Tuesday, June 2, 2009

Imran pinjam saja, bukan ciplak




PENYANYI kelahiran Singapura, Imran Ajmain yang sebelum ini terkenal dengan lagu-lagu berentak perlahan seperti Seribu Tahun kini muncul dengan album keduanya.

Namun, apa yang menjadi persoalan kebanyakan lagu yang dimuatkan dalam album berjudul Punca Dan Tindakan itu merupakan lagu-lagu lama yang diberi nafas baru.

Antara lagu lama yang diberi nafas baru ialah Radio judul sebenarnya Hanya Di Radio nyanyian asal kumpulan Headwind, Menimbang Rasa nyanyian asal Oslan Husein, Budi Setahun Segunung Intan nyanyian asal Datuk Ahmad Jais dan Kartina Dahari ditukar judulnya kepada Yang Ku Perlu, Senjakala nyanyian asal Allahyarham Tan Sri P.Ramlee ditukar kepada Tak Mungkin, dan Harapan Kecewa nyanyian asal Datuk Ahmad Jais.

Menurut Imran, dia langsung tidak berniat untuk menciplak karya-karya seniman terdahulu tetapi apa yang dilakukan adalah untuk mengangkat kembali martabat lagu Melayu klasik yang semakin dilupakan.

"Saya bukan penciplak, niat saya cuma ingin meminjam dan memperkenalkan kembali irama yang semakin dilupakan terutama kepada golongan muda. Kenapa kita harus mengambil idea dari Barat sedangkan di tempat kita sendiri banyak karya yang bagus dan boleh diketengahkan.

"Nak kata saya ambil bulat-bulat tidak juga. Dalam album ini hanya dua lagu lama yang saya nyanyikan balik iaitu lagu Menimbang Rasa dan Harapan Kecewa, sementara lagu lain saya ambil melodi dengan perubahan lirik," kata Imran ketika ditemui pada majlis pelancaran album keduanya di ibu negara baru-baru ini.

Tambahnya lagi, selain memperkenalkan lagu lama, album itu juga boleh dikira sebagai hadiah kepada peminat-peminat lagu lama.

"Ia boleh dikatakan sebagai tribute kepada peminat penyanyi-penyanyi lama kerana ia tetap relevan untuk peminat lagu asalnya.

"Muziknya telah dimodenkan tetapi emosi lagu tersebut tidak diubah kerana saya tahu kalau saya ambil lagu lama dan menukarnya menjadi lagu yang berlainan, saya akan dikatakan sebagai perosak lagu. Saya tidak mahu dituduh sedemikian rupa," ujarnya.

Pengaruh bapa

Sama seperti album pertamanya yang berjudul Dengan Secara Kebetulan, album keduanya juga mempunyai pengaruh besar bapa Imran sendiri.


IMRAN semakin selesa dalam arena seni suara diMalaysia setelah kejayaan lagu Seribu Tahun.


Ini kerana bapanya, A. Hussaini Ajmain merupakan seorang komposer yang aktif pada era 70-an dan 80-an. Jadi, tidak mustahil jiwa Imran telah dipupuk dengan irama Melayu klasik sejak sekian lamanya.

"Saya akui bapa ialah orang yang memberi idea dan membantu saya dalam memilih lagu lama untuk dimuatkan dalam album kerana dia lebih arif.

"Bila semuanya sudah siap, dia pun terkejut dengan hasilnya. Dia tidak menyangka lagu lama boleh diubah dalam pelbagai rentak tetapi masih lagi kekal dengan identitinya.

"Bila dia kata okey, itu yang saya lebih yakin. Kalau tidak, saya pun mungkin hilang arah," balas jejaka yang berusia 27 tahun itu lagi.

Selain lagu-lagu lama, album keduanya yang telah berada di pasaran turut memuatkan lagu-lagu baru seperti Selamat Ulang Tahun Sayang, Mengaku Kalah, Jika Engkau Pergi dan Perjalanan yang telah pun mendapat tempat di hati peminat sejak diperkenalkan pada Disember tahun lalu.

Menariknya dalam album itu juga, Imran menulis sendiri lirik untuk lagu Mengaku Kalah manakala lagu Tak Mungkin yang mengambil melodi lagu Senjakala telah diubah liriknya.

Lirik lagu Tak Mungkin adalah hasil daripada pertandingan mencipta lirik berdasarkan nyanyian Imran, yang disiarkan dalam laman web Youtube pada April lalu dan telah dimenangi oleh Faizal Maslan.

"Tujuan saya menganjurkan pertandingan menulis lirik ini selain untuk mempromosi album, saya juga ingin membantu industri seni melahirkan lebih ramai pencipta lagu dan lirik.

"Sejak mula disiarkan pada April lalu, saya telah menerima sebanyak 300 lirik. Banyak yang bagus dan agak sukar untuk saya memilih lirik mana yang benar-benar sesuai," terangnya.


IMRAN bangga dengan kemunculan album keduanya yang dikatakan sebagai penghargaan kepada karya-karya Melayu klasik.


Bukan itu sahaja, Imran juga telah berduet dengan pelakon Diana Danielle serta pelawak Nabil untuk lagu Radio dan hasilnya telah memperlihatkan sisi lain Imran.

"Saya sering dicap sebagai penyanyi jiwang, tangkap leleh dan bermacam lagi. Jadi untuk membuktikan saya juga boleh menyanyikan lagu-lagu rancak, lagu Radio ini menjadi bukti.

"Bekerja dengan Diana dan Nabil memang seronok, walaupun liriknya ada kena mengena dengan kehidupan mereka, tetapi mereka tetap positif dan sudi untuk berduet dengan saya.


IMRAN AJMAIN menafikan dia sedang bercinta dengan Siti Saerah.


"Bukan saya tidak percaya bakat diri untuk jual album sehingga terpaksa mengundang pelakon serta pelawak tetapi hanya mereka yang berada di fikiran saya apabila memikirkan siapa yang bersesuaian untuk berduet," katanya tentang album yang dijual pada harga RM29.90 itu lagi.

Lagu untuk Saerah?

Khabar angin tentang hubungan istimewa antara Imran dan Siti Saerah bertambah kuat apabila dalam majlis yang sama Imran turut memperdengarkan lagu Jika Engkau Pergi yang dinyanyikan oleh pendatang baru dalam dunia seni suara yang juga adik Siti Nurhaliza itu.

Malah, Kosmo! difahamkan peminat juga boleh memuat turun lagu yang dinyanyikan Saerah itu menerusi jualan secara digital di Internet.




Disogok pertanyaan, mungkinkah kerana hubungan istimewa yang terjalin antara mereka merupakan penyebab utama Imran membenarkan Saerah merakamkan lagu tersebut, seperti biasa Imran menafikannya. Dia sama sekali menafikan punya hubungan istimewa dengan wanita berkenaan.

"Saya dan Saerah saling mengenali sebagai rakan, bukannya mempunyai hubungan istimewa seperti yang dikatakan. Saya buat bukannya untuk mencari publisiti tetapi sebagai rakan, saya tahu dia boleh menyanyi dengan baik.

"Orang di luar sana mungkin selalu membuat perbandingan antara Saerah dan kakaknya, Siti Nurhaliza tetapi apabila dia mendendangkan lagu ini, suaranya sangat berbeza.

"Mungkin selepas ini orang ramai akan lebih menghargai bakat yang dimiliki Saerah. Itu sahaja tujuan saya," jelasnya sambil menguntum senyuman.

Pada sidang akhbar itu Imran sekali lagi menegaskan bahawa dia dan Saerah bukan bercinta. "Saya hanya mahu orang lebih menghargai Saerah," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: