Friday, June 19, 2009

Penerbit sangkal dakwaan Mentor gagal pikat penonton


AJAI mempertaruhkan Chaq yang mendapat peratusan undian keseluruhan tertinggi iaitu 190.9.

MASIH ada pengikut setia. Demikian dapat disimpulkan mengenai program Mentor musim ketiga yang sedang bersiaran di TV3 kerana ia masih mendapat sambutan yang menggalakkan di kalangan penonton walau pun ada yang mendakwa program ini semakin suam-suam kuku.

Bermula daripada kisah yang kurang enak melatari golongan artis yang dipilih memikul tugas sebagai mentor sehinggalah protege yang terbabit musim ini juga bagaikan kurang mantap atau paling sesuai dikatakan hanya sekadar tangkap muat.

Namun semua itu sekadar pandangan mata kasar kerana setiap malam Ahad ketika program itu disiarkan, ia masih menjadi tumpuan dan pilihan penonton di rumah mahupun di dewan Majlis Bandaran Shah Alam. Bukti paling kukuh menyokong kenyataan itu disokong sendiri Muhammad Sufian Isa yang bertindak sebagai Penerbit dan Pengarah Mentor 3.


“Episod minggu lalu kita mengumpul rating mencecah hampir 2.9 juta. Setakat ini, penerimaan program itu sangat baik dan kita akan cuba kekalkan prestasinya hingga ke peringkat akhir. Saya sendiri kurang pasti dengan persepsi sesetengah orang yang berpendapat Mentor 3 sudah suram. Malah ada yang memberi cadangan meminta Mentor 3 perlu dipertingkatkan.

“Dengan format baru memperkenalkan Nas Ahmad sebagai penemubual di belakang pentas dan menjemput peserta yang gagal terpilih di dalam Mentor membuat persembahan, ia adalah bukti kami membuat sehabis baik bagi menarik minat penonton.

“Kami sentiasa mengambil perhatian setiap kritikan dan pandangan untuk terus memantapkan program ini. Begitu juga dengan Mentor yang memikul amanah besar terhadap protege masing-masing,” katanya sewaktu sidang media selepas konsert minggu ketiga Mentor 3 berakhir.

BIARPUN mengundang Tomok, Evo gagal menempah tiket ke peringkat seterusnya.

Hakikatnya Mentor 3 tidak berdepan dengan saingan stesen TV lain kerana tiada program realiti popular atau rancangan yang bersiaran serentak. Paling tidak pun, Mentor 3 perlu bersaing dengan Bintang RTM 2009.

Sementara itu, konsert minggu lalu yang menyaksikan penyingkiran pertama dilakukan bagi kumpulan A dan nasib tidak menyebelahi kumpulan Evo, protege Jaclyn Victor (Jac) yang dianggotai Khairul Najmuddin Abu Samah (Hyrul) dan Halhusani Razmi (Sani).

Emosi Jac juga terganggu pada malam itu dan jelas kelihatan sewaktu di akhir rancangan apabila dia dan Evo berduet mendendangkan lagu Pergi Untuk Kembali nyanyian asal Rio Febrians.

Memperoleh markah terkumpul sebanyak 161.7 peratus, kekalahan tipis Evo hanya kurang 0.7 untuk mengatasi kebangkitan Fira yang mula melonjak pada saat akhir menerusi undian SMS dengan markah keseluruhan162.4 peratus. Kumpulan duo itu sendiri dilihat bagaikan kurang serasi apabila dikatakan tidak mampu mengadun suara dengan baik.

FIRA berduet dengan Faizal Tahir mendendangkan lagu Terlanjur Cinta dendangan asal Rossa dan Pasha daripada kumpulan Ungu.

“Tipulah kalau kami kata tidak kesal dengan keputusan ini. Sebagai sebuah kumpulan duo kami sudah cuba melakukan yang terbaik tapi mungkin juga ia belum cukup mengesankan lagi. Paling sedih ialah kami sudah menghampakan Jac sendiri,” kata Hyrul ringkas mewakili temannya, Sani.

Air mata Jac tertumpah lagi sewaktu sidang media berlangsung kerana ternyata juara Malaysian Idol yang pertama itu bagaikan kecewa. Mungkin juga sebagai manusia biasa yang mempunyai hati dan perasan, Jac bagaikan terluka dengan pandangan dirinya tidak layak menggalas tugas sebagai mentor berbanding artis lain.

Bayangan negatif yang bermain sejak awal mengatakan anak didiknya sukar bekerjasama dan dibantu pula dengan mentor yang kurang popular sepertinya menjadi alasan Evo disingkir.

“Saya sudah cuba sedaya upaya berkongsi pengetahuan dan pengalaman dengan mereka. Banyak masa dikorbankan demi Evo dan saya juga turut meminta bantuan pakar seperti Syafinaz Selamat untuk memantau vokal mereka dan Pat Ibrahim untuk aspek tarian. Saya menangis bukan sebab kalah kerana yakin sudah buat yang terbaik. Malahan, sejak mula saya membimbing Evo bukan untuk menang.

“Mereka boleh menyanyi, namun bukan rezeki mereka untuk mara lagi. Mungkin juga faktor masa yang singkat menyebabkan mereka bagaikan kurang persediaan. Mungkin juga salah saya yang mahu dan ‘gatal’ inginkan dua protege sedangkan mentor lain hanya satu. Apapun, pengalaman berada di dalam Mentor menjadi percubaan yang terbaik untuk mereka mengasah bakat.

“Saya sendiri pernah melalui perasaan yang sama ketika menyertai Malaysian Idol pertama. Bukan soal wang yang dicari sebaliknya ia berkaitan perihal keghairahan berkongsi bakat dengan orang lain. Menang satu bonus. Jauh lagi perjalanan mereka dan saya harap dapat bekerjasama membimbing mereka lagi selepas ini, itu pun jika mereka mahukan khidmat saya lagi. Peluang harus diberikan kepada mereka,” kata Jac yang belum mempunyai perancangan tertentu terhadap Evo.

Selain Fira protege kepada Lah Ahmad, Chaq yang dibimbing Ajai turut layak bersaing ke peringkat seterusnya. Minggu depan, giliran protege kumpulan B, Keena (Mentor, Awie), Thye (Adibah Noor) dan Black (Mas Idayu) pula untuk berentap menunjukkan kehebatan masing-masing. Namun hanya dua saja peserta yang akan ke peringkat akhir pada 15 Julai depan.

INFO

Mentor 3


  • Disiarkan setiap hari Ahad jam 9 hingga 10.30 malam

  • Jurnal Mentor disiarkan setiap Ahad jam 5.30 hingga 6 petang, manakala Jurnal Protege disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat jam 7.28 malam

  • Dihoskan oleh Ally Iskandar
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: