Tuesday, June 2, 2009

Naluri ibu sahkan anak terkorban


SEORANG kakitangan hospital mengangkat mayat Muhammad Aidil yang dijumpai lemas
di Tanjung Assam, Teluk Kumbar, Pulau Pinang semalam.


BALIK PULAU - Naluri seorang ibu yang mengatakan anak bongsunya ditimpa kecelakaan apabila tidak pulang ke rumah sehingga ke malam ternyata berasas dengan penemuan mayat seorang kanak-kanak di Teluk Kumbar di sini semalam.

Sabariah Nayan, 40-an, lesu dan tidak mampu bersuara apabila diminta datang ke bilik mayat Hospital Balik Pulau untuk mengenal pasti mayat Muhammad Aidil Che Yah, 8, yang dipercayai mati lemas di Tanjung Assam dekat Bayan Lepas pagi semalam.

Menurut Sabariah, anaknya itu keluar dari rumahnya di Kampung Teluk Kumbar tengah hari Ahad lalu untuk menghadiri majlis kenduri di rumah jiran.

Namun apabila dia tidak pulang sehingga tengah malam, suaminya, Che Yah Abdullah, 48, seorang nelayan, keluar mencarinya di sekitar kawasan Teluk Kumbar sebelum membuat laporan di Balai Polis Teluk Kumbar pada hari yang sama.

"Suami saya keluar mencarinya sehingga pukul 3 pagi tadi (semalam) termasuk ke rumah kawan-kawan Aidil yang rapat dengannya tetapi hampa.

"Naluri saya kuat mengatakan telah berlaku sesuatu yang buruk terhadap Aidil kerana dia tidak pernah tidak pulang kalau keluar ke mana-mana," katanya ketika ditemui di Hospital Balik Pulau semalam.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: