![]() |
| WAJAH terbaru Klthsom. |
UNIK, pelik, kelakar dan macam-macam tafsiran masyarakat di sebalik namanya sebaik dipaparkan di kaca televisyen mahupun di dada-dada akhbar dan majalah.
Masakan tidak, hanya kerana ejaan namanya yang berbeza daripada ejaan lazim menyebabkan dia dengan pantas meraih populariti.
Anda masih ingat pada penyanyi lagu Ku Redha Sendiri, Klthsom?
Ya, Klthsom, bukan Kalsom seperti yang sering kita ketahui.
Kerana ejaan namanya yang unik dan pelik, membuatkan ramai yang memanggilnya dengan pelbagai sebutan.
Ada yang memanggilnya dengan panggilan Keltom. Tidak kurang yang penuh yakin menyapanya Kaltom.
Sudah tentu yang paling mencuit hati tuan punya badan ialah panggilan Kelchom.
Hakikatnya, panggilan buat Klthsom bunyinya Kalsom.
"Ejaan nama saya yang 'pelik' bukan lagi perkara asing bahkan sejak dari zaman kanak-kanak sehingga sekarang pun orang masih hairan lagi.
"Ketika di sekolah dahulu, cikgu sampai menulis nama saya dalam ejaan 'pelik' itu di papan hitam dan menyuruh saya menyebutnya. Biarpun ejaan yang 'pelik' namun panggilan buat saya berbunyi Kalsom," kata penyanyi yang sudah lama menyepi daripada buruan wartawan dan jurugambar pada satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini.
Kekeliruan pada ejaan namanya seperti yang disebut di awal tadi menyebabkan penyanyi yang terkenal kerana imej yang sederhana itu disenangi ramai.
Sebetulnya, kehadiran Klthsom dalam gelanggang seni tidak membawa banyak perubahan besar, selain suaranya yang lunak dan sedap didengar.
Populariti yang diraihnya sekitar tahun 1991 hanya untuk seketika sahaja biarpun bakat seninya mula dikesan sebaik dia menyertai Bintang RTM tahun 1986.
Geli hati
Cerita mengenai ejaan nama Bintang RTM '86 atau nama sebenarnya Klthsom Abdul Kadir, juga mencetus perdebatan di kalangan media pada tahun 1991.
Semuanya berlaku pada majlis sidang media album sulungnya, Ku Meraguimu di sebuah hotel di Kuala Lumpur.
Selain mengenai album berkenaan, Klthsom dihujani pelbagai pertanyaan oleh media kerana ejaan namanya itu.
Bagaimanapun, sebagai seorang yang sudah lali dengan keadaan itu, anak kelahiran Felda Cahaya Baru, Pasir Gudang, Johor ini tidak pernah melenting jauh sekali untuk berasa kecil hati.
Sebaliknya, dengan rasa bangga dia memaklumkan kepada wartawan, dia boleh disapa dengan panggilan Kalsom meskipun ejaannya Klthsom.
Kini pada usia 42 tahun, ibu kepada dua cahaya mata yang sudah lama tidak bersua dengan wartawan hiburan itu masih tidak mampu untuk menyembunyikan rasa geli hati dengan pengalaman-pengalaman silam.
Pada pertemuan itu, Klthsom ditemani suaminya, Sulaiman Abdul, 46, dan dua cahaya mata mereka, Nurul Fatin, 15, dan Mohd. Salehuddin, 10.
Mengimbas kembali rekod penglibatan Klthsom sebagai anak seni, dia secara serius aktif sebagai penyanyi selepas berjaya melayakkan diri ke peringkat akhir Bintang RTM '86 bersama-sama Ramlah Ram.
Dalam pertandingan akhir itu, Klthsom menyanyikan lagu Jangan Menggoda yang dipopularkan Dayangku Intan.
Sayang sekali, nasib tidak menyebelahinya apabila rakan senegeri Ramlah Ram pula berjaya meraih gelaran juara yang menjadi idaman ramai.
Namun, sudah tertulis bahawa rezeki Klthsom sebagai penyanyi rakaman sudah ada. Dalam diam, dia dilamar syarikat rakaman WEA (kini dikenali sebagai Warner Music) untuk bernaung di bawah syarikat itu.
Bersama syarikat rakaman itu, bakat Klthsom digilap dan dia diberi peluang merakamkan album yang memuatkan lagu popular, Aku Meraguimu.
Tidak ketinggalan dalam album yang sama, Klthsom ada merakamkan semula lagu malar segar, Menanti Di Ambang Syurga.
Bertitik tolak daripada kelahiran album itu juga, kehidupan Klthsom berubah dalam sekelip mata.
Barangkali tiada siapa yang dapat menjangka anak seorang peneroka Felda, Klthsom muncul sebagai artis popular.
Menyusul selepas album pertama, Klthsom diberi satu lagi peluang merakamkan album kedua yang memuatkan lagu popular Ku Redha Sendiri setahun selepas itu.
Kali ini, rezeki Klthsom tambah berganda. Lagu ciptaan komposer A. Ali dan lirik ditulis oleh Habsah Hassan itu melonjakkan lagi kemasyhurannya.
Berbekalkan lagu Ku Redha Sendiri, Klthsom melayakkan diri ke peringkat akhir pertandingan carta lagu popular, Pujaan 10 terbitan RTM.
Bayangkan, penyanyi yang baru setahun jagung dalam bidang seni suara digandingkan bersama penyanyi yang telah lama mencipta nama seperti Jamal Abdillah, Nash, Hattan di samping Ziana Zain, kumpulan Exists dan kumpulan Fotograf.
Biarpun lagu nyanyiannya tewas kepada lagu dendangan Jamal Abdillah, Kekasih Awal Dan Akhir untuk muncul sebagai juara Pujaan 10, namun pengalaman bertanding di gelanggang itu benar-benar menggembirakan Klthsom.
"Walaupun saya kalah tetapi saya tidak terkilan. Sebaliknya, saya bangga kerana dapat bertanding bersama Jamal Abdillah, Nash dan Hattan," cerita Klthsom sambil tersenyum.
Selepas album kedua mencipta kejayaan tersendiri, Klthsom memulakan rakaman untuk album ketiga.
Sayang sekal selepas tiga lagu dirakamkan bersama penerbitnya, Iwan, rakaman album itu terpaksa dihentikan kerana Klthsom disahkan hamil anak sulung dan keadaan kesihatan tidak mengizinkan dia aktif.
Sangat bersyukur
"Saya pun tak ingat apa tajuk lagu-lagu yang sudah saya rakamkan. Yang saya tahu alih-alih saja rakaman dihentikan. Selepas Nurul Fatin dilahirkan, saya pula langsung tidak mendengar khabar berita daripada pihak WEA.
"Itulah rakaman terakhir saya. Sejak itulah saya menjalani hidup sebagai suri rumah sepenuh masa. Membesar dan menjaga rumah tangga kerana bagi saya ia adalah harta yang paling berharga," kata Klthsom mengenai penghujung nasibnya bersama syarikat rakaman popular itu.
Klthsom bertemu jodoh pada tahun 1992 dengan memilih Sulaiman yang juga rakan lamanya dalam kumpulan band Hijrah yang dianggotainya sejak 1983 hingga 1985.
Menceritakan hubungan mereka hingga membawa ke jenjang pelamin, sambil memandang suaminya, Sulaiman yang sentiasa di sisi, Klthsom tanpa berselindung berkata:
"Sebenarnya saya dengan abang (panggilan untuk suami) mulanya hanya kawan satu band. Disebabkan rumah saya jauh, abang selalu hantar saya balik.
"Sifat jujur abang membuatkan arwah ayah percaya dan membenarkan abang menghantar saya balik.
"Sejak itulah kami berkawan tetapi bukan bercinta. Saya sekadar menjadi penasihat abang apabila dia menghadapi masalah dengan kekasihnya," kata Klthsom mendedahkan cerita manis yang tersimpan elok dalam kotak fikirannya.
Siapa sangka daripada sering menjadi penasihat, rupa-rupanya ada naluri yang kuat mengikat kemesraan antara mereka berdua.
"Selepas puas menasihati abang, satu hari tanpa saya sedar saya terlepas cakap, susah-susah sangat kau kahwin dengan aku ajelah.
"Saya langsung tidak menyangka gurauan saya itu menjadi kenyataan. Tidak lama selepas itu, abang menghantar keluarga meminang saya dan selepas tiga bulan kami berkahwin," ujarnya rancak bercerita mengenai kebahagiaan rumah tangga yang berusia 17 tahun itu.
Kini, Sulaiman menjalankan perniagaan barangan elektrik bagi menyara kehidupan mereka sekeluarga.
Bagi Klthsom, walaupun hidupnya tidak dikelilingi kemewahan seperti mana yang pernah diraihnya seketika ketika menjadi artis popular dulu, namun dia sangat bersyukur kerana kehidupan dia sekeluarga begitu selesa dan bahagia.
Tambahan pula selepas mengikuti kursus mak andam, Klthsom mengambil keputusan untuk memulakan perniagaan dalam bidang andaman.
"Alhamdulillah kami mendapat banyak tempahan terutama pada musim cuti sekolah. Seronok juga jadi mak andam, cuma kadang-kadang saya terkedu juga apabila ada orang yang masih mengenali saya.
"Bukanlah saya malu dulu jadi penyanyi kini mengandam orang, tetapi apabila ada yang kenal dan minta bergambar terasa macam diri ini mencuri populariti pengantin pula," cerita Klthsom dalam nada ketawa yang masih tidak berubah seperti mana zaman kegemilangannya dulu.
Mengungkit kenangan silam ketika bergelar artis, Klthsom yang dikesan bakatnya oleh tokoh muzik, Datuk Nasser Abu Kassim dan Man Kidal berkata, seingatnya pengalaman pahit di Cameron Highlands amat sukar dilupakan.
"Ia berlaku padatahun 1991. Ketika itu saya berada di Cameron Highlands kerana diundang menyanyi bersama-sama penyanyi Zairani dan seorang model, Azizul Mohd.
"Bayangkan di tempat begitu, saya diserang histeria. Sudahlah jauh dari keluarga, yang ada pula cuma rakan-rakan artis dan Pegawai Perhubungan WEA, Kit.
"Syukur Alhamdulillah, akhirnya histeria saya dapat dipulihkan dan sampai hari ini bila ingat-ingatkan itu semua, rasanya macam baru semalam ia berlaku," kata Klthsom sambil memeluk anak bungsunya, Mohd. Salehuddin yang dikesannya berbakat dalam bidang nyanyian dan bermain alat muzik.
Dan kini, andai ada peluang merakamkan album, Klthsom tidak mampu untuk memberi kata putus sama ada dia mahu menerima peluang itu atau sebaliknya.
Apatah lagi dengan kecenderungan masyarakat memuat turun lagu selain keadaan ekonomi negara yang tidak menentu menyebabkan angan-angan itu kata Klthsom, sekadar tinggal angan-angan.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: