|
|
PENAMPILAN pasangan pelakon, Mohd Faizal Mohd Yusup (Faizal), 31, dan isterinya, penyanyi Siti Nordiana Alias (Nana), 25, jauh berbeza jika dibandingkan ketika zaman mereka masih remaja dan bercinta. |
Sewaktu ditemui di sesi fotografi khas bersama Rap di Tasik Perdana, Kuala Lumpur baru-baru ini, kedua-duanya kelihatan jauh lebih matang. Perubahan itu jelas apabila mereka berbicara mengenai kehidupan berkeluarga yang dilalui sekarang.
Bergelar bapa dan ibu kepada cahaya mata comel dan keletah, Muhammad Rayyan Nakhaie, setahun tiga bulan, turut menjadi faktor kepada perubahan itu.
Bagaimanapun, kata Faizal, dia tetap menjalani hidup seperti biasa. Masih aktif berlakon dan sedang berjinak-jinak dalam dunia perniagaan dengan menjadi pembekal barangan keperluan pejabat.
"Apabila berkahwin dan bergelar bapa, sudah tentu kehidupan turut berubah. Sebagai ketua keluarga, semua keputusan membabitkan rumah tangga kini atas tangan saya.
"Tanggungjawab juga berat. Segala keperluan saya perlu sediakan. Sebaik mungkin saya akan cuba merealisasikan kehendak isteri dan anak. Begitu juga dengan hubungan antara keluarga sendiri dan mentua, " katanya.
Begitupun, jelas Faizal, dia beruntung kerana Nana tidak pernah meminta perkara yang di luar kemampuannya. Akui Faizal, Nana isteri yang sangat sederhana.
"Belum pernah lagi sepanjang hidup berumah tangga dia meminta perkara bukan-bukan atau meletak syarat seperti perlu menyediakan rumah besar atau membelikan barang mahal mencecah ribuan ringgit.
"Asalkan cukup makan dan pakai serta ada tempat tinggal selesa buat kami sekeluarga, dia sudah bersyukur," katanya.
Sekarang ini, jelas Faizal, apa yang penting baginya adalah masa depan Rayyan. Kalau boleh dia tidak mahu anak kesayangannya itu melalui kesusahan pernah dilaluinya. Faizal menjadikan bapanya, Mohd Yusup Abd Rahman, 58, contoh hendak menguruskan rumah tangga dengan baik.
"Dulu kehidupan saya susah. Bapa saya bekerja sebagai pemandu dan gaji tidak besar. Ibu pula hanyalah suri rumah dan tinggal di Kuala Lumpur, hendak membesarkan saya adik-beradik seramai empat orang memerlukan belanja besar.
"Bagaimanapun, bapa mampu melakukannya dan kami walaupun tidak hidup mewah, tetap dapat melalui kehidupan dengan sempurna serta diberikan pendidikan secukupnya," katanya.
Menyentuh perniagaan yang baru diceburi, jelas Faizal bukan dia tidak yakin dengan dunia lakonan dan mahu meninggalkan kariernya itu, sebaliknya demi kebaikan Rayyan pada masa hadapan, dia memikirkan sudah tiba masanya melakukan sesuatu sebagai menambah ekonomi keluarganya.
"Berapa ramai kita lihat pelakon menjadi jutawan. Kita boleh bilang dengan jari. Kalau benar pun mereka berduit, tetapi bukan dengan hasil berlakon semata-mata sebaliknya ada sumber pendapatan lain.
"Tambahan sekarang ini semakin banyak pelakon baru muncul dan bayaran tidak tetap. Maksud saya, penerbit sekarang ini tidak suka mengambil pelakon lama seperti saya yang sudah menetapkan harga bayaran.
"Sebaliknya mereka senang mengambil pelakon baru kerana bayaran diminta lebih murah. Perkara ini menjadi masalah besar dalam industri sekarang ini dan ia tidak pernah ditangani persatuan artis," katanya.
Dalam hampir empat tahun melayari bahtera perkahwinan yang dibina pada 28 April 2006, jelas Faizal tidak dinafikan mereka pernah diuji terutama membabitkan gosip mengatakan dia menjalinkan hubungan cinta dengan wanita lain.
Menjelaskan perkara itu kata Faizal, dia masih boleh berfikir dengan waras dan tidak mungkin melakukan perkara tidak senonoh di khalayak ramai.
"Seperti cerita yang disiarkan satu laman sesawang popular mengatakan saya berjalan berpegang tangan dengan wanita tidak dikenali di kawasan umum. Sekali fikir, takkan saya mahu buat perkara begitu.
"Isteri saya seorang penyanyi yang dikenali dan kalau saya buat begitu, sudah tentu ia akan sampai ke pengetahuannya. Saya tidak bodoh untuk buat begitu kepadanya.
"Apabila perkara itu ditimbulkan dan Nana bertanya, saya jelaskan kepadanya ia tidak benar. Saya berani bersumpah. Prinsip saya, kalau benar saya buat saya akan mengaku, tetapi ia memang tidak pernah berlaku," katanya.
Sementara itu, Nana yang duduk di sisi suaminya menjelaskan, selepas tiga tahun bercinta dan tiga tahun hidup bersama Faizal, dia kenal siapa suaminya.
"Memang begitulah prinsipnya. Kalau betul dia buat, dia akan mengaku, tetapi kalau tidak bermakna memang ia tidak berlaku. Saya percayakan suami kerana lebih kenal dia luar dan dalam," katanya.
Menyentuh sikap Faizal sebagai ketua keluarga, Nana tidak nafikan suaminya itu agak tegas, tetapi sangat penyayang.
"Bagi Faizal, Rayyan adalah segala-galanya. Kadang-kadang saya akan dimarahi kalau dia balik bekerja nampak kesan calar atau lebam di badan anak. Bagi saya, itu perkara biasa maklumlah anak lelaki memang nakal dan lasaknya lebih, tetapi tidak bagi Faizal. Katanya, saya tidak menjaga anak," katanya.
Seperti suaminya, jelas Nana dia kini turut bekerja bagi membantu ekonomi keluarga di sebuah universiti swasta di ibu kota sebagai pembantu pelajar.
"Hendak diikutkan dengan pendapatan diperoleh Faizal, memang boleh menampung kehidupan kami sekeluarga, tetapi saya sendiri yang mahu bekerja di samping menimba ilmu. Sekarang ini baru saya tahu bagaimana rasanya bekerja dalam pejabat," katanya.
Nana tidak nafikan sekarang ini tawaran untuknya mengadakan persembahan agak berkurangan menyebabkan dia perlu mencari pekerjaan lain demi masa depan. Begitupun, dia masih berminat meneruskan kerjaya nyanyian dan kini menunggu waktu untuk merakamkan album terbaru di bawah syarikat rakaman FMC Music.
>Profil
Nama Penuh: Mohd Faizal Mohd Yusup
Panggilan: Faizal
Tarikh Lahir: 13 Jun 1978
Umur: 31 tahun
Kerjaya: Pelakon dan ahli perniagaan
Status: Berkahwin
Isteri: Siti Nordiana Alias (penyanyi)
Anak: Muhammad Rayyan Nakhaie, (satu tahun tiga bulan)
Filem: Gong
Drama: Neon, Surat Untuk Bulan, Neon, CID dan Jongkang-Jongkit.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: