Tuesday, June 16, 2009

Konsert Inspirasi TV3 di Dataran Merdeka


NURUL AINI(lima dari kanan) memotong kek tajaan Hotel Crowne Plaza Mutiara bersempena 25 tahun ulang tahun tV3. turut kelihatan pihak penaja dan rakan artis serta bekas personaliti stesen itu.

Aktiviti santai, hiburan dan informasi bermula seawal jam 2 petang, Sabtu ini

MERAIKAN simbolik Jun yang menjadi bulan sambutan ulang tahun penubuhan TV3, stesen naungan Media Prima Berhad ini bakal menganjurkan Inspirasi TV3 di Dataran Merdeka, Sabtu ini.

Terus teguh dan utuh sebagai stesen nombor satu negara selama 25 tahun beroperasi, TV3 tidak betah duduk diam tanpa melakukan sebarang aktiviti yang boleh terus mendekatkan stesen ini dengan penonton setia seperti karnival Jom Heboh.

Lalu, masih menggunakan pendekatan lebih kurang sama, Inspirasi TV3 menerusi kombinasi karnival mini dan konsert akan dipersembahkan pada tarikh itu. Bertepatan dengan slogan TV3 kini iaitu Inspirasi TV3, acara hebat ini mengetengahkan aktiviti santai, hiburan dan informasi seawal jam 2 petang sehingga 11 malam.

“Ia hadiah besar kepada penonton yang tidak pernah jemu memberi dorongan dan sokongan jitu terhadap TV3. Sedia maklum dan akur dengan permintaan mereka yang dahagakan program menarik, kami tidak akan berpeluk tubuh tanpa terus mempersembahkan ‘hidangan’ istimewa buat tatapan bersama,” kata Pengurus Besar Kumpulan Pengurus Jenama TV3, Nurul Aini Abu Bakar menerusi sidang media.

“Pelbagai suka duka dan pahit manis yang TV3 sudah tempuhi untuk sampai ke tahap sekarang. Ingin berkongsi rasa yang sama, TV3 juga akan mengajak orang ramai yang hadir untuk mengimbas kembali perjalanan awal siaran hingga zaman sekarang dengan menonton tayangan audio visual yang disediakan.

DERETAN artis dan personaliti tV3 yang bakal memeriahkan Konsert Inspirasi tV3, 20 Jun ini.

“Ia terus menjadi nostalgia kepada penggemar TV3. Nantikan Inspirasi TV3 yang bakal menggegarkan Dataran Merdeka pada tarikh ditetapkan itu,” katanya.

Acara yang bakal memahat sejarah tersendiri buat TV3 ini mendapat kerjasama penaja seperti Maxis (Hotlink), Canon dan Rangkaian Radio Media Prima. Turut hadir pada sidang media terbabit ialah Pengurus Besar dan Ketua Segmentasi, Maxis Communication Berhad, Rozalila Abdul Rahman; Pembantu Pengarah, Imaging Communication Products Division, Canon Marketing (Malaysia) Sdn Bhd, Simon Wong; Pengurus Rangkaian Program, Rangkaian Radio Media Prima Berhad, Anida Tahrim; dan Pengurus Pemasaran dan Komunikasi, Crowne Plaza Mutiara Kuala Lumpur, Abel Nelson Wong. Ia turut dimeriahkan dengan personaliti dan bekas personaliti TV3 seperti Zalina Azman dan Wan Zaleha Radzi.

Sementara itu, persembahan Konsert Inspirasi TV3 bakal dihoskan tiga pengacara popular yang mendapat pencalonan pada Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2008, Cheryl Samad, Faizal Ismail dan Ally Iskandar.

Antara senarai artis popular lagi berbakat yang sudah memberikan pengesahan untuk menghiburkan pengunjung yang bakal menjejakkan kaki ke Dataran Merdeka ialah Jamal Abdillah, M Nasir, Faizal Tahir, Jaclyn Victor, Adibah Noor, Noryn Aziz, Aizat, Wings, Estranged dan Hujan. Malah, konsert pada malam itu bakal dimeriahkan penyanyi undangan dari seberang, Afgan yang cukup meledak dengan lagu Terima Kasih Cinta dan Padamu Ku Bersujud.

INFO: Inspirasi TV3

  • Hotlink bakal menawarkan cabutan bertuah berupa telefon bimbit Sony Ericsson W910i kepada pengunjung yang menambah nilai kredit RM60 atau mendaftar mana-mana pelan pascabayar Maxis.

  • Dua pas ke Zon Hotlink juga akan diberikan kepada pelanggan Hotlink yang menambah nilai kredit RM10 serta memuat turun satu nada dering pemanggil. Setiap pelanggan setia Hotlink turut berpeluang mendapat satu baucar Kentucky Fried Chicken (KFC) bernilai RM5 dengan menebus nilai 200 mata ganjaran menerusi Hotlink Rewards.

  • Antara aktiviti dirancang dan bakal dijalankan pada hari terbabit ialah penjualan barangan istimewa 25 tahun TV3, My TV3 Samurai Shogun, Gusti Tangan Bionok, Masak Bersama Chef Jo, pertandingan beragam ibu dan anak, cabaran Ewah Ewah@ My TV3, sukan rakyat, pendaftaran ahli My TV3 serta persembahan kebudayaan pelbagai kaum.

  • Sidang produksi yang menjayakan Konsert Inspirasi TV3 ialah Khalijah Mohamed selaku penerbit eksekutif, manakala Nurhul Huda Khalid bertindak sebagai penerbit.
  • No comments:

    Post a Comment

    Tinggalkan Komen Anda Sini: