Tuesday, June 16, 2009

Tak jemu kutip ilmu




Akur program One In A Million banyak suntuk semangat terus memburu cita-cita

TUBUHNYA kecil tetapi tekad wanita muda bernama Amylea Azizan ini amat besar. One In A Million (OIAM) kata penyanyi genit ini banyak mengajar dan menyuntik semangatnya untuk terus memburu cita-cita.

Dia seakan baru lahir dalam industri ini, seorang Amylea yang baru, dengan tekad, cita-cita, semangat dan imej. Enam bulan dalam OIAM, terlalu banyak pengalaman diraih. Biar terpaksa berkorban segala-galanya, undangan persembahan dan wang simpanan, anak sulung daripada tiga beradik ini mengakui puas dapat menimba ilmu yang tidak mampu dibeli dengan wang ringgit.

“Sepanjang berada dalam OIAM, saya menolak semua undangan persembahan hanya kerana mahu fokus kepada OIAM. Gara-gara itu, wang simpanan saya habis digunakan untuk menyara keluarga selama enam bulan kerana tiada pendapatan sepanjang tempoh itu.

“Saya tidak berniat untuk meraih simpati sesiapa, cuma mahu berkongsi apa yang dilalui kerana minat pada dunia nyanyian. Namun, saya tidak pernah menyesal dengan jalan dipilih, apa yang penting adalah ilmu yang saya dapat.

“Saya tidak kisah walaupun kerjaya terpaksa bermula dari bawah seperti seorang penyanyi baru. Tekad saya, mahu mendaki tangga demi tangga untuk membina nama yang lebih besar,” katanya yang kini diuruskan bekas pengurus Liza Hanim, Reza Fahmi menerusi syarikat pengurusan The Republic.

AMYLEA dan Tomok berduet pada Bangkok Jazz.

Hampir sebulan OIAM berlalu, gadis genit itu masih menantikan tawaran persembahan. Ramai berpendapat rezeki akan bertambah murah selepas OIAM, namun Amylea belum merasai tawaran datang melimpah ruah. Biarpun tidak banyak, dia bersyukur sekurang-kurangnya masih menerima tawaran, malah tidak pernah menyesal terpaksa memulakan segala-galanya dari garis permulaan.

Dalam usia baru 23 tahun, gadis kelahiran Alor Setar, Kedah ini tidak hanya berkebolehan menyanyi, bahkan berbakat menulis lagu dan menerbitkan album. Impiannya mahu menjadi seperti dua penyanyi wanita Alicia Keys dan Melly Goeslow yang bukan saja boleh menyanyi tetapi mencipta lagu hingga karya mereka menjadi rebutan penyanyi lain.

Cita-cita itu tidak mustahil dapat digapai penyanyi berkulit hitam manis ini. Bakatnya sudah terbukti dengan terhasilnya lagu Sindarela, Akan Tiba dan Aku & Mimpi yang pernah menjadi pilihan produser untuk dijadikan soundtrack drama. Kebolehan menulis lagu sudah lama dipendam sehinggalah penerbit Radius One, Shahrul Ezad Mohameddin dan Isma Yusoof mengesan kebolehannya dan memberikan peluang kepada Amylea.

Bakat Amylea juga nampaknya mula menarik beberapa penyanyi untuk mendapatkan khidmatnya. Bagaimanapun, Amylea enggan mendedahkan siapakah penyanyinya kerana masih pada peringkat perbincangan. Biarpun ada yang sudah menunjukkan minat kepada sentuhannya, Amylea terpaksa membataskan permintaan penyanyi lain kerana mahu memberikan tumpuan kepada albumnya sendiri.

“Saya amat berterima kasih kepada OIAM kerana terlalu banyak ilmu yang saya kutip. Kini saya tahu hala tuju dimahukan, saya lebih bebas berkarya, dan saya juga tahu apa yang perlu dilakukan dan muzik bagaimana sesuai untuk saya.

“Saya mahu menjadi penyanyi berbakat dan dikenali. Saya tidak mahu orang kata, oh.. seorang lagi penyanyi baru muncul kemudian lenyap begitu saja. Saya mahu menjadi seorang penyanyi yang mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan penyanyi lain.

“Walaupun tidak berjaya bergelar juara dan secara tidak langsung impian memiliki studio sendiri berkecai, saya tidak ralat. Saya tahu saya sudah bekerja keras sepanjang berada dalam OIAM, tiada yang menggembirakan selain kreativiti saya mendapat pujian bukan saja peminat tetapi mereka yang arif dalam dunia muzik.

“Sejak di bangku sekolah lagi saya sentiasa memastikan tekad dipasang tercapai. Barangkali darah seni yang mengalir dalam tubuh ibu dan bapa saya menguatkan lagi semangat untuk berjaya dalam bidang nyanyian. Saya tidak akan jemu berusaha untuk melakar kejayaan di gelanggang sendiri tetapi saya juga berazam melebarkan sayap ke arena antarabangsa,” katanya yang baru muncul dengan album sulung Selepas 3, Disember lalu.

Showcase di Bangkok Jazz

EMPAT tahun memperjudikan nasib kepada bidang nyanyian memang mustahil untuk mencapai semua impian itu dalam waktu yang singkat. Namun, Amylea masih beruntung kerana salah satu di antara puluhan cita-citanya termakbul jua iaitu membuat persembahan solo.

Gadis lincah ini buat pertama kalinya mengadakan showcase Aku Amylea pada 5 dan 6 Jun lalu di Restoran Bangkok Jazz.

Katanya, itulah masanya peminat yang mungkin tidak puas dengan persembahannya dalam OIAM menikmati persembahan penuhnya. Dalam showcase selama 90 minit itu, Amylea mendendangkan 12 buah lagu daripada album sulungnya serta lagu popular terkini tanah air.

Lebih istimewa lagi, persembahannya itu diiringi live band diketuai Jaja daripada band Hujan. Bagaimanapun, sebelum showcase, Amylea memperdengarkan lagu daripada album Selepas 3 kepada media pada sesi pradengar hari sama.

“Inilah masanya media dan peminat mengenali saya dengan lebih mendalam. Sudah lama saya berangan-angan untuk membuat showcase seperti ini tetapi akhirnya hasrat itu termakbul juga. Tak dapat hendak saya gambarkan keterujaan untuk membuat persembahan solo buat pertama kalinya,” katanya.

INFO: Amylea

  • PENYANYI kelahiran Alor Setar, Kedah ini dikesan bakatnya menerusi program realiti Akademi Fantasia 3, empat tahun lalu dan berjaya menduduki tempat ketiga.

  • BERNAUNG menerusi Maestro sebelum syarikat berkenaan ditutup baru-baru ini dan Amylea kini bergerak bersama syarikat pengurusan baru diberi nama The Republic.

  • THE Republic diuruskan Reza Fahmi, bekas pengurus Liza Hanim. Reza tertarik menguruskan Amylea kerana melihat bakat gadis genit itu tatkala mempersembahkan lagu Jason Mraz.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: