Tuesday, June 16, 2009

Mohon ruang tanpa prasangka


KEAMPUHAN vokal Stacy, Aizat dan Ayu memberi sinar baru kepada industri muzik.

Aizat, Stacy dan Ayu dianggap pelapis mewarnai industri hiburan tempatan

LATAR hidup mereka barangkali berbeza, namun tiga nama yang mengukir laluan seni menerusi pentas program realiti ini menjadi kebanggaan pencinta seni sebagai pelapis yang mewarnai industri hiburan tempatan.

Mereka membuka mata pencinta hiburan supaya melihat kekuatan serta kelebihan bakat yang dimiliki seterusnya memberikan ruang untuk bertapak selesa tanpa prejudis dan prasangka.

Menempuh gelora dan badai pada permulaan karier ternyata mematangkan bicara tiga anak muda yang bakal menggalas cabaran di pentas Anugerah Planet Muzik (APM) 2009 di Jakarta, Indonesia pada 18 Julai ini.

Asakan kontroversi serta kritikan tidak mematahkan semangat dan perjuangan mereka, sebaliknya ketiga-tiga mereka menjadikan semua itu sebagai pendorong untuk terus gagah berdiri.

Dalam senyum barangkali ada air mata yang tumpah, namun segala kesedihan dan keperitan itu berbayar apabila usaha serta kerja keras semakin diiktiraf.

Pengiktirafan tidak hanya diterima daripada peminat, malah industri juga melihat kuasa yang ada pada tiga anak muda ini mampu mencipta magis jika terus berlari di landasan benar.

Kerdipan bintang Muhammad Aizat Amdan atau Aizat terus menyerlahkan sinar biarpun perjalanannya dalam program realiti popular, Akademi Fantasia 5 terhenti apabila tersingkir pada pertengahan jalan.

Mei lalu, penyanyi yang masyhur dengan lagu, Lagu Kita dan Fikirlah ini membanggakan nama Malaysia apabila meraih tempat ketiga bagi kategori Lagu Terbaik serta menerima Anugerah Khas Juri pada pertandingan Festival Muzik Pop Antarabangsa - Discovery 2009 di Varna, Bulgaria.

Bakatnya turut diiktiraf industri muzik tempatan apabila penyanyi berusia 20 tahun itu merangkul trofi Vokal Lelaki Terbaik Dalam Lagu pada Anugerah Industri Muzik 16 (AIM16) pada 2 Mei lalu.

Sebuah pencapaian yang disifatkan Aizat di luar jangkaan, malah turut memacu permulaan kerjaya nyanyiannya di tahap lebih selesa.

APM 2009 turut memperlihatkan penguasaan Aizat sebagai artis solo tempatan yang meraih pencalonan besar apabila karya sulungnya, Percubaan Pertama melayakkannya menerima empat nominasi.

Dicalonkan untuk Persembahan Vokal Terbaik Dalam Lagu (Artis Baru Lelaki), Artis Lelaki Terbaik, Album Terbaik dan Artis Malaysia Paling Popular adalah penghargaan besar buat Aizat terutama apabila Percubaan Pertama membolosi kategori Album Terbaik.

“Saya melihatnya sebagai penghargaan besar terutama pencalonan bagi kategori Album Terbaik kerana saya akur persaingan hebat yang terpaksa ditempuhi terutama daripada karya Indonesia.

“Pencalonan ini cukup memberi makna, apatah lagi untuk kategori itu hanya saya dan Hujan yang mewakili negara selebihnya pencalonan menjadi milik artis Indonesia.

“Jujurnya saya tidak mahu terlalu memikirkan soal kemenangan kerana saya menyimpan misi lebih besar iaitu melancarkan karier di sana.

“Ia lebih penting dan saya sangat berharap akan diberi peluang membina platform di sana kerana mengembangkan karier nyanyian di Indonesia antara cita-cita besar dalam bidang seni,” katanya.

Sementara itu, juara musim kedua One In A Million, Norayu Damit mengakui, permulaan kariernya berjalan lancar, malah membawanya ke tahap yang menyelesakan biarpun hanya bersandar kepada sebuah lagu, Hanya Di Mercu.

Penyanyi yang baru muncul dengan album penuh pada 28 Mei lalui akur terlalu banyak dugaan ditempuhi sepanjang lebih setahun bergelar artis.

Dari anak kampung yang cuba membawa bakatnya di pentas besar, Ayu bersyukur kehadirannya diterima, malah karier nyanyiannya tidak tenggelam biarpun terpaksa menanti lama untuk melahirkan album sulung.

Akui Ayu, sebelum ini dia sendiri tertanya-tanya ke mana haluan kerjaya nyanyiannya kerana album yang dinanti belum berada di pasaran.

Namun, pencalonan demi pencalonan diterima pada anugerah berprestij seperti Anugerah Bintang Popular Berita Harian (ABPBH) 2008 dan APM 2008 menyedarkan anak kelahiran Sabah akan tanggungjawab besar yang menantinya.

“Ayu akui sebelum ini berasa agak terpinggir, apatah lagi terpaksa menanti lebih setahun sebelum dapat melihat album sulung berada di pasaran.

“Namun, pencalonan dalam beberapa anugerah besar menukar segala persepsi Ayu terhadap karier yang pada sangkaan Ayu akan suram jika tiada langkah drastik diambil.

“Pencalonan membuatkan Ayu bertambah sibuk, malah secara tidak langsung memperkukuhkan nama Ayu pada hati peminat. Semua ini jauh daripada jangkaan Ayu,” katanya.

Masih belum pasti sama ada akan dapat bersama di Jakarta kerana terikat dengan komitmen lain sehari sebelum itu, Ayu berkata, pencalonan dalam APM 2009 begitu mengujakan.

“Siapa yang tidak teruja, lebih lagi ini pengalaman pertama Ayu bersaing dengan artis dari tiga negara iaitu Malaysia, Singapura dan Indonesia.

“Pencapaian ini membuka mata Ayu supaya tidak mempersiakan tanggungjawab serta kepercayaan yang diberi,” kata gadis genit yang semakin popular dengan lagu Inspirasi Abadi sentuhan Aubrey Suwito.

Bertubuh kecil namun tenaganya di pentas yang sentiasa menghangatkan suasana memberi kelebihan kepada juara Akademi Fantasia musim keenam, Stacy untuk meraih pelbagai pencalonan pada acara hiburan berprestij.

Seperti Ayu, Stacy juga cuma bersandar kepada single, Aku Stacy sebelum album sulungnya berada di pasaran, namun kekuatan lagu itu melonjakkan nama gadis dari Penampang, Sabah untuk berdiri selesa dalam senarai popular.

APM 2008 memperlihatkan Stacy bersaing dalam dua kategori, Persembahan Vokal Terbaik Di Dalam Lagu (Artis Baru Wanita) dan Artis Malaysia Paling Popular.

Sedang mengulit populariti dengan lagu, Gagap dan Pakai Buang, Stacy berkata, setiap kejayaan yang dikecapi membuatnya lebih berhati-hati dalam mengatur langkah.

Sebagai manusia, pemilik nama penuh, Stracie Angie Anam, 19, juga tidak terlepas daripada perasaan bimbang kejayaan akan membuatnya alpa daripada terus berusaha memperbaiki kelemahan diri.

“Semua itu menguatkan semangat saya untuk melipatgandakan usaha tanpa pantas berpuas hati dengan segala pencapaian diterima.

“Siapa yang tidak mengimpikan kejayaan, namun saya perlu akur hakikat saingan sengit yang terpaksa dihadapi daripada finalis lain.

“Berada dalam senarai akhir adalah penghormatan besar terutama untuk penyanyi yang baru bertapak seperti saya. Besar harapan saya agar pencalonan ini mampu melonjakkan karier saya ke satu tahap baru kerana menembusi pasaran luar adalah impian setiap anak seni tempatan,” katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: