Tuesday, June 16, 2009

Belai jiwa dengan kucing


DARI kiri; Sazzy Falak, Rafidah, Tini dan Celina pada Pelancaran makanan kucing, Fancy Feast di Bukit Kiara.

Binatang peliharaan ini juga perlukan kasih, sayang penjaganya

SETIAP manusia dibekalkan dengan akal untuk berfikir secara waras. Kelebihan ini hanya diberikan kepada makhluk ciptaan tuhan yang sempurna iaitu manusia. Namun, akal dan fikiranlah yang membezakan manusia dengan makhluk lain ciptaan Allah.

Menerusi akal, kita dapat merasai sifat kasih dan sayang yang bukan saja untuk sesama manusia, malah untuk binatang peliharaan dijaga.

Umum mengetahui binatang peliharaan turut mempunyai sifat kasih dan sayang yang turut merasai dihargai sekiranya diri mereka disayangi.

Kucing adalah salah satu bintang kesayangan Rasulullah, justeru sifat mulia yang dimilikiNya harus diteladani setiap insan di dunia ini.

Hobi memiliki binatang kesayangan seperti kucing tidak semestinya memerlukan modal besar untuk memilikinya, cuma sedikit penjagaan ditambah dengan sifat kasih dan sayang.

Camelia dengan kucing bernama Kitty.

Seperti penyanyi jelita Dayang Nur Camelia Abang Khalid, 34, atau Camelia berkata, perasaan sayang akan tersentuh sebaik dia memeluk kucing.

“Sebenarnya saya suka memeluk kucing kerana bulunya yang gebu membuatkan perasaan sayang itu wujud, lebih lagi kucing ini binatang yang manja dan suka dibelai.

“Namun, sehingga kini saya belum memiliki kucing sendiri kerana bimbang tidak dapat memberi perhatian kepadanya. Tetapi jika rumah keluarga saya di Kuching, Sarawak ada enam kucing peliharaan adik saya.

“Sesekali balik kampung saya tidak akan lepaskan peluang bermain dengan kucing yang menganggapnya sebagai sebahagian daripada keluarga kami,” katanya yang memasang impian untuk memiliki kucing sendiri suatu masa nanti.

GAMBAR atas, Yasmin Hani bersama kucing kesayangannya. Gambar bawah, Sharizan juga pencinta kucing.

Camelia yang ditemui pada majlis pelancaran produk makanan kucing, Fancy Feast, keluaran Purina PetCare (Malaysia) Sdn Bhd (Purina) baru-baru ini menerima undangan merasmikan majlis itu dengan semangat untuk mengenali lebih dekat dunia kucing.

Turut hadir selebriti tanah air lain yang hadir bersama kucing kesayangan mereka seperti Sazzy Falak dan suami, Nazril Idrus; Aishah Sinclair, Atilia, Yasmin Hani, Sharizan, Rafidah Abdullah dan Celina Khor. Tidak ketinggalan, Kartini Hot FM, selaku pengacara majlis.

“Selepas melihat rakan lain sudah memiliki kucing sendiri, perasaan untuk memiliki kucing sendiri tetap ada.

“Sebelum majlis ini diadakan seminggu lalu, saya ditawarkan Pengurus Perniagaan Dalam Negara Purina, Tim Wilson untuk bersama Kitty kucing yang akan saya gunakan pada majlis perasmian produk makanan ini.

“Ia menggalakkan saya mengenali lebih dekat kucing ini kerana untuk membiasakan diri saya bersama kucing itu. Saat itulah saya dapat rasakan betapa seronoknya sekiranya saya memiliki kucing sendiri,” katanya.

Sementara bagi pengacara televisyen, Yasmin Hani mengakui pada peringkat awal dia tidak pernah merancang memelihara kucing di kediamannya, namun selepas rasa simpati dia memilikinya sehingga sekarang.

“Hati saya tersentuh dan bersimpati apabila terjumpa seekor kucing dalam keadaan yang tidak terurus di perhentian bas berhampiran kediaman saya.

“Terdapat kecacatan pada kaki kucing itu, tetapi dia sangat comel, lalu saya mengambilnya dan menamakannya Magic.

“Saya membawa Magic bertemu doktor veterinar untuk mendapatkan rawatan perubatan terlebih dulu sebelum memutuskan untuk memeliharanya.

“Apabila kasihan melihat Magic sering keseorangan di rumah, abang saya, Andre Richardson pula membawa pulang seekor lagi kucing jalanan yang ditemui di bahagian pejabat sekuriti lama berhampiran kediaman kami.

"Kucing itu pula diberi nama Smudge yang juga sakit dan tidak terurus serta kakinya berulat, kami terus membawanya berjumpa doktor dan sepakat untuk sama-sama memeliharanya.

“Kini, Magic dan Smudge berubah menjadi kucing sihat dan comel serta menjadi sebahagian daripada hidup saya, abang dan adik yang sama-sama bergilir menjaganya sampai sekarang,” katanya.

Beza pula bagi Sazzy dan suaminya, Nazril yang sememangnya sehati mencintai binatang peliharaan itu sejak kecil.

“Sehingga kini saya masih memelihara dua kucing selepas berkahwin dengan Nazril iaitu Cinta (betina) dan Coolio (jantan).

“Coolio adalah kucing jenis Maine Coon yang baru berusia setahun, manakala Cinta pula separuh Persian dan kucing biasa. Sebenarnya, saya sudah memelihara Cinta terlebih dulu, sebelum Coolio datang dalam hidup kami berdua.

“Walaupun kami berdua mempunyai jadual harian yang padat, namun kami tidak masalah untuk memberi perhatian yang lebih kepada kucing peliharaan kami kerana kami mempunyai pembantu rumah yang akan menguruskan sekiranya kami bekerja.

“Tetapi sekiranya pembantu rumah kami bercuti, tugas itu akan dipikul suami yang akan menguruskan semuanya termasuk mencuci najis kucing,” katanya yang memperuntukkan RM200 sebulan bagi kos penjagaan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: