![]() JOSEPH Salang ketika melancarkan kempen Suatu Ketika. |
Didik pelanggan melalui program dokumentari sejarah negara
SESUAI dengan matlamat memberikan hanya persembahan terbaik menerusi pelbagai saluran tersedia, Astro terus melahirkan program berbeza untuk pelanggan.
Terbaru, stesen televisyen berbayar itu menerusi saluran Citra dan Prima melancarkan Kempen Suatu Ketika, program yang menggabungkan elemen pendidikan, pengajaran serta hiburan bagi memenuhi selera penontonnya.
Pada ketika Astro berusaha memberikan hiburan berterusan terbaik, mereka juga tidak ketinggalan menyahut aspirasi kerajaan, terutama menerusi kempen 1Malaysia apabila terus menghasilkan program yang menjurus ke arah pencapaian matlamat berkenaan.
Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn Bhd, Zainir Aminullah, berkata Astro harus bijak menggunakan platform yang ada untuk mendidik pelanggan mereka melalui program berbentuk dokumentari, yang dipersembahkan dengan pendekatan lebih menarik dan menghiburkan.
"Justeru, kami berasakan kempen Suatu Ketika ini amat bersesuaian dalam usaha kita mencapai objektif itu," katanya pada majlis pelancaran kempen berkenaan di Pusat Maklumat Pelancong Malaysia (MTC), Jalan Ampang, baru-baru ini.
![]() |
| BARISAN pelakon yang menjayakan drama bersiri bagi kempen Suatu Ketika merakam kenangan bersama sepupu Rosly Dhobi, Tahar Johnny (berdiri empat dari kanan). |
Majlis terbabit disempurnakan Timbalan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Joseph Salang.
Sebagai bukti keprihatinan tanggungjawab sosial korporat mereka kepada masyarakat, katanya, Astro meletakkan inisiatif amat tinggi melalui kempen penjenamaan Suatu Ketika, bagi menghuraikan fakta dan sejarah yang berlaku menerusi dokumentari selama sejam pada setiap bulan.
Melalui program ini, penonton yang sebelum ini tidak pernah mengenali atau mengetahui kisah sejarah dan personaliti dilakar dalam perjalanan hidup negara kita seperti Sybil Kartigesu, Mokhtar Dahari, Rosli Dhoby dan cerita mitos seperti Si Tanggang berpeluang mengetahui lebih lanjut mengenai kisah dan hidup mereka.
"Penonton bukan hanya didedahkan dengan kisah sejarah ini secara dasar, bahkan mereka dapat mendalami fakta serta kejadian yang benar-benar berlaku pada waktu itu, selain mengikuti pengakuan anggota keluarga serta individu terdekat dengan subjek yang dipaparkan.
"Semua elemen pendidikan ini digubah dalam bentuk hiburan berinformasi bagi tujuan menarik golongan belia menghargai sejarah," kata Zainir.
Katanya, buat kali pertama dalam sejarah televisyen negara ini, Astro muncul sebagai pelopor kepada penyampaian fakta sejarah menerusi dua elemen, iaitu dokumentari menceritakan kejadian sebenar dan drama bersiri yang berpeluang menghuraikan lebih lanjut sejarah yang berlaku, dalam bentuk lebih fiksyen.
Astro Prima akan menayangkan program dokumentari berdasarkan fakta sejarah dan legenda, manakala Ceria pula menayangkan lapan episod drama bersiri, yang menceritakan semula kejadian sebenar di samping membawa penonton mengimbau sejarah, legenda dan mitos silam pada setiap bulan.
Sebanyak 12 judul akan ditayangkan menerusi kempen terbabit.
Kempen Suatu Ketika bermula dengan kisah seorang remaja Sarawak yang dilabel pembunuh sekitar 1949, Rosly Dhobi, pada 3 Jun menerusi drama Warkah Terakhir yang disiarkan setiap Rabu dan Khamis, jam 9 malam, di Astro Ceria. Manakala dokumentarinya pula yang berjudul Rosly Dhobi: Pembunuh atau Pejuang akan ditayangkan 7 Jun, di Astro Prima, jam 9 malam.
Pada Julai, kisah Si Tanggang mengambil giliran, manakala kisah Tentera Merah Jepun yang menahan 50 tebusan di Bangunan AIA Kuala Lumpur pada 1975 pula menemui penonton pada Ogos. Ia diikuti pendedahan kisah hidup bekas pemain bola sepak ternama negara, Mokhtar Dahari, pada September, serta kisah pasukan pejuang yang berpusat di dalam hutan pada zaman darurat dalam era menentang komunis, Senoi Praaq, pada Oktober.
Kisah bersejarah lain yang bakal diketengahkan menerusi kempen ini ialah tragedi Pos Dipang, Melaka, Sybil Kartigesu (jururawat merana sewaktu zaman penjajahan Jepun), usaha memerangkap Botak Chin dan sebagainya.


Terima kasih atas sokongan anda kepada kempen 'SUATU KETIKA'. Sila ke laman facebook kami (SUATU KETIKA...) untuk program terbaru dan memberikan komen anda!
ReplyDelete