Tuesday, June 23, 2009

Sakhti mengintai peluang


Ahli kumpulan Sakhti, dari kiri Pyan, Shah, Ayied dan Alie.


DI tengah kemelut kegawatan industri muzik, kehadiran mereka yang ingin membuka lembaran seni suara baik solo mahupun berkumpulan tidak pernah terhenti.

Segalanya berpaksi atas rasa yang sama iaitu minat serta keinginan berkongsi kemahiran muzik.

Jika kehadiran penyanyi solo lebih kepada aliran pop dan balada, penyanyi berkumpulan pula condongnya lebih kepada muzik rock.

Sebuah lagi kumpulan rock muncul mewarnai persada seni tempatan. Ditunjangi oleh empat anak muda iaitu Ayied (vokal), Pyan (gitar), Shah (drum) dan Alie (bass), mereka menggelarkan diri sebagai Sakhti yang bermaksud kuasa.

Mempertaruhkan lagu-lagu berentak moderate, bakat mereka diserlahkan menerusi enam single yang dimuatkan dalam album Sakhti 2, antaranya ialah Kuda Kayu, Redha, Khalifah Dunia, Lumrah, Hasrat dan Si Baju Hijau.

Album tersebut telah dilancarkan pada pertengahan Mei lalu dan kini sedang giat dipromosikan.

Sebetulnya, kumpulan ini mula diasaskan sejak tahun 1996 lagi. Ketika itu mereka dikenali sebagai kumpulan Ories.

Sukar mencari ruang bertapak, nama mereka kian dilupakan. Namun pada tahun 2004 mereka muncul kembali membawa semangat baru, nekad meneruskan minat dan kerjaya seni.

Bagaimanapun, ada kelainan yang cuba mereka tonjolkan. Bukan kecewa dengan nama Ories, menurut mereka, nama Sakhti umpama semangat baru untuk mereka kembali aktif berkarya.

Mencari ruang bertapak atas tiket tersebut, kumpulan yang bernaung di bawah Pyan Entertainment itu menghasilkan album Sakhti 2 dengan modal lebih RM30,000.

"Perjalanan lama yang diambil memberi kami ruang berkarya dan menghasilkan lagu-lagu sendiri. Malah, muzik yang ingin kami bawa lebih terserlah dalam album kedua berbanding album single pertama kami, Sakhti yang di hasilkan tahun lalu.

"Sebenarnya album Sakhti 2 ialah lanjutan daripada album single kami yang pertama. Sakhti 2 turut memuatkan kesemua tiga single dalam album Sakhti iaitu Lumrah, Hasrat dan Si Baju Hijau.

"Kelainan yang kami lakukan untuk lagu-lagu tersebut ialah memberi nafas baru dari segi susunan muzik," kata Pyan mewakili rakan-rakannya.

Tambah Pyan, lagu-lagu mereka telah mula diputarkan di corong-corong radio termasuk Mutiara FM (Pulau Pinang). Hampir sebulan dilancarkan, cetakan pertama album tersebut sebanyak 2,000 unit telah pun terjual melebihi 500 salinan.

Kepada peminat kumpulan Sakhti yang ingin mengetahui lebih lanjut tentang perjalanan dan aktiviti seni kumpulan tersebut, sila layari laman sesawang www.sakhti23.blogsport.com.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: