Tuesday, June 16, 2009

Tolak tawaran tangkap muat




Faezah Elai akui banyak belajar daripada produksi drama

PENGAJARAN yang dikutip selepas mendapat kritikan pedas oleh media sebelum ini menuntut dirinya untuk sentiasa beringat dan berhati-hati dalam menerima apa saja tawaran lakonan. Malah, gadis manis ini bersedia untuk menolak tawaran tangkap muat.

Lalu dek kesabaran dan kecekalan berusaha, lakonan Faezah Elai semakin mendapat pujian kerana mutu lakonannya dilihat semakin memberangsangkan dan kini tawaran lakonan singgah bagaikan tiada noktah.

“Banyak ilmu lakonan yang saya kutip apabila mula terbabit dalam produksi drama. Sebelum ini, saya rasa bersalah apabila menerima peluang berlakon filem ketika mula muncul dalam bidang lakonan.

“Dalam filem, saya sebenarnya tidak berpeluang untuk belajar. Untuk berlakon dalam sesebuah produksi filem, seorang itu seharusnya sudah bersedia lebih awal sebelum ke lokasi. Tetapi tidak bagi saya. Namun, selepas terbabit dalam drama barulah saya merasai apa yang sepatutnya saya lakukan dulu,” katanya yang ditemui pada majlis ramah mesra bersama pelakon drama bersiri La Dolce Amira, baru-baru ini.

Faezah yang memegang watak utama dalam drama ini sebagai Amira mengambil masa kira-kira tiga minggu untuk menghayati watak sebagai Amira.

AIDA (tiga dari kanan) bersama sebahagian pelakon drama bersiri La Dolce Amira yang bersiaran setiap Selasa di TV3.

“Amira adalah gadis sosial yang mempunyai banyak sifat negatif di dalamnya. Setiap watak yang saya terima selama ini adalah watak berbeza dan bukanlah mudah untuk saya mencipta suatu watak baru dalam diri saya.

“Walaupun watak Amira ini bukanlah watak sebenar, tetapi saya mencuba sedaya upaya untuk mencipta watak ini berdasarkan ilmu dan pengalaman yang saya kutip selama ini,” katanya.

Drama La Dolce Amira yang disiarkan menerusi slot Lestary TV3 setiap Selasa jam 9 malam turut dibarisi pelakon seperti Iqram Dinzly, Siti Elizad, Amelia Chan, Linda Hashim, Fizo Omar dan Joanna Bassey.

Drama terbitan Pesona Pictures ini asalnya diberi judul Si Manis Amira, namun atas sebab komersial ia diubah kepada La Dolce Amira.

Pengarah Eksekutifnya , Aida Fitri Buyong, berkata judul sesuatu drama itu adalah nadi kepada segala penceritaan yang boleh menggambarkan segala kemungkinan yang bakal berlaku.

“Saya mengambil masa selama 40 hari untuk proses penggambaran yang dilakukan sekitar Lembah Klang. Ceritanya adalah cerita hari ini yang berlaku di persekitaran kita dan mengambil remaja sebagai subjeknya.

“Sengaja saya memfokus kepada kisah hidup remaja kerana selain memberi hiburan kepada penonton, kita cuba mengingatkan kembali apa saja yang sebelum ini yang kita sudah terlupa.

“Sepanjang menjalani penggambaran, kami tidak menghadapi masalah dan semua pelakon dan kru memberi kerjasama yang sangat baik sehingga selesainya penggambaran ini,” katanya yang mendapat kerjasama Datin Paduka Shuhaimi Baba sebagai penulis skripnya.

La Dolce Amira menceritakan mengenai sekumpulan remaja yang masing-masing mempunyai masalah keluarga, lantas mencipta dunia sendiri untuk mengharungi kehidupan yang dilihat materialistik dan sentiasa mengejar kemewahan.

Mereka juga mempunyai latar belakang berbeza dan mempunyai ibu bapa yang sentiasa mementingkan kerjaya dalam hidupnya berbanding anak-anak.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: