Tuesday, June 2, 2009

RTM siasat penerima tender TV


DR. Rais Yatim (kiri) menerima cenderamata daripada Jurey Latiff Mohd. Rosli pada Mesyuarat Agung Kedua PTVM di Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.


KEMENTERIAN Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan akan menyiasat senarai nama syarikat yang selama ini telah menerima tender membekalkan rancangan-rancangan televisyen (TV) di saluran TV1 dan TV2.

Menterinya, Datuk Seri Dr. Rais Yatim berkata, siasatan itu bagi membolehkan tender pembekalan rancangan- rancangan TV daripada syarikat-syarikat swasta yang telah dan akan memohon dapat diagih-agihkan secara lebih adil pada masa depan.

Katanya, RTM yang terletak di bawah kementerian itu akan sentiasa berusaha membantu syarikat-syarikat pembekal rancangan TV di negara ini demi memastikan stesen TV kerajaan itu mendapat bekalan rancangan-rancangan yang lebih bermutu untuk para penontonnya.

"Selama ini RTM memperuntukkan sekitar RM200 juta setahun bagi membeli rancangan-rancangan termasuklah drama, animasi dan muzik untuk siaran TV1 dan TV2.

"Sebanyak 70 peratus peruntukkan itu digunakan bagi membiayai pembelian rancangan-rancangan terbitan syarikat-syarikat produksi tempatan. Sementara 30 peratus lagi digunakan untuk membeli produk dari luar negara.

"Persoalannya, siapa yang dapat 70 peratus itu? Kita akan siasat dan kenal pasti syarikat mana yang mendapat kuota tersebut," katanya sebelum merasmikan Mesyuarat Agung Kedua Persatuan Penerbit TV Malaysia (PTVM) di Angkasapuri, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Menurut Dr. Rais, sistem pemberian tender bukan sahaja akan diperhalusi, malah beliau juga berjanji untuk memastikan agar rancangan-rancangan TV yang dibekalkan dibayar pada harga berpatutan kepada para pembekal.

Beliau turut bercadang untuk menubuhkan suatu panel khas yang berperanan menilai semula mutu karya-karya yang akan dibekalkan kepada RTM bagi memastikan hanya rancangan-rancangan berkualiti disiarkan menerusi TV1 dan TV2.

"Panel khas itu kelak akan menilai mutu rancangan-rancangan yang akan dibekalkan supaya ia selaras dengan hasrat Perdana Menteri kita, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mahu melahirkan masyarakat 1 Malaysia.

"Ini kerana rancangan-rancangan TV kita ditonton oleh kira-kira 12 juta anak-anak muda. Sebab itu kita mahu menyajikan hanya rancangan-rancangan yang baik dan bermutu sahaja kepada mereka ini," ujarnya.

Selain itu, Dr. Rais yang pernah menjadi Menteri Penerangan pada awal tahun 1980-an juga menitikberatkan soal penggunaan Bahasa Melayu yang betul dalam setiap rancangan yang akan dibekalkan kepada TV1 dan TV2 kelak.

Tambahnya lagi, beliau akan memastikan supaya penggunaan Bahasa Melayu dalam rancangan-rancangan TV1 dan TV2 akan membantu mengangkat martabat Bahasa Kebangsaan itu serta menyatupadukan rakyat berbilang kaum di negara ini.

"Mereka (penerbit TV) haruslah menggunakan Bahasa Melayu yang tepat. Saya harap dialog dalam drama contohnya, tidak menggunakan bahasa rojak iaitu campuran Melayu dan Inggeris. Perkara seperti itu boleh meranapkan bahasa kita sedikit demi sedikit.

"Kita harus sedar bahawa bahasa adalah antara medium yang penting untuk mempopularkan sesuatu perkara itu. Contohnya, orang yang ditangkap kerana ISA (Akta Keselamatan Dalam Negeri) kerana bahasa, Shakespeare popular juga kerana bahasa.

"Sebab itu kita wajib pelihara bahasa kita kerana tanpa bahasa, maka kita tidak akan ada identiti sendiri. Tanpa identiti kita mungkin akan 'dijual' selonggok lima sen oleh bangsa-bangsa penjajah," katanya penuh makna.

Sementara itu Presiden PTVM, Jurey Latiff Mohd. Rosli pula menyambut baik inisiatif, pandangan dan sokongan yang telah diberi oleh Dr. Rais bersama kementerian yang kini sedang diterajuinya itu.

Jurey berkata, soal sistem dan pemberian tender serta lain-lain masalah yang timbul antara PTVM dan RTM contohnya, dapat diselesaikan dengan lebih mudah jika adanya sebuah jawatankuasa penyelaras yang menghubungkan keduanya.

"Di sini saya mahu mencadangkan supaya sebuah jawatankuasa penyelaras antara kerajaan (RTM) dan PTVM bagi membantu industri ini dapat diwujudkan. Ia akan memudahkan banyak urusan berhubung pembekalan rancangan-rancangan TV oleh ahli-ahli PTVM pada masa depan," ujarnya.

Dalam pada itu, Jurey juga berpendapat langkah RTM membeli rancangan-rancangan TV yang bermutu boleh membantu hasrat kerajaan membina jati diri masyarakat negara ini.

"Bukan setakat mementingkan rancangan bermutu, pembekalan lebih banyak rancangan TV akan mempelbagaikan lagi jumlah siaran terutamanya di saluran TV1 dan TV2. Ini kerana, sejak RTM menswastakan rancangan TV pada 1984 ramai penerbit yang telah mendapat manfaatnya.

"Selain itu, dengan cara ini industri penerbitan rancangan-rancangan TV di negara ini akan lebih berkembang. Ini kerana industri TV akan menjadi jumud jika tidak ada rancangan baru diterbitkan kerana terlalu bergantung kepada rancangan-rancangan lama yang disiarkan berulang kali," katanya lagi.

Pada majlis itu juga, seramai 64 wakil syarikat yang menganggotai PTVM hadir pada majlis itu di mana mereka turut menyerahkan Doktrin Televisyen Nasional hasil cetusan idea persatuan tersebut kepada Dr. Rais.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: