Friday, June 19, 2009

Melodi berwajah baru kekal elemen sensasi



nas (tengah) bersama pengacara dan anggota Skuad Melodi.

Program terbitan TV3 cecah rating 2.3 juta, bakal penuhi kehendak penonton

SEJAK mula diterbitkan pada tahun 1992, Melodi bagaikan tidak punya masa untuk berhenti bersiaran. Aktiviti persada hiburan yang sentiasa bergolak mendorong Melodi untuk terus tampil setiap minggu dengan menghidangkan paparan yang dinanti umum dalam cara pengolahannya yang tersendiri.

Memasuki era awal 2009 lalu, Melodi mencatat sejarah baru dengan pencapaian rating tertinggi iaitu 2.3 juta. Oleh kerana sambutan yang diterima sehebat ini, maka program Melodi perlu diteruskan penerbitannya untuk tahun demi tahun mendatang bagi memenuhi kemahuan penonton serta peminat setianya.


“Pelbagai faktor menyumbang kepada pencapaian Melodi iaitu dari segi kualiti penerbitan, kandungan paparan, malah promosinya perlu diperkemas dan dimantapkan lagi bagi mengekalkan prestasi serta kredibilitinya sebagai antara program paling popular di TV3. Ini berdasarkan hakikat bahawa bukan mudah mencipta kejayaan, tapi bukan mudah juga untuk mengekalkan kejayaan itu.

“Tahun silih berganti, fungsi Melodi turut menempuh reformasi. Jika dulu Melodi hanya berfungsi menghidangkan paparan sekitar hiburan tempatan dan antarabangsa, kini secara tidak langsung Melodi menggalas suatu tanggungjawab umum iaitu memaparkan masalah yang diadukan kepada Melodi sama ada oleh penggiat seni, pengamal media, malah penonton dan masyarakat amnya. Ini bukan suatu tanggungjawab kecil, dan unit produksi Melodi sentiasa bersedia untuk menyempurnakan tanggungjawab ini sebaik mungkin seadilnya,” kata Penerbit Melodi, Nas Ahmad

Pasti ramai masih ingat suatu ketika dulu perhatian utama atau minat penonton Melodi tertumpu kepada pengacara saja. Situasi ini kian berubah. Selain pengacara, kini ramai memberi tumpuan utama atau meminati Melodi kerana isi kandungannya, termasuk wartawannya.

MELODI masih mengekalkan Wahid dan Fara Fauzana sebagai pengacara.

Kerana itu Skuad Melodi kini ditampilkan. Ia dianggotai oleh sekumpulan lima wartawan penyiaran hiburan yang kesemuanya punyai ketrampilan dan kehebatan tersendiri.

Skuad Melodi diterajui penerbit rancangan itu sendiri iaitu Nas Ahmad. Segmen popular Terjah yang dikendalikannya akan diteruskan dan tampil pada masa tertentu. Selain Nas, satu-satunya wartawan Cina iaitu Michelle Wee juga akan terus menggalas tugasan mengendalikan segmen Serkap yang kian sinonim dengan dirinya.

Bagi segmen Kes, wartawan Zamzuri Zaini atau Ayau akan mengendalikannya. Azmi Jamsari pula tampil dengan segmen baru iaitu S.A.M.A.N (Selesaikan Apa Masalah Artis Negara). Seorang lagi wartawan iaitu Azwan Azmi akan mengendalikan segmen baru iaitu Bicara Filem, sebuah segmen yang khusus membincang dan memaparkan sekitar dunia perfileman tempatan dan antarabangsa.

Walaupun setiap anggota Skuad Melodi mempunyai segmen tersendiri, namun kesemua mereka turut memaparkan hasil tinjauan untuk segmen lain seperti Panas, Album, Konsert, Kontroversi, Teater, Sensasi, Eksklusif.

Memandangkan hasil paparan Melodi yang semakin menyeluruh, beberapa segmen baru akan mula diperkenalkan. Ini bagi menepati cita rasa penonton yang semakin bervariasi. Antara yang baru ialah Usik-Usik Aje, Gegar!, Potensi, Simpati, Tahniah, Sila Jawab, Takziah dan Gosip.

Mulai Ahad ini, Melodi muncul dengan wajah baru yang merangkumi montaj, grafik dan set. Kemunculan ini penting kerana memikirkan penonton dan peminat setia sentiasa berhak untuk mendapat ‘kesegaran’ bila menonton program yang paling mereka minati ini. Melodi era 2009 berwajah baru ini masih mengekalkan pasangan pengacara Wahid dan Fara Fauzana.

Sudah menjadi kelaziman, setiap Ahad jam 12.30 tengah hari, lebih dua juta rakyat Malaysia akan berkumpul seisi keluarga menonton Melodi siaran langsung di TV3. Jika menurut perhatian dasar, sudah tentu paparan terkini dan sensasi menjadi tumpuan ramai. Namun Melodi merentasi situasi itu.

Menurut kajian pihak penerbitan Melodi, penonton Melodi bukan sekadar menantikan paparan terkini saja, malah mereka turut meminati garapan Melodi yang tersendiri walaupun sesuatu berita atau isu itu telah pun diketahui umum.

Kewujudan sumber maklumat alam maya atau internet juga ternyata tidak menjejaskan kadar penonton Melodi yang menontonnya menerusi televisyen. Malah khalayak penonton Melodi semakin meningkat apabila ia dapat ditonton secara online di seluruh dunia menerusi www.tv3.com.my.

Menerusi laman sesawang itu penonton di seluruh dunia dapat menonton bukan saja episod terbaru, malah koleksi episod terdahulu dalam tempuh siaran selama setahun.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: