Datuk Seri Farid Ridzuan gembira 28 delegasi manfaatkan lawatan ke Hollywood
KUNJUNGAN singkat yang membentangkan pelbagai pengalaman bernilai kepada anak seni yang menghargai, seterusnya menyuntik semangat untuk melonjakkan aras kerjaya dan memacu karier ke tahap membanggakan.
Ia antara rumusan yang diberikan Ketua Pegawai Eksekutif, Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan mengenai kunjungan singkat ke Los Angeles, Amerika Syarikat, baru-baru ini.
Disertai 28 delegasi termasuk barisan pemenang Anugerah Skrin 2008 serta penerbit daripada empat stesen yang menaungi Media Prima Berhad selain rakan media dan penggiat industri hiburan, lawatan itu memberi pendedahan baru kepada mereka yang memanfaat segala pengalaman berharga di situ.
Katanya, pendedahan yang diterima daripada persekitaran serta corak pergaulan yang berbeza membantu mengubah persepsi penggiat industri hiburan dalam usaha mempertingkatkan hasil karya mereka.
Memberi contoh Afdlin Shauki yang pernah dua kali menyertai delegasi namun belum menemui kepuasan dalam menggali segala ilmu yang diperoleh menerusi lawatan berkenaan, Farid berkata, banyak pembaharuan yang dibawa anak seni kreatif itu dalam hasil kerjanya.
“Afdlin menyuntik pembaharuan menerusi kualiti kerja yang ditampilkan dan paling penting, menyalur pelbagai idea baru dalam disiplin kerjanya.
“Jujurnya saya tidak mengharapkan perubahan mendadak daripada mereka semua, namun berharap dapat mengambil segala pengalaman di sini sebagai ilmu untuk dimanfaatkan apabila pulang ke tanah air,” katanya.
Atas alasan itu juga Farid tidak meminggirkan penerbit serta tenaga produksi yang menjadi kekuatan kepada sesebuah penerbitan.
Pendedahan yang diterima dengan menyaksikan secara langsung penerbitan program realiti popular, American Idol musim kelapan serta rakaman program bual bicara, The Tonight Show With Jay Leno membuka mata mereka kepada banyak perkara baru.
Apa yang membanggakan Farid, setiap mereka menyatakan kekaguman terhadap kualiti keseluruhan dua penerbitan itu malah menyuntik motivasi untuk turut sama menerbitkan program sehebat itu.
Pendekatan yang berbeza dalam sentuhan sederhana untuk dua produksi berkenaan mencetuskan idea baru kepada tenaga produksi Media Prima Berhad untuk diaplikasikan dalam bidang kerjaya mereka.
“Saya bangga apabila mereka turut berkongsi pelbagai idea baru berdasarkan pengamatan serta pengalaman sepanjang berada di sini.
“Pendedahan seperti ini menyediakan ruang kerja yang lebih efisyen, malah perlahan-lahan akan mengubah suasana produksi tempatan untuk kesan jangka panjang,” katanya.
Farid turut melihat pendedahan menerusi variasi program televisyen yang dihidangkan juga membantu mencambahkan pelbagai idea bernas untuk memantapkan rangkaian di bawah Media Prima Berhad.
Cetusan semangat yang diberikan itu kata Farid, membulatkan tekadnya untuk meneruskan acara yang sama pada tahun mendatang supaya lebih ramai penggiat seni tempat mendapat sesuatu daripada sesi lawatan itu.
Katanya, biarpun menerima beberapa usul berbeza termasuk mencuba lokasi baru seperti Bollywood dan Hong Kong namun Hollywood menjadi pilihan utama kerana segala aspek berkaitan penerbitan filem dan televisyen berpusat di situ.
“Perkara itu pernah disuarakan namun apabila difikirkan penggiat filem Bollywood juga ke sini untuk segala kemudahan, jadi lebih baik lawatan itu dikekalkan di Los Angeles kerana semua yang terbaik ada di sini,” katanya.
TV3 kata Farid, menerusi Anugerah Skrin sudah membuka ruang kepada penerbit dan penggiat seni tempatan.
Justeru, terpulang kepada mereka bagaimana mahu memanfaatkan segala ruang yang ada malah menerusi perkenalan dengan pasukan produksi di Hollywood juga membentangkan peluang untuk menimba ilmu.
“Itu semua atas inisiatif masing-masing. Anak seni bagi saya perlu rajin mendalami ilmu. Ia tidak hanya menerusi lawatan, malah pembacaan serta tontonan juga membantu memberi idea untuk melahirkan pelbagai ilham baru.
“Saya sendiri tertarik dengan sajian program dokumentari serta majalah yang tidak disiarkan di saluran tempatan. Perkongsian seperti ini akan mencambahkan idea kerana saya mahu pengalaman ini dirasai semua anak seni kita,” katanya.
Bukan ukuran wang ringgit
---------------------------------
ANDAI majlis pengiktirafan lain menyediakan ganjaran wang tunai, Anugerah Skrin kata Farid, memberikan pulangan berbeza malah lebih tinggi daripada ukuran wang ringgit.
“Kembara ini lebih tinggi daripada wang ringgit kerana apa yang kami lakukan ini adalah untuk industri. Pengamatan mata kasar tidak mungkin dapat menilai tetapi apabila berada di sini, baru kita tahu betapa besar manfaat yang disediakan,” katanya.
Disebabkan itu kata Farid, dia bertegas meneruskan juga segala perancangan biarpun dirintangi pelbagai dugaan termasuk serangan influenza A yang hampir membantutkan perjalanan.
Baginya, apa yang diusahakan ini bersandarkan kepada niat yang baik untuk memajukan industri hiburan tanpa mahu memudaratkan sesiapa.
“Selepas yakin semuanya selamat, saya bertekad untuk meneruskan juga lawatan ini dan alhamdulillah, ia berjalan baik dan tidak seperti apa yang difikirkan sebelum ini.
“Cuma saya akui agak ralat kerana tidak ramai yang dapat turut serta dalam perjalanan kali ini selepas beberapa kali tertunda.
“Bagaimanapun, saya berharap perancangan akan datang lebih kemas dan sekali gus memberi lebih banyak ilmu serta pendedahan kepada semua yang menyertai acara ini,” katanya.
Mengambil manfaat daripada lawatan itu juga kata Farid, melahirkan Primework Studios Sdn Bhd yang memperlihatkan integrasi budaya kerja yang berjaya melahirkan program berkualiti seperti Anugerah Juara Lagu ke-18 dan final One In A Million musim ketiga.
Kedua-dua program itu menerima pujian ramai dan Farid berkata, ia tidak mungkin menjadi kenyataan jika gabungan tenaga kerja terbaik tidak disatukan di bawah satu bumbung.
“Ia mencetuskan pelbagai idea menarik yang menyuntik nafas serta pendekatan baru kepada penerbitan tempatan. Dalam tempoh beberapa tahun akan datang, kami berharap akan tertubuh sebuah kompleks yang menyatukan semua aspek penerbitan.
“Ketika ini, dua tenaga kerja sedang menjalankan kajian mengenai infrastruktur pembinaan kompleks berkenaan dan Insya-Allah, ia akan menjadi kenyataan nanti,” katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: