Tuesday, June 23, 2009

Kuarantin diri sendiri - Guru, pelajar dua sekolah elak bergaul atau hadiri keramaian




KUALA LUMPUR - Menteri Kesihatan, Datuk Seri Liow Tiong Lai menggesa semua warga sekolah yang diarah tutup kerana penularan influenza A (H1N1) supaya melaksanakan 'kuarantin sendiri' di rumah dan tidak bergaul dengan orang ramai seperti menghadiri majlis keraian atau kelas tuisyen.

Tiong Lai juga mahu mereka mengamalkan cara hidup yang sihat, lebih menjaga kebersihan diri dan pastikan tidak menjangkiti orang lain.

Sambil menasihati orang ramai agar tidak panik, Menteri itu berkata kerajaan juga tidak bercadang untuk menutup semua sekolah di negara ini kecuali penyakit itu merebak secara meluas.

Tiong Lai berkata buat masa ini kerajaan juga tidak boleh melarang orang ramai untuk pergi ke luar negara kerana Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) tidak mengeluarkan sebarang kenyataan yang melarang mana-mana pihak untuk melawat mana-mana negara.

"Kami berharap orang ramai dapat mengikut nasihat Kementerian Kesihatan, agar tidak melawat negara-negara di mana penularan wabak itu berlaku secara tempatan seperti Australia, Filipina dan Amerika," katanya pada sidang akhbar di Bangunan Parlimen semalam.

Tiong Lai turut menggalakkan orang ramai termasuk pelajar yang baru pulang dari luar negara supaya kuarantinkan diri selama seminggu di rumah walaupun tidak mengalami simptom penyakit itu.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: