Sunday, June 7, 2009

Kembara Haliza ke Australia


HALIZA menari gembira bersama salah seorang orang kaum Aborigine Australia yang masih memperjuangkan hak mereka sebagai peribumi.


BEKERJA, bercuti dan menimba ilmu serta pengalaman. Itu yang menjadi rencah kembara Haliza Misbun ke Australia baru-baru ini.

Memilih negara kanggaru itu sebagai destinasi Jurnal Kembara musim kedua, ini kerana ramai anak Melayu yang belajar dan bekerja di sana.

Menjayakan program Jurnal Kembara yang musim pertamanya menjelajah ke Eropah, ia sekali gus memberi peluang kepada aktres popular itu makan angin ke sana.

Banyak tempat menarik dilawati pada kunjungannya yang meliputi bandar utama seperti di Perth, Adelaide, Melbourne, Tasmania, New South Wales, New Castle dan Canberra.

Dan kesempatan di sana memberi Haliza peluang merasai kesejukan dan keseronokan bermain salji selain belajar meluncur serta menyaksikan rupa sebenar binatang yang digelar Tasmanian Devil.

"Rupanya binatang itu kecil sahaja. Macam tikus mondok. Tapi memang ganas. Bermesra dengan kanggaru juga menyeronokkan.

"Tapi yang paling tak boleh dilupakan tentunya apabila dapat bermain salji. Iyalah, pertama kali merasa. Macam budak-budak dapat gula-gula ibaratnya.

"Sebenarnya dua kali saya ke Mount Wellington di Hobart sebelum dapat melihat dan merasai salji tapi hari pertama tak ada salji yang kelihatan kecuali angin kencang," cerita Haliza yang ditemui malam Rabu lalu.

Menurut pelakon itu, kembaranya ke negara itu juga membuka matanya tentang sebuah bangsa Melayu yang selama ini sering dianggap lemah dan terkenal dengan julukan 'bangsa subsidi' mampu berdiri sama tinggi dengan bangsa lain.

"Ia tentang survival sebagai orang Melayu yang rajin berusaha selain mempunyai kerjaya yang bagus di negara maju memberikan satu kebanggaan," katanya.

Antara individu yang ditemui Haliza ialah imam besar di sebuah masjid di Tasmania yang bernama Imam Sabri, seorang berketurunan Jawa yang berasal dari Kampung Sijangkang, Selangor.

Dia mendapat gelaran Hero of Tasmanian daripada kerajaan Australia atas penglibatannya sebagai imam besar.

Juga Majistret Siti Mariam A. Kawi yang menetap di Perth, jurutera awam, Adzlina Abdullah di New Castle, doktor perubatan dan doktor pergigian, Dr. Zaki Ibrahim dan Dr. Ramzalinda di Adelaide selain pengurus kilang, Mohd. Rizam Mustapa di New South Wales serta para pelajar kita di sana.

Di Melbourne juga, Haliza bertemu dengan tiga rakyat Malaysia yang isteri masing-masing sedang melanjutkan pengajian di peringkat doktor falsafah.

Menariknya, kata Haliza, mereka ini sanggup menjaga anak-anak ketika isteri masing-masing ke kelas selain terpaksa bekerja melontar surat khabar pada setiap pagi bermula pukul tiga hingga tujuh pagi.

"Bukan mereka tiada pilihan tapi itulah pengorbanan mereka untuk melihat kejayaan isteri. Kalau mereka bekerja seperti orang lain, tiada siapa yang akan menjaga anak.

"Dan masa yang ada untuk mereka bekerja hanyalah dari pukul 3 pagi hingga 7 pagi sebagai pelontar suratkhabar sebelum pulang dan menjaga anak pula.

"Dan itulah antara survival orang kita yang saya lihat di Australia yang memberikan satu perspektif baru kepada saya terhadap sebuah kehidupan," cerita Haliza lagi.

Haliza juga memberitahu, satu perkara menarik yang ditemuinya ketika melakukan penggambaran adalah pada setiap rumah yang dikunjungi, tidak ada makanan barat yang dihidangkan sebaliknya mereka akan menjamu tetamu dengan nasi lemak dan roti canai dingin-beku.

"Di Canberra saya menemui Kak Anoi atau nama sebenarnya Hapsah Anoi Mustapha yang bekerja di Pesuruhjaya Tinggi di sana yang akan membuat roti canai sendiri untuk dijamu pada tetamunya. Roti canainya memang sedap," puji Haliza.

Turut berkesempatan melawat sekolah rendah di sekitar Australia, Haliza amat tertarik dengan satu peraturan yang digunapakai oleh setiap sekolah dalam menjamin keselamatan kanak-kanak.

Sekolah rendah di sana, menurut Haliza mewajibkan setiap guru untuk menunggu sehingga ibu bapa setiap kanak-kanak sekolah datang menjemput anak masing-masing selepas selesai sesi persekolahan.

Malah setiap guru mempunyai senarai nama orang yang dibenarkan menjemput kanak-kanak tersebut.

Bagi Haliza peraturan itu seharusnya dipraktikkan di negara ini dalam usaha membendung gejala kanak-kanak hilang.

Baru sahaja pulang pada 30 Mei lalu selepas 21 hari di Australia, Haliza mengakui amat gembira dengan pembabitannya dalam Jurnal Kembara kali ini.

Masakan tidak, kali ini Haliza bukan sekadar bertindak sebagai pengacara dan penerbit malah turut bertanggungjawab sebagai pengarah dan penulis skrip.

Biarpun mempunyai tanggungjawab besar pada penerbitan kali ini Haliza tidak pula menganggap ia satu beban memandangkan setiap tugas yang dipikul saling berkaitan rapat.

Malah dia berasa seronok dengan kerja-kerja di belakang tabir kerana banyak perkara baru yang diterokai terutama ketika melakukan kajian dan temuramah bersama tetamunya.

Bersama-sama rakan kongsi Halle Pictures, Abdullah Ayob Basri, rombongan kali ini turut disertai penyelaras, Nordin Ramly selain seorang jurukamera dan juru audio.

Lebih membanggakan, penggambaran kali ini juga menggunakan peralatan daripada produksinya sendiri yang kini sudah boleh disewakan oleh mana-mana produksi tempatan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: