Friday, June 19, 2009

Jendela fahami budaya Jepun


MASAHITO hadir untuk melancarkan Festival Filem Jepun keenam yang berlangsung di GSC Mid Valley, malam kelmarin.

Festival filem dari Negara Matahari Terbit berlangsung mulai semalam sehingga 26 Jun

TIDAK dinafikan saban tahun, Festival Filem Jepun di Malaysia yang sudah memasuki tahun keenam penganjurannya adalah salah satu acara yang amat ditunggu-tunggu oleh penggemar filem terbitan negara Matahari Terbit itu.

Bermula semalam, acara tahunan ini sudah memulakan misinya di Golden Screen Cinemas Kuala Lumpur dan ia direalisasikan dengan kerjasama GSC International Screen, Cinema Online, MYFM dan Kelab Jepun Kuala Lumpur.


Sepanjang festival filem ini diadakan sejak lima tahun lalu, ia boleh dikatakan menjadi pencetus kegemilangan dalam proses pengkaryaan serta meningkatkan pembudayaan serta apresiasi penonton terhadap filem dari negara itu.

Malah ketika berucap pada majlis pelancarannya, Duta Besar Jepun ke Malaysia Masahiko Horie turut menyifatkan acara seumpama ini boleh dijadikan landasan untuk membuka minda dan pandangan masyarakat secara positif terhadap negara Jepun umumnya dan khususnya masyarakat mereka.

“Filem kami boleh diibaratkan sebagai jendela untuk anda semua memahami budaya kami. Saya menaruh harapan pertukaran budaya seperti ini mampu mengukuhkan lagi fahaman serta tali persahabatan antara Jepun dan juga Malaysia,” katanya pada majlis yang diadakan di Golden Screen Cinema Mid Valley, Kuala Lumpur, malam kelmarin.

Hadir sama Ketua Pegawai Operasi GSC, Koh Mei Lee, Pengarah Yayasan Jepun Kuala Lumpur, Akihiko Murata, pengarah filem bebas tempatan serta tetamu jemputan lain.

Untuk tahun ini, sebanyak lapan buah filem akan ditayangkan membabitkan dua lokasi iaitu di GSC Lembah Klang dan juga Pulau Pinang. Di Lembah Klang, dua pawagam yang dipilih adalah GSC Mid Valley dan GSC 1 Utama.

Manakala di Pulau Pinang, tayangan akan diadakan di GSC Gurney Plaza. Di lembah Klang, tarikh tayangan adalah pada 18 Jun hingga Isnin ini. Sementara di GSC Gurney Drive, tayangan hanya bermula pada 26 Jun selama dua hari.

Daripada lapan filem yang dipilih, salah satunya adalah filem yang berjaya memenangi kategori Filem Asing Terbaik sewaktu Anugerah Akademi ke-81 lalu iaitu Departures arahan Takita Yojiro.

“Filem ini dipilih untuk ditayangkan kerana ia menceritakan mengenai bagaimana seseorang itu melihat kehidupan dan kematian dalam perspektif yang berbeza. Malah, filem ini juga kaya dengan falsafah dan paling penting, ia mendapat pengiktirafan sewaktu Anugerah Akademi, Februari lalu,” katanya sambil memberitahu tujuh filem lain itu juga bukan calang-calang kerana pernah memenangi anugerah sewaktu bertanding di peringkat antarabangsa.

Tujuh filem lain yang ditayangkan termasuklah PACO and the Magical Book (Nakashima Tetsuya), All Around Us (Hashiguchi Ryosuke), Always-Sunset On Third Street-2 (Yamazaki Takashi), After School (Uchida Kenji), Breathe In, Breathe Out (Shinora Tetsuo), How To Become Myself (Ichikawa Jun) dan The Bandage Club (Tsutsumi Yukihiko).

Bagi mereka yang ingin menyaksikan filem ini, harga tiket adalah RM5 kecuali filem Departures yang akan dijual dengan harga normal. Semua tiket boleh didapati di pawagam yang menyertainya. Mereka yang ingin mengetahui jadual tayangan bolehlah meluncur ke laman sesawang www.gsc.com.my.

Pada majlis itu, tetamu kemudian disajikan dengan tayangan filem Departures. Ini adalah festival filem antarabangsa ketiga yang berlangsung di GSC International Screen selepas Festival Filem Hong Kong pada bulan Mac dan Festival Filem Perancis, bulan lalu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: