![]() |
| JULIE begitu teruja dengan penampilan perdananya dalam Blogger Boy. |
WAJAH persis kacukan dengan tulang pipi runcing dan ketinggian 5 kaki 5 inci, siapa pun tidak mahu terlepas daripada memandang gadis ini.
Kepetahan, kebijaksanaan dan yakin diri menambah faktor X kepada pendatang baru dengan pengenalan Julie Woon atau disapa Julie ini.
Realitinya, kata Julie, dia bukan anak kacukan. Sebaliknya asli keturunan Cina. Dan tambahnya, faktor X yang dimiliki itu menjadi jambatan buat dia meneroka jauh ke dalam bidang seni iaitu lakonan.
Semangat suka meneroka sesuatu yang baru itulah yang telah melontar dia masuk ke dalam bidang lakonan dengan pertama kali muncul dalam drama bersiri yang diberi judul Blogger Boy.
Bagaimanapun, karier awal Julie bermula dalam bidang pengacaraan sebelum terbabit sebagai hos rancangan permotoran di Astro pada sekitar 2006.
Bakat semula jadinya sebagai seorang pelakon dikesan selepas terlibat dalam filem indie dan dikembangkan menerusi pembabitannya dalam Blogger Boy.
Memegang karakter Nina Koh, heroin kepada dua hero iaitu Nas-T (Kid) dan Qushairi Razali (Budi), ujar Julie, apa yang dijalaninya kini adalah perkara yang diinginkannya sejak dulu.

Namun hasrat menggembirakan hati sendiri dipadam sewaktu usia belasan tahun kerana memenuhi kehendak keluarga yang mahukan dia menyertai dunia pendidikan dan pekerjaan kolar putih.
“Saya merupakan seorang lulusan bidang ekonomi, pemasaran dan kewangan. Itu ialah bidang pilihan keluarga. Sekarang, saya sedang ‘berhibur’ dengan bidang pilihan saya.
“Jika bercakap tentang kebarangkalian saya duduk di pejabat dan melakukan kerja-kerja pentadbiran atau kewangan satu hari kelak, saya rasa itu tidak akan terjadi.
“Sebaliknya mungkin orang akan melihat saya sebagai pengarah atau bekerja di belakang tabir kerana ini jiwa saya,” ujar anak kedua daripada dua beradik ini.
Begitu teruja dengan alam lakonan, watak Nina diterima, kerana menurut peminat fotografi ini, ia mampu membantu dirinya menjadi seorang pelakon yang lebih baik selain dapat bertutur dalam dwibahasa iaitu bahasa Melayu dan Inggeris.
Jelasnya sambil ketawa besar: “Saya seorang keturunan Cina yang tidak mahir berbahasa Mandarin atau Kantonis. Sebaliknya saya lebih banyak bercakap dalam bahasa Melayu dan Inggeris.
“Jadi saya melihat watak Nina dengan dwibahasa ini amat dekat dengan saya selain menampilkan saya dengan hobi iaitu dunia fotografi.”
Namun satu hal yang kontra dengan jalan cerita drama bersiri ini ialah Julie dalam kehidupan nyata tidak pernah memiliki sebarang blog. Satu-satunya rangkaian alam maya yang dimilikinya ialah laman sosial Facebook.
Alasan gadis ini yang mengakui dirinya tidak berbakat dalam bidang nyanyian: “Saya takut tidak mampu memberi komitmen terhadap blog yang saya hasilkan.”

No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: