![]() |
| ANUAR Zain menjanjikan sebuah persembahan yang menghiburkan pada Konsert Lelaki Ini Anuar Zain yang akan berlangsung di Istana Budaya pada 1 dan 2 Julai depan. |
POPULARITI dan kegemilangan yang dicipta oleh penyanyi lelaki tersohor negara, Anuar Zain ini sememangnya sukar sekali untuk disangkal.
Apa sahaja yang dilakukannya akan mendapat sambutan serta perhatian sekali gus meletakkannya sebagai antara artis tempatan yang cukup disegani.
Dia juga merupakan antara artis yang cukup mementingkan kesempurnaan dan kualiti semata-mata untuk memberi kepuasan yang maksimum kepada peminatnya.
Dan, sesiapa sahaja yang memilih jalan untuk menjadi anak seni sudah pasti ingin mengadakan konsert untuk menghiburkan peminat yang tidak pernah jemu menyokong kerjaya masing-masing.
Begitu juga dengan Anuar dan sebelum ini, dia pernah mengadakan konsert solonya di pentas bertaraf antarabangsa, iaitu di Esplanade Theater, Singapura beberapa bulan lalu.
Ternyata, impak yang terhasil daripada konsert berkenaan sudah cukup untuk membuktikan kredibiliti Anuar sebagai seorang penghibur sememangnya tiada tandingan.
Malah, kejayaan konsert di kota Singa itu juga membuktikan Anuar sudah layak untuk menghiburkan peminat di negara kelahirannya sendiri.
Berpegang kepada prinsip hidupnya yang sentiasa percaya dan yakin dengan rezeki yang sudah ditentukan, doa Anuar akhirnya dimakbulkan Allah apabila dia bakal muncul dengan konsert sulungnya pada 1 dan 2 Julai ini.
Konsert eksklusif yang diberi nama Konsert Lelaki Ini Anuar Zain itu dianjurkan oleh Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara sempena Festival Muzik KL 2009.
Panggung Sari, Istana Budaya (IB) bakal menjadi saksi dan seterusnya akan dimaktubkan dalam profil seninya apabila buat julung kalinya pentas bertaraf dunia itu menyambut kehadiran Anuar.
Sudah pasti, perasaan gembira dan teruja menguliti jejaka berbintang Aquarius ini dan apa yang membuatkannya hilang kata-kata adalah apabila konsert itu merupakan pembukaan untuk festival yang cukup berprestij itu.
Sewaktu mengunjungi ibu pejabat Utusan Malaysia untuk sesi fotografi baru-baru ini, rona gembira sememangnya cukup jelas terpancar di wajahnya itu.
Namun begitu, dari wajahnya juga terselit riak kebimbangan dan debaran yang sememangnya tidak mampu disembunyikan lagi.
Masakan tidak, persembahannya pada dua malam itu akan diiringi oleh 55 orang pemuzik dan penyanyi latar di bawah iringan Orkestra Muzik Kebangsaan yang dipimpin oleh Mustafa Fuzer Nawi.
"Mana tidaknya. Ini merupakan persembahan sulung saya di pentas yang cukup berprestij itu dan diiringi dengan orkestra sememangnya membuatkan saya sedikit gementar biarpun saya memang gembira dan teruja dengan konsert ini.
"Tetapi, saya mahu membuangnya jauh kerana misi saya cuma satu iaitu untuk memberikan yang terbaik buat peminat dan penonton pada dua malam itu.
persembahan
"Saya mahu mereka terhibur dengan persembahan saya dan sudah pasti saya tidak mahu mereka yang sudah melaburkan wang membeli tiket tidak menikmati kepuasan daripada persembahan saya," jelas empunya nama penuh Shahrul Anuar Zain ini membuka bicaranya lewat petang itu.
Malah, Anuar bersyukur dan bangga kini namanya mampu diletakkan sebaris dengan nama-nama hebat seperti Datuk Siti Nurhaliza, M. Nasir, Black Dog Bone dan Jamal Abdillah yang pernah membuat persembahan di pentas itu.
Selain beraksi buat pertama kali di IB, pelantun lagu Tangisan Naluri dan I'm The Lucky One ini juga melafazkan syukur ke hadrat Ilahi apabila tiket-tiket berharga dari RM25 hingga RM250 sudah pun 80 peratus terjual.
Ternyata, perkembangan tersebut memberi inspirasi serta semangat untuk Anuar memberikan persembahan yang mampu untuk dikenang oleh peminatnya selama-lamanya.
"Saya tidak menafikan harga tiketnya yang agak berpatutan menyebabkan ramai peminat saya tidak mahu melepaskan peluang untuk menonton persembahan saya untuk dua malam itu.
"Sedangkan sebelum ini, harga untuk menyaksikan persembahan saya agak mahal dan menyebabkan mereka memikir dua kali untuk membelinya," tuturnya penuh berhemah.
Bakal mendendangkan lebih daripada 20 buah lagu popularnya yang dipetik dari tiga album solonya sebelum ini, Anuar mengakui, dia berdepan dengan masalah pemilihan lagu.
Malah, ia bukanlah satu perkara yang baru memandangkan dia sering kali berdepan dengan masalah berkenaan dalam setiap persembahannya.
Ini katanya, permintaan peminat-peminatnya yang mahukannya menyanyikan lagu-lagu kegemaran mereka ada kalanya sukar untuk ditunaikan.
"Tetapi, kita harus fikirkan tentang maksud istilah konsert itu sendiri dan untuk itu, saya akan menyampaikan lagu-lagu popular dan hits saya agar peminat dan hadirin mampu menyanyi bersama-sama.
"Justeru, saya meminta maaf kalau ada lagu kegemaran mereka yang tidak akan saya bawakan pada malam itu," katanya yang akan menyampaikan lagu-lagunya secara penuh dan juga medley dengan susunan muzik yang baru dan segar oleh pengarah muzik, Aylwin Santiago.
Pastinya, lagu-lagu seperti Bila Resah, Jangan Bersedih Lagi, Keabadian Cinta, Permata, Rindu Belaian, Mungkin, Sesucinya Cintamu, Lelaki Ini, Ketulusan Hati, Teman Terulung dan Perpisahan antara repertoir daripada diskografinya yang bakal berkumandang di IB nanti.
kelainan
Selain itu, penyandang Vokal Lelaki Terbaik Anugerah Industri Muzik dua kali ini juga memberitahu dia turut menampilkan dua segmen sebagai kelainan dalam konsert sulungnya itu.
Salah satunya adalah segmen yang akan menyaksikannya menggamit nostalgia sewaktu dirinya bergelar penyanyi kanak-kanak dua dekad lalu.
Untuk itu, Anuar akan menyampaikan tiga buah lagu iaitu Kain Pelikat, Kesan Kelukaan dan Seruling manakala sebuah lagi segmen disifatkan Anuar sebagai satu penghormatan untuk seniman terdahulu dan lagu-lagu mereka.
Peminat akan dapat mendengar alunan Anuar menerusi lagu Epilog Cinta Dari Bromley yang dipopularkan oleh Sohaimi Mior Hassan, Berdiri Seorang Perindu (Ibnor Riza), Mengapa Perpisahan Yang Kau Pinta (Flybaits) dan Penantian (Kumpulan Harmoni).
"Saya menyanyikan lagu Penantian kerana selain daripada lagu kegemaran saya, ia juga adalah untuk menghargai sumbangan dan jasa arwah Zubir Ali selama ini.
"Dia boleh dianggap pelopor kepada lagu-lagu puisi dan seharusnya karya-karyanya tidak boleh dilupakan begitu sahaja," tutur Anuar lembut sambil menyifatkan arwah Zubir sebagai seorang legenda yang berada dalam kelas tersendiri.
Sementara itu, Anuar turut ditanya tentang perkembangan terbaru album keempatnya yang masih lagi dalam pencarian material.
Katanya, sehingga kini dia sudah mendapat empat buah lagu termasuk sebuah lagu dari komposer seberang dan dia akan meneruskan projek albumnya itu setelah mendapat enam buah lagu.
"Tetapi, itu bukan bermakna saya akan membuat album mini kerana saya akan tetap buat album penuh biarpun ramai yang tidak berani berbuat demikian.
"Ini soal kepuasan dan saya juga mahukan peminat saya menikmati dan merasai apa yang saya luahkan serta curahkan menerusi album-album saya," jelasnya yang enggan bercerita panjang tentang sebuah album khas yang akan dilaksanakan sebaik sahaja album keempatnya selesai
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: