Thursday, June 4, 2009

Serina nikah 1 Januari

April lalu, Sinar Harian pernah mengeluarkan kenyataan daripada Serina Redzuawan menyatakan dia dan pilihan hatinya, lelaki kelahiran England bernama Gavin atau nama Islamnya, Salahudin bercadang untuk mendirikan rumah tangga 1 Jun lalu sempena hari lahirnya. Namun melihatkan kelibat Serina pada majlis pelancaran Akademi Polis musim keempat di Sri Pentas, Rabu lalu sudah tentu perancangan itu tidak menjadi kenyataan.

“Kami mengambil keputusan untuk menunda majlis kerana 1 Jun jatuh pada Isnin yang merupakan hari bekerja. Lagi pula, keluarga Gavin hanya dapat cuti pada penghujung Disember nanti,” ujar Serina.

Justeru menurut anak perempuan tunggal Chef Wan ini, dia bakal mengakhiri zaman bujangnya tanggal 1 Januari tahun hadapan manakala majlis persandingan dibuat sehari selepasnya. Tarikh tersebut dipilih sebagai tanda pembukaan bab baru dalam hidupnya dan pasangan.

“Persediaan untuk berkahwin kalau ditanya pada saya memang tidak terasa langsung malah saya bekerja seperti biasa. Ini kerana segala-galanya diuruskan oleh bapa saya. Dia ada juga bising-bising menyuruh saya pergi mencuba baju pengantin tapi saya tidak mahu melakukannya terlalu awal kerana berat badan saya tidak konsisten,” kata Serina yang kelihatan ceria.

Bagaimanapun, Serina menyatakan dia sudah pun bertemu ustaz di Masjid Wilayah untuk bertanyakan prosedur pernikahan dengan lelaki dari luar negara. Antara yang dimaklumkan kepadanya, pengantin lelaki boleh menuturkan akad nikah dalam Bahasa Melayu, mahupun Inggeris mengikut keselesaan dan kefasihan.

“Sebenarnya saya pernah membawa Gavin balik ke kampung di Sungai Koyan, Pahang sempena hari raya untuk melihat sejauh mana dia boleh menyesuaikan diri sebelum ini. Alhamdulillah, dia sangat pandai membawa diri dan tidak banyak kerenah, mungkin kerana dia sudah lapan tahun menetap di sini. Malah dia memeluk Islam lama sebelum mengenali saya. Mungkin sudah jodoh, perkenalan kami tidak banyak masalah dan dipermudahkan,” kata Serina.



Punca keluar bersama

Mengimbau semula perkenalan antara Serina dan Gavin, segala-galanya bermula di sebuah majlis apabila Gavin menegurnya. Ketika itu ujar Serina, dia berbohong menyatakan dia masih bergelar penuntut kerana tidak mahu memanjangkan perbualan.

“Dia meminta nombor telefon tapi saya tidak beri sebaliknya meminta nombor telefonnya untuk mengambil hati. Dia kemudiannya memberikan kad nama sambil berkata, ‘Saya berani bertaruh awak tidak akan menghubungi saya selepas ini’. Lalu kerana tidak mahu mungkir janji saya menghubunginya semula,” ujar Serina.

Satu hari, Gavin menghubungi Serina dan menegurnya kerana berada di hadapan sebuah hotel setiap hari. Serina yang berasa cuak mendengar tuduhan itu mula berasa ada sesuatu yang tidak kena.

“Rupa-rupanya di perhentian bas hadapan hotel tersebut ada gambar saya. Maka ‘kantoilah’ sandiwara bahawa saya masih menuntut,” cerita Serina sambil tertawa.

Bertitik tolak dari insiden tersebut, mereka keluar bersama buat pertama kalinya kerana Serina ingin memohon maaf. Namun siapa sangka, itulah detik yang membawa mereka ke alam percintaan - seterusnya kepada perancangan untuk bersatu di jinjang pelamin 1 Januari tahun hadapan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: