|
|
HAMPIR lima tahun tanpa album baru membuatkan Nurshahila Amir Hamzah, 19, tidak sabar menunggu kemunculan album ketiganya di bawah label Monkey Bone. Album berkonsepkan pop dance dijangka muncul pada Julai ini dengan mengetengahkan muzik baru yang lebih segar dan rancak serta sesuai dimainkan di kelab malam. |
Shahila berkata, setakat ini belum ada artis yang berani menyisipkan lagu khusus untuk diputarkan di kelab malam dalam album mereka, tetapi sebagai generasi baru, naib juara One In A Million musim kedua (OIAM2) itu teringin melakukan pembaharuan dan hasratnya itu mendapat kerjasama baik daripada komposer terkenal tanah air.
Katanya, jenis muzik rancak biasanya dimainkan di kelab malam memang ada, tetapi belum ada yang berani mengetengahkannya dalam arus muzik perdana masa kini.
"Sebagai pembaharuan untuk album ketiga ini, saya ingin mencubanya dengan harapan peminat dapat menerimanya. Kala usia masih muda, muzik itu sesuai dengan jiwa remaja saya yang inginkan kelainan.
"Pun begitu, dalam keadaan ekonomi sekarang saya tidak boleh mengharapkan pada penjualan album. Namun, sebagai penyanyi, saya mesti ada album baru untuk disumbangkan kepada peminat.
"Untuk persembahan pentas juga saya perlukan lagu baru. Selain itu tiba masanya saya hadir dengan album baru selepas hampir lima tahun tidak masuk studio rakaman. Tidak dinafikan dunia seni saya menyinar semula selepas menyertai OIAM2, dua tahun lalu.
"Meskipun tidak berjaya bergelar juara, ia tetap memberi harapan baru kepada kerjaya seni saya yang agak malap ketika itu. Masyarakat mula menyedari kehadiran saya semula dalam persada seni dan selepas OIAM2, jadual harian semakin padat dengan pelbagai aktiviti seni," katanya.
Lantaran itu, Shahila yang pada mulanya menyambung pengajian dalam jurusan perniagaan di Kolej Segi terpaksa berhenti belajar buat seketika kerana kesuntukan waktu.
"Keseluruhan kursus mengambil masa tiga tahun, tetapi saya sempat belajar setengah tahun saja. Buat masa ini saya tidak mampu melakukan dua kerja pada satu masa. Tambahan album baru akan keluar dan pastinya selepas ini saya akan sibuk mempromosikannya di seluruh negara.
"Berkecimpung dalam kerjaya seni ada tempoh tertentu. Sedang usia masih muda dan tengah laku ini, saya perlu beri perhatian kepada dunia nyanyian dulu. Insya-Allah selepas berjaya memperoleh apa yang dihajati dalam dunia seni, saya akan sambung belajar semula, tetapi belum tahu bila.
"Saya tidak boleh meninggalkan pelajaran begitu saja kerana abah pun mahu saya menjadi anak seni yang berilmu. Sejauh mana pun saya melangkah dalam bidang seni, saya mesti ada ilmu supaya dihormati masyarakat dan buat bekalan pada masa depan. Saya juga perlu menjadi contoh kepada tiga adik," katanya.
Selain itu Shahila juga mendapat tawaran berlakon, namun dia belum bersedia beraksi di pentas lakonan kerana baginya dia tidak boleh terlalu tamak.
"Saya terlalu sibuk dengan dunia nyanyian jadi tiada masa untuk menceburi bidang lain. Biarlah saya buat satu perkara dulu," katanya.
Sejak keluar OAIM2 juga, Shahila muncul dalam iklan Clean & Clear, Coca Cola, Cornetto dan menjayakan program Hanna Montana Special untuk saluran Disney.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: