Tuesday, June 16, 2009

Dengarnya... Tak perlu gaduh pasal hal remeh


TERKEJUT juga Cik Normah apabila mendapat tahu kisah seorang pereka fesyen yang namanya semakin dikenali dan sangat bermurah hati dalam bab taja menaja perkahwinan membabitkan selebriti tanah air. Tak silap Cik Normah, sudah dua kali jugalah pereka fesyen itu menaja majlis perkahwinan membabitkan artis jelita.

Majlis perkahwinan pertama membabitkan pelakon comel yang memang tidak mengundang sebarang masalah, malah soal kebajikan pereka fesyen dan krewnya turut dijaga sebaik mungkin. Tapi yang mula menaikkan perasaan marah dan bengang pereka fesyen itu ialah merujuk kepada majlis perkahwinan kedua membabitkan artis yang tidak kurang jelitanya.

Cik Normah pun ada terbaca gosip ini ditulis dalam sebuah akhbar apabila artis yang dimaksudkan itu mengaku busana ditaja kepadanya adalah hasil rekaannya sendiri, bukan hasil tangan pereka fesyen itu. Cik Normah kurang pasti kesahihan cerita itu dan apa sebenarnya yang terjadi.

Tapi Cik Normah difahamkan, artis itu seperti tidak mengenang budi kebaikan pereka fesyen yang cukup sinonim dengan dirinya itu. Terbaru, Cik Normah dapat tahu pereka fesyen itu sudah tidak dapat menahan sabar lagi dengan perangai si artis itu. Malah, artis itu sendiri dikatakan kononnya membawa mulut yang tidak baik mengenai pereka fesyen itu.

Cik Normah diberitahu juga artis itu siap menghasut seorang pelakon yang ingin menggunakan khidmat pereka fesyen itu supaya berfikir banyak kali sebelum menggunakan khidmatnya. Terbaru, Cik Normah dengar, pereka fesyen itu sudah mahu membawa hal ini ke mahkamah dan sudah bertemu dengan peguam. Selebihnya Cik Normah kurang pasti apa tindakan selanjutnya.

Seboleh-bolehnya, Cik Normah harap masalah kecil dan remeh ini tidak berlanjutan menjadi lebih teruk. Si artis kalau tidak puas hati dengan pereka fesyen ini, boleh cari orang lain. Begitu juga dengan pereka fesyen itu pula. Kita ada ramai artis yang belum kahwin, duda dan janda yang tiba masanya akan ke jenjang pelamin. Berbaiklah dengan mereka. Tak perlu nak gaduh-gaduh dalam dunia hiburan yang tak seberapa besar ini.

Apapun, Cik Normah berharap pertengkaran antara artis ini dengan pereka fesyen itu dapat diselesaikan dengan baik. Cik Normah sendiri terkejut dan tidak sangka hubungan baik pernah terjalin di antara artis dan pereka fesyen itu mula menjadi keruh gara-gara isu ini. Jujur cakap, jauh di sudut hati Cik Normah berharap masalah ini akan cepat diselesaikan dan tidak terus berpanjangan.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: