Sunday, June 7, 2009

Peluang bercuti sambil belajar


Apalah agaknya yang diborak Aznil (kanan) dengan Farid Ridzuan (tengah) dan Noor Amy Ismail dari Media Prima?


PANIK dan teruja barangkali terjemahan paling tepat berhubung perasaan 28 anggota rombongan Anugerah Skrin 2008 ke Los Angeles, Amerika Syarikat anjuran syarikat Media Prima Berhad baru-baru ini.

Masakan tidak, kesemua anggota rombongan itu pada awalnya sangat resah dengan laporan mengenai ancaman Influenza A (H1N1) yang melanda dunia.

Penulis tidak ketinggalan dihantui rasa gementar kerana kunjungan kami ke negara yang menjadi antara negara terawal menerima ancaman virus yang boleh membawa maut itu.

Bagaimanapun, suasana berubah seperti tiada apa yang berlaku sebaik penulis dan anggota rombongan lain yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Los Angeles.

Perjalanan hidup masyarakat di sana begitu normal dan tiada pula kebimbangan di kalangan penduduk di negara Amerika berhubung virus yang menjadi topik hangat di seluruh dunia.

Senario itu melegakan kami. Doa di hati agar segala agenda yang diatur oleh penganjur berjalan lancar.

Kesudahannya selama hampir seminggu di sana, banyak rakaman menarik yang dibuat oleh penulis dan rakan-rakan yang lain. Perjalanan itu yang turut disertai oleh tiga artis popular tanah air, Aznil Nawawi, Normah Damanhuri dan Mr. Os berjalan lancar dengan pelbagai gelagat dan 'warna sebenar' rakan dapat dilihat.

Seperti kata Mr. Os kepada penulis, kehadirannya dalam rombongan itu mendedahkan dia kepada sikap dan personaliti rakan-rakan yang selama ini hanya dilihat dari jauh.

"Aku banyak belajar benda di sini. Belajar mengenai ilmu persahabatan, belajar mengenai corak kehidupan masyarakat asing dan paling utama belajar mengasihi negara sendiri.

"Betul kata pepatah, hujan emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri," kata Mr. Os sebelum kami berangkat beberapa jam untuk meninggalkan Los Angeles untuk pulang ke tanah air.

Anggota rombongan yang menginap Hotel Crowne Plaza pada hari pertama dibawa ke Universal Studios untuk acara makan malam.

Kami tidak berkesempatan mengadakan lawatan pada hari yang sama. Sebaliknya, lawatan ke studio yang popular itu dilakukan beberapa hari selepas ketibaan.

Seterusnya lawatan pada keesokan hari dan hari-hari berikutnya diteruskan dengan agenda berkunjung ke Warner Bros Studios dan Sony Pictures Studios.

rombonganSebahagian besar daripada anggota rombongan yang kali pertama tiba di sana begitu kagum dan teruja dengan kelengkapan studio serta teknologi yang diguna oleh karyawan Hollywood.

Seperti kata Farid, tujuan lawatan itu ialah untuk memberi pendedahan dan ilmu buat karyawan agar sama-sama berkongsi perkara yang baik untuk dimanfaatkan di negara sendiri.

"Bahkan pendedahan yang diterima di sini banyak mengubah mentaliti karyawan kita dalam berkarya. Ini saya anggap satu kejayaan yang cukup bermakna buat mereka para pemenang," jelas Farid dalam perbualan dengan wartawan tempatan di Los Angeles pada sesi lawatan itu.

Kunjungan seterusnya ialah ke Universal Studios. Di situlah pusat perkembangan industri perfileman utama di Hollywood.

Ya, apa lagi yang boleh dijelaskan kalau bukan karyawan Hollywood sememangnya sangat bijak 'menipu' kita dengan teknologi dan kepakaran yang mereka ada. Kita yang menonton filem-filem mereka menerimanya dengan bulat-bulat 'pembohongan' mereka.

Formula itu nampaknya benar-benar membuatkan mereka berjaya dan gah sebagai pembikin filem popular.

Acara yang paling dinantikan anggota rombongan pastinya hari membeli-belah di pusat membeli-belah terkenal, Camarillo Factory Outlet yang jarak perjalanan dari hotel kami menginap mengambil masa satu setengah jam.

Hampir kesemua yang mengikuti rombongan berhabis-habisan. Masakan tidak, Aznil yang hanya datang dengan sebuah beg kecil, membawa tiga beg besar yang sarat dengan pakaian untuk dihadiahkan kepada ahli keluarganya.

Bayangkan, jenama-jenama hebat antarabangsa seperti Coach, Spade Kate, Timberland, Giorgio Armani, Tommy Hilfiger, GAP, DKNY, Calvin Klein dan lain-lain dijual begitu murah sekali.

Untuk makluman, seharian di Camarillo tidak cukup rupanya sehingga kunjungan ke tempat yang sama dibuat sekali lagi pada hari terakhir kami berada di Los Angeles.

"Memang murah barang-barang di sini. Tak cukup langkah untuk berjalan dan tak cukup tangan nak angkut barang," kata Aznil dengan jujur.

Banyak lagi sesi lawatan yang dianjurkan termasuk bersiar-siar di Hollywood Boulevard iaitu destinasi yang wajar dikunjungi jika sesiapa saja berkunjung Hollywood.

Kesibukan di sini turut dimeriahkan dengan kehadiran karakter-karakter terkenal Hollywood yang berkeliaran mencari 'mangsa' yang mahu bergambar kenangan dengan mereka.

Yang turut menjadi tumpuan juga sudah tentu di laluan bintang, Walk of Fame yang memahat nama bintang-bintang terkenal Hollywood di sepanjang jalan berkenaan.

Banyak lagi pengalaman yang mahu dikongsi, sayang sekali ruangan ini terlalu terhad untuk menceritakan segala-galanya. Walaupun tidak banyak, namun karyawan yang diundang termasuk pembikin filem, drama, penerbit TV memperoleh sedikit sebanyak pengalaman dan ilmu di sana.

Khabarnya, Media Prima akan meneruskan usaha menawarkan ganjaran sedemikian buat pemenang Anugerah Skrin pada masa depan.

Ini kerana syarikat itu optimis, usaha itu mampu menyuntik semangat dan motivasi buat pemenang demi kemajuan karier seni mereka.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: