Tuesday, June 23, 2009

Mengapa bintang filem seperti dewa?


MAYA Karin hanya memberi tumpuan pada lakonan filem. Sehingga kini dia belum pernah terlibat dalam mana-mana drama TV. - Gambar hiasan


ApabilA kita bercakap tentang filem, kita sebenarnya tidak dapat lari daripada memperkatakan tentang selebriti atau bintang filem.

Pelakon muncul dalam sesebuah filem, melakonkan pelbagai watak dan kita akan menonton aktor ini berulang-ulang.

Tetapi mengapakah kita boleh menerima aktor ini dalam pelbagai watak dan mengapakah pelakon filem selalunya mempunyai kedudukan yang lebih besar berbanding pelakon drama televisyen?

Apabila industri filem berkembang, maka di sekeliling industri ini juga turut berkembang industri hiliran seperti majalah, rancangan TV, laman-laman talian terus Internet dan sebagainya.

Apa yang menarik industri hiliran ini akan membantu bintang filem itu menjadi orang yang dipuja dan tokoh pujaan lahir.

Dalam hal ini dua perasaan telah muncul dalam hubungan kita dengan bintang ini.

Pertama perasaan mengenali yang rapat dan kedua, sikap pemujaan. Sikap kedua ini iaitu pemujaan, memperlihatkan bagaimana seseorang (pelakon) itu berubah untuk mencapai kedudukan berstatus bintang seperti mana dewa Greek melalui medium yang memunculkan mereka.

Tetapi mengapakah bintang filem mempunyai kedudukan yang lebih besar berbanding bintang TV dalam hiraki selebriti?

Perlu kita ingat filem mempunyai layar yang jauh lebih besar berbanding skrin televisyen.

Setiap kali kita menonton imej di filem, maka imej itu berada dalam kedudukan yang jauh lebih besar dari penonton.

Dalam hal imej pelakon atau bintang filem akan dengan mudah mendominasi penonton.

Hal ini dibantu pula oleh kedudukan penonton yang pasif semasa menonton filem (penonton filem dalam gelap pawagam hilang kuasa untuk beralih ke rangkaian lain seperti rancangan televisyen dan mereka terpaksa menonton bentuk-bentuk yang telah ditentukan oleh pengarah tanpa ada pilihan lain).

Sedangkan penonton televisyen mempunyai kuasa menekan punat alat kawalan jauh untuk menukar ke rangkaian lain jika mereka dapati rancangan itu tidak mereka sukai tanpa ada kuasa halangan daripada kotak televisyen (yang sering juga dikatakan sebagai idiot box).

Oleh itu apabila berlaku perbandingan kedudukan antara selebriti filem dan televisyen, maka selebriti televisyen akan berada di tahap yang di bawah berbanding bintang filem.

Fantasi yang menyelubungi bintang televisyen adalah kurang berbanding bintang filem.

Bintang televisyen juga kelihatan lebih kecil, kurang bersinar dan kurang kuasa magnetik.

Mimpi penonton terhadap selebriti filem tidak sama dengan selebriti televisyen. Hal ini disebabkan oleh perbezaan saiz medium tersebut.

Maka, ia memperjelaskan hubungan kita dengan bintang televisyen, di mana serapan emosi dan penguasaan psikik khalayak tidak sama dengan penguasaan selebriti filem.

Sungguhpun selebriti televisyen tetap mempunyai peminatnya sendiri tetapi hanya bintang mencapai status dan aura dewa.

Tetapi bagaimanakah khalayak boleh mempunyai perasaan saling kenal dan biasa (familiarity) dengan bintang filem?

Apakah kerana ia mempunyai hubungan seperti mimpi kita dengan seseorang yang kita kenal?

Filem dan mimpi berada dalam kedudukan yang hampir sama. Kita hanya bermimpikan dengan watak atau orang yang kita kenal.

Apabila kita menonton pelakon yang sama berulang kali, contohnya Erra Fazira di layar filem, maka kita menjadi semakin rapat dengan wajah itu dan kita juga sebenarnya cuba memasuki perasaan yang bergolak dalam dirinya (sebenarnya perasaan watak) dan ini menjadikan kita seakan begitu mengenalinya.

Hal ini ditambah pula dengan peranan yang dimainkan oleh media seperti majalah, Internet dan akhbar yang menyiarkan berita atau cerita sensasi yang memuja mereka.

Dengan pengenalan seperti ini tidak hairan jika kita turut secara automatik meletakkan bintang ini dalam mimpi kita kerana kita merasa 'rapat' dengannya.

Tidak peduli

Budaya yang melingkari sekitar industri ini pastinya akan mengambil kesempatan daripada perasaan yang rapat antara khalayak dan bintang filem ini.

Dan khalayak pula tentulah hendak menonton seseorang yang mereka kenali.

Hubungan rapat dan aneh sebeginilah yang memperjelaskan kita mengapakah selebriti filem boleh menguasai industri ini seperti di Hollywood dan Bollywood.

Malah di Bollywood, bintang filem tertentu seperti Amitabh Bachchan mempunyai kedudukan dan aura yang selari dengan teks filem itu sendiri.

Watak dan cerita filem ditulis supaya disejajarkan dengan imejnya sebagai bintang.

Malah penguasaan bintang yang hebat dalam filem di Bollywood menjadikan pengarah filem tidak perlu dikenali di Bollywood.

Khalayak menonton filem kerana selebriti-selebriti tertentu berlakon, hingga mereka tidak peduli tentang cerita filem tersebut yang kelihatan buruk.

Bukankah hal sama juga berlaku dalam industri tempatan. Ia memperjelaskan kedudukan bintang seperti Erra Fazira, Maya Karin, Fasha Sandha, Rosyam Nor dan malah Saadiah, Latifah Omar, P. Ramlee serta Nordin Ahmad.

Keadaan ini bukanlah satu kesalahan, tetapi di sinilah memperlihatkan kuasa dan magik filem.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: