Thursday, June 4, 2009

Nabil & Adruce mencari harta karun

‘Dekat Di Hati’. Itulah tagline salah sebuah stesen televisyen di bawah naungan Media Prima iaitu TV9 yang sudah pun menyambut ulang tahun ketiga.

Seiring sebagai stesen nombor dua di Malaysia, TV9 mengukuhkan lagi jenamanya dengan menyiarkan sebuah lagi program berbentuk gameshow berjudul Hartamania terbitan Primeworks Studios.

Program yang diterajui penerbit eksekutif, Kamarul Zamly Ramly dan dibantu oleh Shazalina Zainal Azam itu akan disiarkan selama setengah jam pada setiap hari Isnin hingga Rabu jam 7 malam.

Rancangan tersebut akan dihoskan oleh Bintang Paling Popular 2008, Nabil sebagai Kapten Bil dan pengacara kanak-kanak yang sedang meningkat dewasa, Adruce sebagai Cengkerang.

Dalam Hartamania, penonton akan dibawa untuk mengalami keseronokan dalam mencari harta karun. Program khusus untuk kanak-kanak itu bukan sekadar untuk keseronokan dan hiburan semata-mata, tetapi secara tidak langsung mampu menonjolkan kebijaksanaan IQ peserta serta menguji kemampuan mereka.

Pelbagai hadiah menarik menjadi habuan untuk tiga peserta pada setiap minggu. Jika mara ke peringkat seterusnya, peserta dikehendaki memilih satu daripada tiga buah peti harta yang mengandungi soalan seterusnya menyelesaikannya. Sekiranya berjaya menjawab dengan tepat, peserta berpeluang memenangi hadiah hebat.

Sementara itu, ketika ditanya mengenai Nabil yang mula untuk demand, beliau menjawab bahawa tindakan tersebut adalah untuk menjaga reputasinya sebagai artis.

“Saya akui saya popular. Dengan alasan itu saya hanya naikkan sedikit sahaja bayaran saya. Bukan banyak pun. Lagipun semua itu untuk masa depan saya,” jelasnya secara berseloroh.

Nabil kini telah pun mulai sibuk untuk penggambaran filem kesembilan lakonannya yang akan membuat penggambaran di Bangladesh.

Mengenai hubungan cintanya dengan pelakon Irma Hashmie, beliau menjelaskan ingin menamatkan zaman bujang dalam tempoh setahun dua lagi.

“Saya tidak risau mengenai jodoh kerana semuanya ketentuan Allah. Kalau ada jodoh antara kami, tunggulah jemputan dari saya,” selorohnya lagi.

Terkini, Nabil menandatangani kontrak sebagai duta produk minuman Honey Apple dan sedang merancang merakamkan lagu berkonsep seloka dengan bimbingan Ajai di bawah syarikat Wake The Baby sempena Hari Raya Aidilfitri tahun ini.

2 comments:

Tinggalkan Komen Anda Sini: