![]() TIGA peserta yang layak ke peringkat akhir dari kiri; Aina, Adli dan Jo Anna. |
Mutu vokal peserta jauh lebih baik berbanding program realiti lain
SATU ketika dulu Bintang RTM (BRTM) terkenal melahirkan penyanyi berkualiti dan popular seperti Allahyarham Sudirman Arshad, Jamal Abdillah, Misha Omar, Sarah Raisuddin dan ramai lagi.
Bagaimanapun kehadiran pelbagai program realiti berkonsepkan pertandingan nyanyian sedikit sebanyak menenggelamkan populariti program berusia 35 tahun itu.
BRTM kini semakin hilang aura, walaupun jika dibandingkan kualiti pesertanya ternyata lebih baik daripada program realiti yang kebanyakan hanya bersandarkan populariti semata-mata. BRTM memerlukan transformasi untuk sebuah program yang usianya sudah memasuki lebih tiga dekad.
Walaupun mampu bertahan lama, RTM tidak boleh mengambil mudah tanpa mengambil sebarang inisiatif untuk menyerlahkan kembali nama BRTM. Apakah BRTM selesa dengan kedudukannya sekarang yang kurang menjadi perhatian?
Antara perkara yang memerlukan perubahan segera ialah imej pesertanya yang menyedihkan. Mungkin sudah tiba masa RTM merombak pakaian di dalam wardrobenya yang ketinggalan zaman. Pentasnya juga memerlukan sentuhan baru yang lebih berwarna-warni supaya dapat memikat penonton untuk menyaksikan BRTM, tidaklah hanya melihat pentas ‘kitar semula’ yang digunakan oleh semua program terbitan RTM.
![]() |
| PESERTA diadili tiga juri profesional dari kiri; Jari, Adnan Abu Hassan dan Johan Nawawi. |
Namun satu yang boleh dibanggakan mengenai pertandingan ini adalah vokal pesertanya. Sayangnya sejak diwujudkan kembali pertandingan ini pada 2004, pesertanya gagal mengecap populariti atau setidak-tidaknya memasuki industri muzik kerana terpaksa berdepan saingan sengit daripada program realiti lain yang lebih komersial berbanding BRTM.
Apakah nasib serupa bakal dihadapi peserta BRTM 2009 atau salah seorang dari mereka bakal menyerlah? Sekali lagi BRTM menampilkan peserta yang memiliki mutu vokal tidak mengecewakan. Pada Peringkat Separuh Akhir 2 yang berlangsung Ahad lalu, tiga peserta Jo Anna Sue Henly Rampas, 20; Saidatul Aina Jamaluddin, 22, dan Mohammad Adlizan Baharudin, 23; berjaya menempah tiket ke peringkat akhir yang dijadualkan berlangsung 28 Jun nanti.
Ketua Juri, Johan Nawawi berkata, keistimewaan tiga peserta ini bukan saja terletak pada vokal mantap mereka tetapi kemampuan menyanyi dengan gaya tersendiri tanpa dipengaruhi nyanyian penyanyi asal.
Bagaimanapun, beliau menasihatkan peserta yang berjaya menempatkan diri mereka ke final mendapatkan nasihat daripada profesional mengenai pilihan lagu yang sesuai untuk dipertandingkan pada peringkat akhir nanti.
“Aina dan Jo Anna mempunyai perbezaan markah yang sangat tipis tetapi kedua-duanya berpotensi untuk menang. Manakala Adli pula perlu bekerja keras untuk menghadapi persaingan di peringkat akhir nanti kerana semua peserta kuat termasuk dari Separuh Akhir 1. Sementara peserta yang gagal melangkah ke final memiliki kemampuan yang sederhana.
“Cuma saya ingin nasihatkan semua peserta supaya memilih lagu yang sesuai di peringkat akhir nanti kerana juri tidak menilai mereka berdasarkan potensi setiap minggu, tetapi persembahan terakhir mereka nanti turut dinilai. Jadi mereka harus mengelakkan daripada kesilapan kecil supaya tidak menjejaskan peluang masing-masing,” katanya.
Selain Jo Anna, Aina dan Adli, peringkat separuh akhir 2 turut disertai Nur Azilla Mohd Ibrahim (Zilla), 23; Rozainita Aida Mohamed Bakri (Aida), 23; Shereen Anshary (Reen), 24; dan Arnizam Michael (Nizam), 22.
Pada pertandingan separuh akhir itu, kebanyakan peserta memilih lagu lama sebagai pertaruhan. Jo Ann memilih lagu Persimpangan Dilema; Aina pula memukau penonton dengan lagu Janji Manismu; Adli memilih lagu Batu & Golek dendangan asal Faizal Tahir. Sementara Zilla menyanyikan lagu Setia Ke Akhir Hayat, Nizam dengan lagu Tekad, lagu Ku Berserah pula menjadi pilihan Reen dan Aida pula memilih lagu Sabar Menanti.
Jo Anna, peserta dari Sabah yang menuntut dalam jurusan undang-undang di Kolej ATC berkata, dia menyertai Bintang RTM kerana pertandingan itu satu-satunya masih mengekalkan format pemarkahan daripada juri profesional. Bagaimanapun, Jo Anna tidak menyangka percubaan pertamanya itu mencatat kenangan manis.
“Saya tidak pernah mencuba nasib untuk program realiti kerana tidak suka dengan formatnya yang bersandarkan undian SMS 100 peratus. Lagipun sejak kecil saya sudah bersama dengan RTM mengendalikan program Bintang Kecil, jadi keserasian itu sudah lama wujud. Cuma kali ini saya terpanggil menyertai BRTM di atas galakan ibu. Namun saya tidak sangka berjaya menempatkan diri ke peringkat akhir memandangkan persaingan malam ini cukup hebat.
“Saya sendiri tidak dengar nama saya disebut cuma apabila Izwan Pilus menyebut Ratu Keamatan barulah saya menyedari layak ke akhir,” katanya yang menangguhkan pengajian selama satu semester kerana menyertai BRTM.


No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: