Tuesday, June 2, 2009

Makyung dalam naskhah Shakespeare

Titis Sakti arahan Norzizi Zulkifli muncul di KLPac mulai esok hingga 7 Jun

DARI jauh lagi sudah kedengaran irama nyanyian Mengadap Rebab berkumandang sekali gus memecah keheningan KLPac Kuala Lumpur, malam Khamis lalu. Terdengar juga bunyi-bunyian paluan gong, gesekan rebab serta pukulan gendang yang begitu sinonim dengan persembahan makyung, sebuah persembahan seni halus yang cukup popular di kalangan masyarakat Pantai Timur, suatu waktu dulu.

Dan apabila langkah kaki semakin menghampiri, kelihatan sekumpulan anak muda, lelaki dan perempuan begitu asyik menari sambil tubuh dan jari jemari mereka meliuk lintuk mengikut melodi yang dialunkan. Aksi itu sebenarnya sudah menjadi rutin sejak beberapa bulan lalu kerana mereka sedang giat menjalani latihan pementasan Makyung Titis Sakti yang bakal menemui penggemar teater di KLPac, mulai esok (3 Jun) sehingga 7 Jun depan.

Bukan seperti persembahan makyung biasa, pementasan Makyung Titis Sakti arahan Norzizi Zulkifli ini adalah sebuah naskhah eksperimental yang diadaptasi daripada karya sasterawan Inggeris terkenal, Shakespeare berjudul Midsummer's Night Dream.

Cukup ironi kerana pementasan ini menyaksikan sebuah karya yang terhasil berdasarkan pertembungan antara budaya Barat dan Timur. Mungkin ada yang tertanya-tanya apakah sudah tidak ada bahan tempatan yang boleh diketengahkan sehingga terpaksa 'meminjam' karya luar.

Pun begitu, bagi si pengarah yang juga bertanggungjawab memberi idea untuk menerbitkan pementasan ini, Norzizi atau lebih akrab disapa Zizi mempunyai jawapan tersendiri.

"Sebenarnya sejak zaman belajar di London lagi saya memang sudah bercita-cita untuk mengarahkan sebuah teater kontemporari Inggeris. Pada masa itu, Malaysia sedang hangat dengan kehadiran Teater Muzikal Puteri Gunung Ledang dan keinginan untuk menghasilkan teater yang sama semakin meluap-luap

"Bagaimanapun, saya disedarkan seorang profesor yang sebelum ini pernah berkunjung ke Malaysia dan menetap di Sarawak. Kata profesor terbabit, ketika mengajar di sana, dia ada menyaksikan sebuah pementasan teater Puteri Santubong dan ia sangat menarik.

"Justeru, dia menasihatkan supaya menghasilkan pementasan yang ada kaitan dengan khazanah dan budaya saya sendiri. Jadi dari situ saya menanam keazaman untuk menghasilkan pementasan seperti ini dan alhamdulillah, baru kini menjadi kenyataan.

“Apabila menjadikan karya Shakespeare sebagai bahan pementasan, bagi Zizi, ini bermakna dia berdepan dengan sebuah tugasan yang benar-benar mencabar.

"Saya akui itu bukanlah satu kerja yang senang kerana banyak aspek yang perlu diambil kira. Dari segi penyediaan skrip, mengolahnya serta untuk menyesuaikannya dengan pementasan makyung membuatkan usaha untuk merealisasikannya menjadi rumit.

"Namun untuk teater ini, adalah juga saya buat sedikit perubahan dan langgar beberapa peraturan wajib sebuah pementasan makyung untuk disesuaikan dengan keadaan," ujar Zizi sambil memberitahu karya Midsummer's Night Dream dipilih kerana ceritanya yang mengandungi elemen raja dan rakyat jelata didapati sangat sesuai untuk dipindahkan menjadi pementasan makyung.

Biarpun masih berpaksikan makyung, namun ujar Zizi teater ini diadun secara kontemporari.

"Dari segi dialog, bukan saja bahasa Kelantan tetapi kami ada juga mencampuradukkan bahasa Melayu bahasa Inggeris di dalamnya dan ada juga disentuh isu semasa berdasarkan dialog yang ditutur pelakon.

"Walaupun pada permulaannya saya ingin menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya untuk pementasan ini namun atas nasihat Datuk Faridah Merican yang mahu elemen klasik dikekalkan jadi teater ini diteruskan dengan cara seperti ini," katanya sambil memberitahu pementasan Makyung Titis Sakti terletak di bawah program Teater Rakyat, The Actors Studio.

Asrul penyambung legasi makyung

OBSESINYA terhadap seni makyung membuatkan dia mengambil keputusan untuk mendalami seni halus ini di peringkat pengajian tinggi. Memilih jurusan seni persembahan di Universiti Malaya, di situ jejaka bernama Asrulfaizal Kamaruzzaman ini mempelajari ilmu makyung serta cabang seni yang lain.

Kini, makyung yang selama ini dikenali menerusi pengamatan dan pemerhatian sudah menjadi sebahagian darah dagingnya. Dan untuk pementasan Makyung Titis Sakti ini, Asrul mencurahkan pengalaman yang ada menerusi watak sebagai Peran Tua.

"Tidak dinafikan watak Peran Tua sebenarnya amat mencabar dan besar tanggungjawab yang dipikulnya kerana dia menguasai keseluruhan pementasan. Andai gagal watak yang dibawa, bermakna gagallah keseluruhan pementasan," jelas Asrul membuka bicara.

Baru berusia 30 tahun, Asrul agak berbeza dengan lelaki sebaya dengannya kerana menggemari seni halus yang ketika ini semakin pupus ditelan zaman.

"Pada saya makyung ada tarikan tersendiri kerana dia mempunyai tiga elemen seni iaitu berlakon, menari dan menyanyi. Dan untuk menguasainya agak sukar kerana memerlukan latihan yang bukan calang-calang.

"Malah, kalau kita lihat dari unsur nyanyian saja menerusi pementasan makyung, kalau ada lima orang menyanyi lagu yang sama contohnya lagu Seri Gunung, kita akan dapati kelima-lima lagu itu begitu ketara perbezaaanya. Setiap lagu yang mereka nyanyikan itu takkan sama dengan yang lain," cerita Asrul yang kini bertugas sebagai Pegawai Kebudayaan di Pusat kebudayaan Universiti Malaya.

Mengulas mengenai unsur apakah unsur kurafat yang dikaitkan dengan makyung membuatkan seni halus itu semakin dilupakan, Asrul yang pernah membintangi filem Budak Kelantan sebelum ini menafikan dakwaan itu.

"Mungkin suatu ketika dulu ya kerana sewaktu amalan buka panggung, mereka membaca jampi serapah dan menyeru hantu jembalang tetapi tidak pada masa ini. Walaupun amalan buka panggung masih ada namun ia sudah ditukar dengan mantera yang tidak bertentangan dengan agama.

"Sebenarnya makyung masih ramai penggemarnya dan kalau kita berterusan mempromosikannya, saya rasa tak mungkin khazanah ini pupus ditelan zaman,” ujar Asrul penuh makna.

Selain Asrul, pementasan Makyung Titis Sakti ini turut dijayakan pelakon lain seperti Zanzuriah Zahari (Raja Dewa Kayangan), Rosdeen Suboh (Peran Muda), Tisha Zarina Zainal (Pak Yung, Ashafiqah Abd Aziz (Makyung) dan Mohd Kamarulzaman Taib (Memanda Bijaksana).

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: