![]() |
| BARISAN deejay Hot FM akan memastikan stesen radio mereka akan terus meningkat memikat hati pendengar. |
APABILA stesen radio Hot FM diumumkan berada di tempat ketiga selepas Era dan Sinar FM pelbagai persepsi diberikan terhadap pengumuman itu.
Ada pihak memandang positif tetapi tidak kurang juga berkata sinis yang mendakwa stesen radio Hot FM milik Media Prima itu sudah tidak lagi sepanas dulu.
Memang panas telinga mendengar kata-kata itu apabila orang ramai tidak melihat bahawa Hot FM kekal nombor satu sebagai stesen radio pilihan untuk usia di bawah 35 tahun.
Menurut kajian yang dilakukan oleh Nielsen Radio Audience Measurement, S1, 2009, tiga stesen di bawah naungan Rangkaian Radio Media Prima iaitu Hot FM, Fly FM dan One FM mencatatkan kedudukan yang kukuh dalam pasaran masing-masing.
Emma Hassan mendapatkan penjelasan Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Radio Media Prima, Seelan Paul berhubung perkara tersebut.
Benarkah Hot FM dah tak panas?
Pada dasarnya memang ada dua stesen radio di atas dan Hot FM berada di tangga ketiga secara keseluruhan. Saya jelaskan, sasaran Hot FM adalah untuk pendengar di bawah usia 35 tahun dan untuk itu, Hot FM adalah nombor satu.
Itu bezanya Hot FM dengan stesen radio lain. Pada saya, kita tak boleh nak samakan cita rasa pendengar yang berusia lebih 40 tahun berbanding dengan budak berusia 13 atau 14 tahun.
Sebab itu, Hot FM adakan sasaran pendengar stesen radio kali adalah untuk mereka yang berusia di bawah 35 tahun. Tetapi, kalau ada golongan pendengar melepasi usia 40 tahun memilih untuk mendengar Hot FM, itu baguslah.
Adakan Seelan rasa tertekan?
Tiada tekanan bagi kami. Setiap stesen radio punya pelbagai strategi pemasaran. Bagi saya, persaingan itu sihat. Itu lebih bagus daripada tiada persaingan langsung.
Persaingan itu bagus untuk menjadikan kita lebih berusaha menjadi yang terbaik. Apabila rasa tidak selesa dengan kedudukan, kita akan bangun memperbaiki kelemahan di samping menjadikan kita lebih kreatif untuk menarik hati para pendengar.
Memang saya tidak nafikan, kita di Hot FM perlu sentiasa bekerja kuat. Objektif utama ialah mengekalkan sasaran pendengar di bawah usia 35 tahun. Pihak lain mungkin tidak faham tentang sasaran ini sebab mereka melihat dari segi total…
Mungkin untuk golongan biasa, benda ini tidak penting. Yang penting ialah stesen mana yang mampu menyedapkan telinga mereka, stesen mana yang menyajikan cita rasa mereka pada setiap hari. Nombor satu, dua atau tiga itu sebenarnya untuk sasaran pengiklan. Tetapi, tidak bagi pendengar yang akan memilih stesen radio yang beri keselesaan pada mereka setiap hari.
Hot FM dikatakan naik mendadak, turun pun mendadak. Apa komen Seelan?
Dalam tempoh tiga tahun ini, memang ada penurunan. Tetapi, benda yang sama berlaku juga kepada stesen radio lain, termasuklah dua stesen radio yang berada di tempat teratas itu.
Masing-masing ada kelebihan dan kekurangan. Sebagai ketua, saya sentiasa berpesan kepada para penyampai radio Hot FM, bahawa setiap hari kita bertempur untuk menarik perhatian telinga pendengar.
Itu adalah kata kunci di dalam Hot FM. Sebab apa? Ada masa boleh naik, ada masa boleh turun. Tetapi, perlu sentiasa berusaha menjadi yang terbaik untuk menepati cita rasa pendengar.
Program sebelah pagi Hot FM iaitu AM Krew gandingan Fara Fauzana dan Faisal Ismail kekal sebagai breakfast show terbaik, terutama di bandar-bandar utama seperti Kuala Lumpur, Petaling Jaya, Johor Bahru dan Ipoh, Perak. Segmen tersebut disifatkan menyempurnakan pagi para pekerja dan remaja yang berkejar memulakan hari mereka. Tambahan pula, kita bukan saja bersaing sesama stesen radio lain, malahan televisyen, online serta kebanyakan teknologi canggih yang sedia ada.
Bagaimana mahu ubah pengetahuan pendengar?
Kalau tengok semua kempen Hot FM siarkan ialah kami nombor satu untuk mereka yang berusia 35 tahun ke bawah. Itu adalah cara untuk menjelaskan kepada mereka bahawa kami adalah stesen nombor satu.
Bagaimana pula beban tugas dan tanggungjawab?
Itu sentiasa ada untuk menjadi yang terbaik. Kalau tak mencabar, saya takkan cintakan bidang ini. Percaturan kena betul, tepat dan hebat.
Sakit tak telinga bila orang cakap Hot FM nombor tiga?
Tidak. Bila orang kata negatif, itu beri semangat untuk kami buat sesuatu yang lebih baik. Bagi saya apa yang diperkatakan orang tidak memberi tekanan langsung.
Apa strategi Seelan selepas ini?
Yang paling penting, sentiasa buat kajian apa yang pendengar mahukan, juga sebaliknya. Ada perubahan dalam pengisian dan pemasaran selepas ini. Hot FM mengekalkan kedudukan sebagai stesen nombor satu untuk pendengar di bawah lingkungan usia 35 tahun untuk dua kali berturut-turut dan terus mendominasi pasaran bandar utama.

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: