Tuesday, June 2, 2009

Orang berbeza, misi sama


Rosyam Nor, Sayed Munawar terus perjuang isu semasa melalui RTM

PETAH berbicara dan tinggi keyakinan diri antara faktor yang membuatkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) memberi kepercayaan kepada aktor hebat, Rosyam Nor dan personaliti stesen itu, Sayed Munawar mengendalikan program sendiri.

Nama Rosyam Nor bukan asing di persada seni malah sering mengukir kejayaan menerusi Anugerah Bintang Popular Berita Harian. Selain mengendalikan syarikat Suhan Movies & Trading Sdn Bhd, bapa kepada lima cahaya mata ini sedang rancak mengemudi program pencarian bakat lakonan, Pilih Kasih.

Biar sibuk dengan rutin harian menjadi anak seni, lelaki berusia 42 tahun ini turut menjadi pilihan RTM mengendalikan program Fenomena Seni yang memberi kupasan mengenai isu dan perkara berbangkit dalam dunia seni. Rosyam yang berkunjung ke Balai Berita baru-baru ini berkata, setakat ini dia masih belum jemu memperjuangkan haknya dan rakan seperjuangan.

Tugas pelakon dan pengacara yang berasal dari Kampung Kerinchi, Pantai Dalam itu boleh diibaratkan sebagai pembela nasib anak seni. Bagaimanapun Rosyam tidak kisah jika perjuangan serta usahanya tidak dilihat rakannya.

“Selama empat tahun memikul tanggungjawab yang diamanah RTM kepada saya, sudah semestinya saya begitu menyayangi program ini. Saya merasa serasi dengan program ini mungkin kerana saya juga sebahagian daripada anak seni dan kami membincangkan masalah industri.

“Setiap minggu saya berpeluang mengutarakan masalah yang melingkari industri hiburan tanah air. Lagipun kita tidak ada sebuah program yang benar-benar serius membincangkan serta mencari jalan penyelesaian kepada masalah yang menimpa anak seni. Masalah yang dibincangkan pula tidak terhad kepada bidang lakonan atau nyanyian semata-mata tetapi Fenomena Seni memperjuangkan hak semua orang yang terbabit dalam industri tidak kiralah mereka yang terkenal atau tidak.

“Bagaimanapun tujuan program ini bukan untuk menghentam. Ketegasan saya ketika mengendalikan program ini sering kali disalah tafsir. Saya perlu bertegas dengan tujuan untuk membuatkan ahli panel yang dijemput bercakap. Tetapi ada yang beranggapan saya mahu menghentam mereka,” katanya yang gembira apabila jika ada tindakan susulan yang diambil hasil topik yang dibincangkan setiap minggu.

Walaupun memikul tanggungjawab sebagai pengacara, Rosyam tidak lepas tangan tanggungjawab lain terhadap program itu seperti pemilihan tajuk yang dibincangkan setiap minggu. Dua bulan sebelum ke udara, produksi berkenaan sudah pun menetapkan topiknya. Selain menerusi perbincangan bersama panel produksi, kata Rosyam ada antara tajuk dicadangkan oleh rakan dalam industri.

“Tajuk mengenai pinjaman yang diluluskan untuk pembikinan filem pernah mendapat campur tangan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM). Selain itu orang Finas juga ada bertanya mengenai tajuk yang kita bincangkan, bermakna program ini mendapat maklum balas positif penonton.

“Selagi rezeki saya masih di sini dan khidmat saya masih diperlukan, saya akan terus bersama Fenomena Seni untuk membela nasib anak seni. Saya tidak kisah jika rakan dalam bidang ini tidak nampak usaha yang saya lakukan, asalkan nasib orang industri terbela,” katanya.

Bukan soal kejar populariti

BERBEZA dengan Sayed Munawar, 37, dia sudah 12 tahun bekerja secara separuh masa di RTM sejak 1997. Selesa begitu, graduan Ekonomi dari Universiti Islam Antarabangsa ini adalah seorang usahawan dalam bidang perniagaan buku sejak 2000 lagi. Sebelum itu, empat tahun lalu bapa kepada tiga anak ini bertugas di Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YPEIM).

Menurut anak kelahiran Parit, Perak itu, kesetiaannya di RTM tidak pernah sekali pun didorong faktor ingin popular sebaliknya atas sebab kelonggaran stesen itu membenarkannya melakukan tugas lain di luar. Katanya, dia tidak mengikat sebarang perjanjian bersama RTM sebaliknya pada bila-bila masa dia boleh ditamatkan kontrak.

“Projek pertama yang saya lakukan sebagai usahawan perniagaan buku ialah membekalkan buku untuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim). Selain itu, syarikat saya turut memberi perkhidmatan yang sama kepada agensi kerajaan yang lain termasuklah universiti tempatan. Disebabkan bidang yang saya ceburi ini, saya turut diberi peluang melakukan ulasan buku selama 15 minit seminggu pada 2000 untuk Selamat Pagi Malaysia.

“Saya tidak tahu sampai bila akan terus bertahan di RTM. Bayangkan saya sendiri tidak percaya saya sudah bertugas di RTM selama lebih sedekad. Bukan tidak ada tawaran yang kunjung tiba daripada stesen TV lain dan mungkin juga rezeki saya lebih kuat dengan RTM. Tambahan pula, bekerja dengan RTM tidak memungkinkan saya mengabaikan kerja saya melakukan perniagaan mengimport buku.

“Kalau saya pentingkan soal mahu popular, mungkin sudah lama saya ke stesen TV yang lain. Bukan soal mengejar populariti yang saya kejar kerana apa yang saya laksanakan selama ini atas perihal tanggung jawab. Di samping melunaskan amanah yang diberikan. Malah saya berbangga bekerja di stesen TV yang menjadi lidah rasmi kerajaan,” katanya yang baru saja menjawat jawatan sebagai Timbalan Presiden Persatuan Kontraktor Buku Malaysia.

Selain mengendalikan program Di Luar Lingkungan Bersama Sayed Munawar, dia bermula dengan mengacara program An Nur seterusnya diikuti dengan Resensi Selamat Pagi Malaysia, Selamat Pagi Malaysia, Dialog, Bersama Menteri dan Bersemuka Dengan Media.

Kesempatan mengacarakan program yang lebih serius termasuk membincangkan isu semasa memberi peluang kepadanya untuk menemubual menteri kabinet di Malaysia, tetamu dan delegasi penting dari dalam serta luar negara. Lebih cenderung mengacarakan program bentuk serius, dia menjelaskan cukup teruja melakukan tugasan sebegitu.

“Dalam apa juga kerja yang dilakukan, saya tidak pernah puas. Setidak-tidak kerja saya di RTM memungkinkan saya mendapat pendedahan dan kenangan istimewa yang boleh dititip buat kemudian hari. Malahan, untuk program Di Luar Lingkungan Bersama Sayed Munawar, saya terbabit secara menyeluruh cuma tidak melakukan bidang penerbitan saja.

“Saya bukan hanya sekadar mengacara program itu, bahkan saya turut menyediakan bahan dan kandungan di bawah Bahagian Berita Ehwal Semasa. Saya yang menentukan tajuk apa yang ingin diperdebatkan, montaj dan tetamu yang bakal dijemput,” katanya yang bercita-cita untuk melakukan program kembara yang memberi fokus kepada subjek buku.

Ditanya mengenai RTM yang sering diberi jolokan untuk stesen orang tua, Sayed tidak menafikan ada pandangan skeptikal sesetengah masyarakat terhadap stesen itu. Bagaimanapun dengan kepimpinan baru termasuk pihak kementerian terbabit, akan ada anjakan paradigma dalam usaha menangkis label yang cukup sinonim terhadap saluran itu.

“Kalau RTM tidak berubah, tak mustahil 10 tahun lagi, jenama itu akan hilang arah medianya. Sebagai lidah kerajaan, RTM memang sentiasa bergelut memastikan aspirasi dan capaian pengetahuan serta maklumat yang ingin disampaikan betul-betul sampai kepada masyarakat.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: