
“Setiap minggu memang akan ada penyingkiran. Namun penyingkiran itu biarlah dilakukan kepada mereka yang patut sahaja. Kalau diikutkan saya, kesemuanya bagus tetapi disebabkan ini satu pertandingan, maka pasti ada yang kalah dan menang.
“Namun walaupun kuasa undian diberikan sepenuhnya kepada penonton melalui SMS, nasib tiga peserta yang menerima undian paling rendah akan ditentukan oleh saya. Saya yang berhak memilih sesiapa pun daripada mereka untuk disingkirkan berdasarkan prestasi dan potensi mereka pada pemerhatian saya,” jelas pemegang takhta ‘Pelakon TV Terbaik’ selama tujuh tahun berturut-turut ini.
Seperti mana diketahui umum, imbuhan yang dijanjikan buat peserta program ini ialah peluang untuk membintangi filem terbaru Rosyam. Filem yang diberi judul Kekasih itu diarahkan pula pengarah yang pernah memenangi anugerah Pengarah Filem Terbaik di Anugerah Skrin 2007 menerusi filem Syaitan, Bade Hj Azmi.
Sungguhpun demikian, Rosyam menyatakan tujuan dia menerbitkan Pilih Kasih bukanlah untuk mencari pelakon utama bagi filemnya semata-mata, tetapi dia juga berhasrat mahu melahirkan lebih ramai pelakon berkaliber. Justeru, dia akan memastikan kesemua peserta mampu memanjangkan langkah mereka dalam bidang lakonan menerusi peluang untuk muncul dalam drama-drama terbitan syarikatnya, Suhan Movies selepas tamat program kelak.
“Saya yakin dengan kebolehan mereka kerana mereka dibantu oleh orang-orang yang menjadi kepercayaan dalam industri seperti Rosminah Tahir, Erma Fatima, Amy Maziah dan Along Kamarudin,” katanya optimis.
Daripada 8,000 peserta yang menghadiri uji bakat di lapan lokasi seluruh negara, 20 peserta sudah pun diumumkan terpilih ke peringkat akhir dan bakal tampil dalam program pertama Pilih Kasih yang dipancarkan secara langsung ke TV2 dari Auditorium Tengku Tuan Cik, Senawang, Negeri Sembilan, 8.30 malam esok.
Mereka terdiri daripada Iqbal Mazlan, Zulin Aziz, Aris Yamin, Nabila Dally, Indera Hafiz, Shania, Ahdan, Bea Rameshan, Diwan Nawi, Ana Dahlia, Sofian Bujang, U Haizah, Ray Redzuan, Emilie Hanif, Khafie, Wanina Zaki, Reza Hasbi, Fiona Benard, Aman Sharoni dan Zara Suriana.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: