Sunday, June 7, 2009

Isi & Kulit Search


Amy tanpa imej rock kapak masih mampu menarik lautan peminat yang menjadi pemuja setianya.


Siri jelajah grup legenda Search dalam rangka konsert Search Di Awan Biru nampaknya benar-benar mencecah awan. Dalam pada kebanyakan konsert berbayar sepi kunjungan, grup asal Johor Bahru ini berjaya menarik berbondong-bondong pencinta mereka yang lama kecanduan aksi live kumpulan itu.

Dimulakan dengan persinggahan pertama di Tapak Ekspo Seberang Jaya, Pulau Pinang, sambutan konsert sukses mencecah angka lebih 5,000. Kemudian lokasi kedua, di tempat asal kelahiran mereka, Johor Bahru, Search dipeluk lautan luar biasa lebih 7,000 barisan 'tentera' mereka.

Meneruskan perjalanan mereka ke Jengka, Pahang, kehadiran grup dengan 'kapten' mereka, Amy, diikuti 'perajurit' Nasir, Din, Hillary dan Yazit menggamit hampir 5,000 penonton.

Kembara kemudian diteruskan ke Terengganu dan sambutan yang diberikan kepada mereka turut mengagumkan.

Melihat sambutan di empat lokasi pertama yang begitu luar biasa, ia sudah cukup membuktikan betapa fenomena Search tidak pernah terhapus. Lahirlah berapa juta grup yang menggelarkan mereka sebagai pejuang rock, sedikit pun ia tidak mengikis Search daripada ingatan khalayak.

Betapa virus Search sudah lama tersebar. Jika tidak, masakan boleh dilihat tiga generasi berdiri sama tinggi, bersorak sama nyaring dan larut sama ketika menghadiri konsert mereka.

Malah Search turut mencipta sejarah tersendiri apabila dibenarkan masuk membuat persembahan di 'Serambi Mekah', Kelantan pada 5 Jun lalu.

Ironi, Kelantan yang berlandaskan prinsip Islam sudah sekian lama tidak membenarkan sebuah kumpulan, apa lagi rock, membikin sebuah pesta yang dikhuatiri mampu mengundang maksiat di sana.

Sayangnya, kerana menghormati Sultan Kelantan, Tuanku Ismail Petra Ibni Almarhum Sultan Yahya Petra yang kini sedang gering, Search membatalkan kemunculan mereka di negeri tersebut.

Menurut Amy: "Kami menghormati keadaan Sultan yang sedang gering sekarang. Kami rasa, tidak elok untuk Search membuat persembahan ketika Sultan gering.


Dari kiri: Din dan Hillary sentiasa memberi persembahan terbaik dengan skil tersendiri.


"Jadi, kemunculan kami di Kelantan dibatalkan. Walaubagaimanapun, insya-Allah, esok lusa, jika keadaan sudah stabil, siapa tahu kami boleh masuk bermain di sana kelak."

Menyokong kenyataan Amy, Pengarah Jelajah Konsert Di Awan Biru dari Art-is-atwork, Raden Shamsul Kamal memberitahu pembatalan konsert di Kelantan diganti dengan lokasi berhampiran iaitu Kangar, Perlis.

Relevan pada usia tua

Bukan sesuatu yang tabu apabila bapa-bapa orang itu masih relevan dalam industri. Search biarpun berpaksi rock, lirik dan mesej yang dititip dalam lagu mereka, sejak zaman Cinta Buatan Malaysia lagi sudah mengandungi metafora tersendiri.

Begitu bijak M. Nasir, arwah Loloq dan karyawan yang berdiri di belakang grup berpengaruh ini menjalankan peranan mereka. Menjadikan muzik rock sebagai perisai, mereka kemas menyembunyikan 'senjata' dengan lirik-lirik tajam seperti Pawana, Mentari Merah Di Ufuk Timur, Isi dan Kulit, Meniti Titian Usang, Sutera Atau Rayon atau Orang Timur.

Barangkali kerana metafora selain imej dan virus mereka, Search terus bertahan. Itu juga yang diakui oleh vokalis Kaka dan pemain drum, Bimbim daripada grup Slank, Indonesia. Menurut mereka, Search ialah Deep Purple Asia.

"Kami masih ingat lagi menonton persembahan Search sekitar tahun 80-an. Mengagumkan dan sungguh luar biasa. Waktu itu, keterujaannya seperti kami sedang menonton Deep Purple. Mereka Deep Purple Asia.

"Justeru, jika selepas 20 tahun mereka masih bertahan dan mampu menarik peminat mereka untuk terus hadir ke konsert, itu adalah sesuatu hal yang wajar.


SEARCH Di Awan Biru yang menjelajah seluruh negara diharapkan mampu meninggalkan impak istimewa sebelum band legenda Search mengucapkan selamat tinggal kepada belantara muzik rock.


"Kerana menurut kami, Search itu lengkap dengan pakej mereka - imej, muzik dan konsisten dengan persembahan mereka. Tua itu hanya angka. Ayuh, rock n roll terus," ujar Kaka dan Bimbim yang tidak segan mengaku Search ialah grup yang memberi inspirasi buat mereka menjadi pemuzik rock.

Sasar 100,000 penonton

Bercakap mengenai pencapaian khalayak yang diperoleh Search dalam beberapa lokasi sebelum ini, akui Raden, sebenarnya mereka belum mencapai sasaran yang dijangkakan.

Sambutan peminat masih kurang daripada sasaran asal. Tetapi apa yang produksi banggakan adalah dalam kemelut dan kemelesetan penonton hadir ke konsert berbayar, Search tetap mampu menarik lebih 5,000 pecandunya untuk membeli tiket.

"Dari segi bisnes, memang sambutan empatkonsert sebelum ini belum mencapai sasaran. Tetapi kami tetap berbangga kerana mampu menarik orang membeli tiket dalam pada kita dilambakkan dengan konsert percuma.

"Dan paling penting buat Search sendiri sebenarnya adalah matlamat mereka keluar dari Kuala Lumpur, bertemu peminat mereka untuk kali terakhir di setiap ceruk negeri tercapai," ujar orang kuat yang membuat konsert anjuran Celcom ini berjalan lancar.

Tambah Amy dan Raden, yang membuat mereka berpuas hati tentang konsert jelajah ini juga adalah produksi yang berkhidmat dengan mereka.

Diketuai oleh Harry Murti, 40, kelancaran konsert dibantu dengan kepakaran Jurutera Bunyi, Teuku Asril, 48, Jurutera Pencahayaan, Pipin Iskandar, 49 dan Jurutera Monitor, Hermawan, 28.

Berjalan dalam bajet yang ditentukan, krew dan tenaga produksi yang menjayakan Search Di Awan Biru ini dianggap produksi terbaik dari semua aspek.


TULANG belakang konsert Di Awan Biru sentiasa memastikan mutu konsert berada pada tahap spektakular.


Mempunyai baki enam lokasi lagi sebelum jelajah ini berakhir pada Ogos nanti di Kuala Lumpur, Search seharusnya sudah boleh tersenyum lebar. Tua lima personal grup ini bukan tua sembarangan. Tua mereka masih berbisa. Virusnya masih tumpah melimpah.

Dan jika esok lusa mereka menggarap semula album studio, atau barangkali meneruskan pembikinan album Empire Garden yang menjadi 'lost album' mereka sebelum memberi lambaian selamat tinggal kepada arena rock, pasti itu adalah warisan paling istimewa daripada mereka.

Sehingga bila pun Search masih relevan. Seperti kesimpulan Kaka: "Search boleh bubar atas sebab tertentu, barangkali kerana faktor usia juga. Tetapi muziknya tidak akan pernah mati. Saya selalu percaya hal itu. Mereka grup rock legenda rumpun kita."

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: