![]() Syafeera |
Suasana suram pasaran muzik tidak jejas usaha martabatkan irama nasyid
PADA ketika pasaran muzik kian berdepan masa depan yang kabur, kumpulan nasyid juga tidak terkecuali daripada berasa kesan serupa. Tidak lama dulu, banyak sekali kumpulan nasyid muncul, mengikut jejak langkah seperti Raihan, Rabbani, Hijjaz dan Inteam, tetapi kini keadaan itu sudah jauh berubah.
Begitupun, suasana suram yang menyelubungi pasaran muzik bukanlah pematah semangat untuk sesetengah pihak meneruskan usaha memartabatkan irama nasyid. Dalam keadaan yang kurang memberangsangkan ketika ini, umpamanya, sebuah kumpulan dari selatan tanah Air, Syafeera, tetap berani tampil bersama album single mereka berjudul Cahaya Solat.
Walaupun muncul dengan hanya empat lagu, Syafeera mempunyai harapan dan matlamat tersendiri apabila syarikat rakaman QSP cawangan Batu Pahat memutuskan untuk menerbitkan album mereka, menggunakan khidmat Aim Crossfire sebagai produser.
Kumpulan yang dianggotai Seti Syuhadah Zakaria (Seti), 26, Norashikin Abdullah (Ekin), 25, Zanariyah Ngarip (Zana), 24, dan Dahliana Robani (Leeya), 28, amat menyedari suasana pasaran muzik ketika ini yang tidak berapa menyebelahi artis.
"Namun begitu, ia tidak menjadi batu penghalang kepada kami untuk berjuang menaikkan martabat kumpulan nasyid wanita di negara ini. Bukan saja kumpulan nasyid wanita semakin berkurangan, bahkan lagu mereka juga seakan terpinggir di sisi radio tempatan," ujar Leeya ketika berkunjung bersama-sama rakan Syafeera yang lain ke Balai Berita, baru-baru ini.
Katanya, pada waktu azan sekali pun, kebanyakan lagu nasyid yang dimainkan stesen radio terdiri daripada lagu kumpulan nasyid lelaki.
"Sedangkan, hak berdakwah itu bukan hanya terletak di bahu lelaki semata-mata. Golongan wanita juga mempunyai ruang untuk berbuat demikian. Lagipun, bukannya kami mengalunkan lagu yang boleh membuatkan orang ramai sampai teruja berlebih-lebihan," katanya.
Menyedari pelbagai pandangan diberikan terhadap isu wanita dan suara mereka, Seti percaya, seandainya ia disertakan dengan niat yang baik, kebaikan jugalah yang akan diperoleh.
"Selagi batas agama dijaga, kami juga mempunyai hak untuk muncul di pentas menyampaikan lagu berunsur dakwah kepada khalayak," ujar Seti yang bergelar seorang ustazah.
Selain dirinya, Zana juga seorang guru agama di Johor, manakala Ekin bekerja sebagai kerani guaman, sementara Leeya pula memberikan perhatian sepenuh masa kepada kumpulan berkenaan.
Ditubuhkan sejak 2006, kumpulan terbabit akhirnya muncul dengan album sendiri pada Mei lalu, selepas proses rakamannya bermula pada akhir 2008.
"Ketika ini, kami hanya menjual album ini di lokasi Syafeera mengadakan persembahan serta di kedai muzik sekitar Batu Pahat. Ia juga boleh didapati menerusi laman sesawang yang akan kami bangunkan nanti.
"Menerusi Cahaya Solat, peminat boleh menikmati empat lagu yang dihasilkan mengikut konsep nasyid kontemporari, tetapi masih kuat disuntik muzik nasyid tradisional dengan lirik yang bertunjangkan nasihat," kata Leeya.
Album itu, katanya, diterbitkan sebagai salam perkenalan buat peminat. Jika ditakdirkan sambutan diberikan orang ramai terhadap percubaan sulung itu membanggakan, sudah pasti album susulan akan mengikut di belakang.
"Kami sebenarnya merakamkan banyak lagu sepanjang proses penghasilan album ini dilakukan. Namun, hanya empat lagu dimuatkan terlebih dulu menerusi album perdana. Insya-Allah, jika rezeki menyebelahi, album penuh yang memuatkan lebih banyak lagu akan menyusul," katanya.
Menyerahkan tugas ciptaan lagu kepada Aim yang lebih berpengalaman, Syafeera bagaimanapun tidak goyang kaki. Mereka tampil dengan sebuah lagu berjudul Ku Mohon, hasil tangan sepenuhnya Leeya. Lagu lain ialah Cahaya Solat (Aim / Adha), Carilah Ilmu (Aim / Adha) dan Dendang Nasihat (Aim / Fauzan).
"Jika diberikan peluang, mungkin lebih banyak lagu ciptaan anggota Syafeera akan disenaraikan pada percubaan kedua," kata Leeya sambil memberitahu, perkataan Syafeera itu sendiri mewakili sejenis bunga, yang menjadi simbolik kepada keanggotaan kumpulan berkenaan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: