Monday, June 15, 2009

Cerita wajah eksklusif Astro Warna


AFDLIN Shauki (dua dari kiri) bersama Kushboo Grewal (kiri) di samping Lisa Surihani (dua dari kanan) dan Farid Kamil pada majlis pelancaran pakej Mustika, baru-baru ini.


KEJAYAAN Afdlin Shauki yang dipilih menjadi wajah eksklusif untuk saluran Warna (saluran 132, Astro) baru-baru ini sememangnya berjaya mengubah stigma lapuk yang sekian lama bersarang di dalam minda masyarakat kita.

Jika dulu, mereka yang memiliki susuk tubuh menarik serta rupa paras yang menawan sahaja yang akan menjadi pilihan sesetengah pihak yang mahu melariskan produk mereka.

Namun, kini semuanya berubah. Ternyata bakat melangkaui segala-galanya dan rupa paras bukan lagi menjadi keutamaan.

Bagi Afdlin atau nama penuhnya, Afdlin Shauki Aksan, dia bersyukur dan bertuah kerana diberi peluang menjadi wajah eksklusif terbaru Astro selepas Aaron Aziz, Erra Fazira, Lisa Surihani dan Farid Kamil.

Apatah lagi pemilihannya sebagai wajah eksklusif Astro Warna itu sememangnya cukup bertepatan apabila saluran itu merupakan saluran komedi pertama yang diperkenalkan di negara ini.

Siapa lagi yang lebih layak untuk dipilih kalau bukan Afdlin yang sememangnya terkenal sebagai seorang pelawak yang sentiasa menyajikan komedi dan humor segar serta tidak merapu dalam setiap karyanya.

"Sememangnya sudah lama saya mahu melihat negara kita mempunyai sebuah saluran komedi dan apabila Astro menawarkan saya sebagai wajah eksklusif mereka, saya menyambutnya dengan tangan terbuka.

"Bukan soal bayaran tetapi saya melihat pengenalan Astro Warna ini sebagai salah satu platform terbaik untuk menyalurkan humor dan komedi kepada penonton.

"Antara sedar atau tidak, selalunya komedi dan pelawak seringkali dianak tirikan berbanding genre yang lain. Malah, pelawak juga sering dipandang sebelah mata dan oleh sesetengah pihak, ia tidak memberi sebarang signifikan kepada pembangunan industri hiburan tempatan.

"Tetapi kalau dilihat sekarang, pelawak sudah mampu berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan profesion seni yang lain," jelas Afdlin bersungguh sewaktu ditemui pada majlis pelancaran pakej Mustika, baru-baru ini.

Astro Warna merupakan salah satu daripada tiga saluran baru yang diperkenalkan Astro menerusi pakej Mustika yang memerlukan pelanggannya membayar RM12.95 sebulan untuk menikmatinya.

Selain Astro Warna, dua saluran lain adalah Citra dan B4U masing-masing ditayangkan menerusi saluran 131 dan 133, Astro.

Menyambung bicara, anak jati Johor Bahru, Johor ini memberitahu pelawak kini sudah tidak perlu risau lagi untuk mencari platform dalam mengembangkan bakat masing-masing.

Bukan itu sahaja, Afdlin juga menjelaskan penonton kini mempunyai pilihan untuk menikmati hiburan dan lawak jenaka yang pelbagai menerusi program yang ditayangkan di saluran Warna.

Malah, selebriti serba boleh ini sendiri diberi peluang muncul dalam dua programnya sendiri iaitu Ek Eleh! Afdlin dan Spontan yang menyajikan komedi dalam pendekatan yang berbeza.

Konsep hiburan

"Salah satu sebab saya menerima tawaran Astro kerana mereka memberi kebebasan kepada saya untuk tampil dengan idea serta konsep hiburan yang saya mahukan," katanya yang bakal muncul dengan filem terbarunya, Setem arahan Kabir Bhatia bulan depan.

Ek Eleh! Afdlin merupakan sebuah program bual bicara yang mirip kepada rancangan kendaliannya dulu, Bila Larut Malam dengan kali ini, elemen komedi itu diperkuatkan lagi.

Manakala Spontan pula adalah sebuah rancangan hiburan yang memerlukan setiap peserta yang terlibat melakukan sesuatu secara spontan berdasarkan situasi mahupun apa saja yang diberikan kepada mereka.

Selain itu juga, pengarah filem Buli dan Baik Punya Cilok kini dalam rangka untuk menghasilkan sebuah lagi program untuk saluran Warna berjudul Opera Sabun yang pernah diperkenalkan dalam rancangan Ah-Ha di TV3 satu ketika dulu.

Dalam pada itu, bapa kepada dua orang anak ini dengan pantas meningkah dakwaan sesetengah pihak yang seolah-olah cuba mewujudkan dua puak apabila membicarakan tentang pelawak di negara ini.

Tegasnya, dia sendiri tidak faham mengapa pelawak di negara ini perlu dikategorikan kepada urban dan luar bandar atau dalam erti kata lain, kampung.

"Misi pelawak adalah sama iaitu untuk menghiburkan khalayak dan saya sendiri tidak pernah meletakkan diri saya di mana-mana kategori. Sekarang ini, kita ada ramai pelawak yang berbakat besar serta kreatif dalam mempersembahkan lawak mereka seperti Nabil dan Zizan.

"Saya juga bertuah kerana menerusi saluran Warna, saya dapat bekerjasama dengan pelawak senior dan baru. Ini merupakan satu langkah yang baik untuk menyatukan semua pelawak di negara ini dalam memberikan hiburan terbaik kepada penonton," tutur pemenang Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia dua kali ini penuh makna.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: