|
|
BIARPUN zaman dikatakan sudah berlalu, hakikatnya populariti penyanyi Ramlah Ram belum tergugat. Bekas juara Bintang RTM 1985 ini membuktikan dia masih mampu menyanyi dengan baik. |
Sukar sebenarnya penyanyi yang sudah mempunyai pengalaman nyanyian lebih dua dekad bertahan dalam persada hiburan tempatan.
Kata Ramlah, ia memberikan cabaran padanya untuk meneruskan karier nyanyian pada masa kini, apatah lagi kemunculan ramai penyanyi generasi baru lebih mencuri tumpuan.
Namun, atas dasar cinta, minat dan kesungguhan untuk menyanyi secara serius membuatkan dia tambah bersemangat untuk menghiburkan peminatnya.
Membuktikan kebenaran kata-katanya, dia muncul dengan album terbaru, Ketentuan yang sudah berada di pasaran sejak 1 Jun lalu.
Sewaktu ditemui pada majlis pelancaran albumnya bersama Jay Jay yang juga hadir dengan album baru, J Jay - Emosi di The Mines, Seri Kembangan Selangor, baru-baru ini, Ramlah berkesempatan menghiburkan tetamu dan pihak media dengan beberapa lagu yang dinyanyikan secara langsung.
Memberikan makna mendalam padanya, dia terharu kerana masih berpeluang menghasilkan album baru ketika pasaran jualan album masih belum stabil. Album ke-14 ini sebenarnya mengubat hatinya selepas penantian lebih 10 tahun.
Kali terakhir, dia menghasilkan album berjudul Sekeping Cinta Sehampar Janji pada 1998 yang menampilkan lagu popular, Zapin Yang Tinggal.
"Ketika mahu menghasilkan album baru ini, perasaan saya berdebar kencang. Dalam fikiran, saya juga bertanya sama ada album ini mampu bersaing dengan penyanyi baru lain.
"Namun, apabila single Ketentuan meraih sambutan positif peminat, saya lega sedikit. Memang pada mulanya, saya tidak yakin dengan kehadiran album baru ini, sebaliknya selepas mengeluarkan single Maharaja menerusi album kompilasi, Pujaan Pop Asli pada 2006, saya bersemangat untuk menghasilkan single baru seterusnya.
"Tidak dinafikan, semangat saya untuk menghasilkan album baru hadir daripada sokongan peminat khususnya penyokong Ramlah Ram Group (RRG) yang ditubuhkan sejak dua tahun lalu. Hingga kini, lebih 200 ahli menyertai kelab peminat saya itu.
"Pada saya, sokongan peminat amat penting dalam perkembangan karier seni artis. Malah, saya sendiri apabila sudah mempunyai kelab peminat, saya ambil kesempatan untuk menghargai mereka dengan mengadakan pelbagai acara bagi merapatkan hubungan antara kami seperti berkaraoke dan makan malam," katanya.
Berbanding penyanyi seangkatannya seperti Zaiton Sameon dan Rohana Jalil, Ramlah bersyukur kerana dia masih boleh menyanyi seperti zaman mudanya.
Katanya, dia tidak mengamalkan petua khusus, hanya kurang mengambil minuman sejuk dan berkarbonat.
"Saya percaya bakat nyanyian itu anugerah Tuhan. Hingga kini, saya yakin masih mampu menyanyikan lagu lama saya yang mempunyai nada tinggi. Untuk album baru, proses rakaman berjalan lancar.
"Apa yang boleh saya katakan, saya sudah buat kerja terbaik. Namun, sejak mula menghasilkan album pertama, Sabarlah Sayang pada 1986 hingga muncul album baru kali ini, saya masih belum puas dengan hasilnya.
"Masih ada kelemahan yang boleh diperbaiki. Pada saya, album Kau Kunci Cintaku (Dalam Hatimu) pada 1988 menjadi kenangan paling bermakna yang membuatkan saya berada di kemuncak.
"Saya menganggap album ini suatu yang istimewa buat peminat kerana saya turut bekerja dengan komposer generasi baru seperti Aidit Alfian, Hazami dan Fedtri Yahya. Antara komposer lama dan baru, masing-masing mempunyai kelebihan sendiri.
"Bagaimanapun, saya tidak mempunyai masalah untuk bekerjasama dengan mereka. Apa yang penting, album ini memberi kepuasan pada saya dan komposer yang terbabit. Soal sambutan peminat, ia satu 'perjudian'.
"Saya tidak terlalu mengharap album saya kali ini dapat dijual banyak dan saya juga perlu terima hakikat, penyanyi masa kini sukar untuk melariskan album mereka walaupun bertaraf popular. Namun, dari aspek lain, pasaran digital seperti muat turun menerusi nada dering ke telefon bimbit turut membantu menambah pendapatan penyanyi," katanya.
Dalam pada itu, Ramlah mengharapkan sokongan stesen TV dan radio untuk membantu promosi album barunya. Katanya, tidak sepatutnya timbul isu pilih kasih untuk memainkan lagu penyanyi tertentu. Malah, dia menyatakan matlamatnya bukan mahu bersaing dengan penyanyi sedia ada, sebaliknya bersama-sama memeriahkan persada hiburan tanah air.
Bagi Jay Jay atau nama sebenarnya, Mohd Fauzi Darus, kemunculan album baru, J Jay - Emosi memberikan makna mendalam, apatah lagi ia juga adalah penantian sejak lima tahun lalu.
Katanya, dia sepatutnya menghasilkan album baru pada 2004 tetapi masih mencari lagu yang sesuai yang difikirkan sesuai untuk dimuatkan dalam album baru.
Di sebalik kegembiraan menghasilkan album baru, dia turut menyatakan kemunculan penyanyi pada masa kini tidak lagi dianggap eksklusif. Dia berpandangan, penganjuran banyak persembahan dan konsert percuma menjadi faktor mencetus isu berkenaan.
"Zaman saya suatu ketika dulu, saya pernah merasai konsert berbayar walaupun ia hanyalah persembahan untuk fun fair. Sepatutnya, konsert sebegini dikawal tetapi penyanyi masih mempunyai eksklusif apabila berpeluang membuat persembahan di Istana Budaya, Kuala Lumpur.
"Lokasi itu turut dianggap eksklusif apabila penonton selesa dan berbaloi menyaksikan sesebuah persembahan dengan membayar tiket. Buat masa ini, saya masih menerima jemputan mengadakan persembahan pentas.
"Walaupun ada persembahan pentas yang dianggap kecil tetapi ia tetap memberi pendapatan pada saya. Untuk album baru saya kali ini, ia memuatkan empat lagu lama iaitu Jauh Dirindu, Dalam Kenangan, Cukuplah Sekali dan Kekasih yang belum pernah direkodkan.
"Sebenarnya, saya mempunyai beratus-ratus lagu yang belum dirakam tetapi hanya empat lagu ini yang dianggap terbaik. Untuk lagu berkenaan, saya masih mengekalkan melodi asal, cuma diubah sedikit pada susunan muzik.
"Memberikan tarikan, empat lagu baru turut dimuatkan iaitu Ku Relakan, Permaisuriku, Layang-Layang dan Jangan Pergi Dariku," katanya.
Kata Jay Jay, semua penyanyi kini berpeluang menerbitkan album baru. Bagaimanapun, aspek konsep dan proses produksi album perlu diberi perhatian serius. Apa yang penting, produser memainkan peranan penting dalam menghasilkan sesebuah album menampilkan kualiti yang diharapkan.
"Saya ingin mencadangkan kelas komposisi muzik diwujudkan dalam melahirkan komposer berbakat untuk menghasilkan lagu mahupun album yang lebih berkualiti. Ketika ini, kita banyak adakan program realiti untuk mencari penyanyi.
"Lalu, peranan untuk mencari komposer baru juga tidak seharusnya dikecualikan. Bagaimanapun, saya menyokong program realiti diteruskan. Biar program seperti Akademi Fantasia terus dengan format undian SMS penonton, sebaliknya Bintang RTM mengekalkan tradisi memilih pemenang berdasarkan keputusan juri profesional sepenuhnya," katanya.
Pada majlis itu, Pengarah Urusan FMC Music Sdn Bhd, Lim Gee Ba melancarkan album dua penyanyi berkenaan.
Beberapa rakan artis berkesempatan memberi sokongan antaranya Ameng (Spring), Noraniza Idris, Aiman, kumpulan The Fabulous Cats dan pelakon, Rosnah Johari.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: