri.
Kesemua plot dan aksi dalam filem ini tertumpu kepada penentangan John Connor terhadap mesin-mesin pemusnah (dalam bentuk rangka tubuh manusia).

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: