
Sungguhpun baru pertama kali mengacarakan program secara langsung, Misha kelihatan tidak gementar langsung. Malah jemputan pertama untuk episod pertama kelolaannya bukan calang-calang – Sharifah Shahirah (Shira) yang diketahui juga merupakan pengacara yang bila-bila masa boleh mencuri ‘lime light’ Misha jika tidak kena gayanya.
“Orang mungkin lihat saya tenang, tapi sebenarnya perasaan berdebar-debar itu ada. Selama ini saya agak manja apabila diberikan apa-apa tugasan kerana kakak saya akan menguruskan segala-galanya. Tapi kali ini, saya bangun seawal jam 5.30 pagi untuk membuat ‘research’ dan menulis nota tentang Shira dan pasangannya, Ijoy. Apa pun saya bersyukur kerana sudah mengenali mereka sebelum ini jadi sedikit sebanyak ia turut membantu program hari ini,” ujar Misha.
Begitu pun, Misha tidak dapat memberikan jawapan selama mana dia akan mengacarakan Sehati Sejiwa kerana masih belum dimaklumkan pihak penerbitan. Baginya, dia akan menunaikan amanah yang diberikan kepadanya sebaik mungkin dahulu dan terpulanglah kepada pihak berkenaan untuk membuat keputusan.
“Saya bukanlah ditawarkan terus untuk menjadi pengacara program ini. Sebaliknya selepas diberitahu Scha tidak dapat meneruskan tugasnya kerana sibuk dengan komitmen pada Awan Dania, saya diminta datang untuk uji bakat dahulu. Saya dimaklumkan ada empat orang yang disenaraipendekkan. Alhamdulillah, beberapa hari selepas uji bakat itu saya dimaklumkan terpilih. Ibaratnya pucuk di cita ulam mendatanglah,” kata Misha yang sememangnya menanti-nanti peluang untuk terlibat dengan cabang seni selain nyanyian selama ini.
Menunggu seru
Beralih kepada kisah peribadi, Misha tampaknya senang mengambil pendekatan berterus terang sahaja bahawa hatinya kini sudah dimiliki. Cuma untuk menyatakan bila dia dan pilihan hatinya mahu mendirikan rumah tangga, jawapannya belum boleh diberi.
“Sebagai perempuan tidak manislah jika saya mengulas lebih-lebih tentang satu-satu hubungan. Saya juga tidak mahu memaksa pihak lelaki melamar. Harap-harap berkat saya mengacarakan program sebegini (Sehati Sejiwa) seru itu akan sampai,” tutur Misha berbaur gurauan.
Bagaimanapun buat masa sekarang, Misha tidak menafikan dia sendiri memerlukan ruang untuk melebarkan lagi karier seninya yang kian memekar. Selain mengacara, dia masih berlakon dan menyanyi seperti biasa. Antara drama lakonannya yang masih belum disiarkan ialah Lela Latah yang bakal menemui penonton 31 Julai ini.
Bagi karier nyanyian pula, dia sedang mengumpul material untuk album terbaru dari masa ke semasa. Kalau boleh kata Misha, dia mahukan lagu-lagu segar hasil gubahan komposer muda. Antara yang sedang diintainya, lagu ciptaan Noh Hujan.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: