Sunday, June 7, 2009

Amy Mastura selepas 16 tahun




PERJUANGAN 16 tahun Amy Mastura Suhaimi dalam industri seni tanah air kini berbaloi apabila kini bergelar komposer, penyanyi, pelakon, pengacara dan duta produk Quaker, Slimworld dan Omega.

Sepanjang tempoh tersebut pelbagai dugaan yang ditempuh dan apa yang digenggaminya sekarang bukan satu perkara yang mudah dicapai, terutama dalam usaha untuk menambat hati seluruh peminat seni.

Menjadi anak wayang memang idamannya sejak kecil tambahan lagi selepas memenangi pertandingan Asia Bagus di Jepun pada tahun 1993. Ini merupakan tapak permulaan yang mengubah keseluruhan hidupnya.

"Bagi saya, apa yang diperlukan untuk menjadi seorang penghibur adalah niat kita dan diiringi dengan kerja yang ikhlas. Ia merupakan tunggak utama bukan sahaja dalam dunia seni malah dalam bidang lain," kata wanita berusia 38 tahun ini.

Beliau menafikan dakwaan yang mengatakan artis 'veteran' sepertinya itu mempunyai jangka masa tersendiri apatah lagi dengan kemunculan artis daripada program realiti.

"Sebenarnya, tiada apa lagi yang perlu saya cemburukan dengan artis baru. Mereka diperlukan kerana sebagai pelapis kepada penyanyi yang ada sekarang."

"Namun, untuk bersaing dengan mereka, tidak mungkin. Ini kerana kita mempunyai arah tuju yang berlainan dan sepatutnya pada masa sekarang, kita perlu perbaiki kelemahan masing-masing untuk menjadi serba boleh," jelasnya yang akan berundur dalam bidang seni sekiranya tidak diterima lagi oleh peminat dan keluarga.

Baginya, perjuangan seninya ikhlas dan yang membanggakan apabila kebanyakan daripada peminatnya terdiri daripada pelbagai usia turut menyumbang kepada pengukuhan namanya.

Tambahnya, peminat Amy membesar seiring dengan peredaran usianya malah hubungan istimewa itu bertukar menjadi rakan baik.

Kini Amy Mastura lahir dengan album ketujuhnya yang menggunakan konsep happy yang bertepatan dengan jiwanya yang sentiasa dalam gembira, ceria dan nakal.

Apa yang menariknya, antara lagu yang dimuatkan dalam album Happy ini turut melibatkan golongan kanak-kanak dan remaja dari Yayasan Warisan Alam (Yawa) yang turut menyumbangkan kemahiran bermain alatan muzik yang berasaskan dari barangan kitar semula seperti tong, baldi, botol dan lain-lain.

Baginya, pengalaman itu amat berharga sekali kerana dapat berkongsi irama muzik bersama generasi muda yang amat kreatif dan berbakat dan perlu dipupuk di kalangan semua orang.

Mengenai lagu dalam albumnya itu, Amy yang penuh dengan sifat keibuan ini tertarik untuk mengulas mengenai lagu Ini Kasihku apabila liriknya dicipta sendiri khas buat permata hatinya, iaitu Adalia, 4 dan Adriana, 8.

Katanya, lagu itu juga sesuai buat semua ibu dan mesej yang disampaikan dalam lagu ini juga amat bermakna dan mendalam sekali.

Katanya, walaupun jadual kerjayanya amat padat tetapi tetap mencari waktu untuk bersama anak-anaknya kerana mereka adalah penawar kedukaan yang paling mujarab.

"Saya seperti wanita lain yang mempunyai kerjaya dan pada masa yang sama bertanggung jawab untuk membesarkan anak-anak.

Pengalaman membesarkan anak-anak ini hanya dilalui sekali sahaja seumur hidup dan tidak boleh patah balik.

"Jadi, saya akan cuba sedaya upaya untuk berada bersama mereka sebanyak mana yang boleh," kata anak bongsu dari dua beradik itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: