|
 |
| APABILA ditanya mengenai Hi-5 kepada mereka sudah dewasa pasti ada yang menggelengkan kepala atau mengaitkannya dengan jenama roti, tetapi tidak dalam kalangan remaja dan kanak-kanak. |
APABILA ditanya mengenai Hi-5 kepada mereka sudah dewasa pasti ada yang menggelengkan kepala atau mengaitkannya dengan jenama roti, tetapi tidak dalam kalangan remaja dan kanak-kanak.
Jika disebut Hi-5 kepada mereka pasti ada yang melompat dan terus menari sambil menyanyi mengikut apa dipersembahkan lima anggota kumpulan itu dalam rancangan menggunakan judul sama.
Rancangan khas untuk kanak-kanak itu sebelum ini disiarkan stesen televisyen berbayar Astro, namun untuk musim ke-11 peminat setia Hi-5 akan dapat menyaksikan rancangan yang turut mempunyai rangkaiannya di seluruh dunia, di ntv7 bermula 8 Jun, 10 pagi setiap Isnin hingga Ahad.
Berita gembira untuk peminat setia Hi-5 apabila anggota kumpulan ini merancang mengadakan konsert bergerak di beberapa negara Asia Tenggara termasuk di negara ini yang dijadualkan berlangsung akhir Ogos di Genting Highland, Pahang.
Antara objektif konsert ini dibuat bagi memperkenalkan anggota baru iaitu Lauren Brant (Lauren), Tim Maddren (Tim) dan Fely Irvine (Fely) yang menyertai Stevie Nicholson (Stevie) dan Casey Burgess (Casey) sebagai generasi musim ke-11 Hi-5.
Rancangan yang menampilkan pendidikan prasekolah menerusi hiburan sudah memenangi pelbagai anugerah, dalam memilih anggota baru sudah tentu uji bakat dilakukan dibuat secara teliti.
Fely, Tim dan Lauren menyertai kumpulan Hi-5 selepas uji bakat secara intensif dibuat seluruh Australia. Dengan latar belakang yang unik, tiga ahli baru ini berjaya menepati sasaran sebagai penyanyi, penari dan pelakon.
Sewaktu ditemui dalam kunjungannya di Kuala Lumpur baru-baru ini, bagi mempromosikan Hi-5 episod ke-11, Fely berkata tiada apa yang ingin dilakukan selain menjadi sebahagian daripada ahli keluarga rancangan kanak-kanak itu.
"Saya teruja apabila diberi peluang untuk menjadi seorang anggota kumpulan Hi-5. Tidak sabar rasanya hendak menghiburkan penonton di Australia dan di sini," katanya
Bagaimanapun, mengadakan persembahan di hadapan penonton yang ramai bukanlah sesuatu yang asing bagi bintang muda berdarah campuran Filipina dan Scotland ini.
Fely graduan seni dari Atlantic Acting School di New York, Amerika pernah mengadakan persembahan jelajah Australia dengan membintangi teater muzikal, Miss Saigon
"Sewaktu Hi-5 sedang mencari anggota kumpulan baru, agensi saya memberitahu tidakkah saya mahu mencuba? Pada awalnya saya hanya berkata tidak salah untuk mencuba.
"Tidak sangka pula sekarang ini saya dapat menyanyi, berlakon dan menari bersama kanak-kanak setiap hari. Ia satu pengalaman sangat menyeronokkan," katanya lagi.
Bercerita mengenai keturunannya yang mempunyai darah Filipina dia berkata diharapkan dengan penyertaannya dalam Hi-5 dapat membuktikan bahawa tiada jurang dalam rancangan dikendalikan.
"Saya berasa begitu bangga kerana waktu sama dapat mewakili masyarakat Filipina. Saya turut bangga mempunyai darah Filipina. Semoga Filipina terus hidup selamanya," katanya penuh semangat.
Tim yang mempelajari bidang seni di West Australian Academy Of Performing Arts pula berpendapat tidak semua orang berpeluang mempunyai kerjaya cukup menyeronokkan seperti apa yang dirasainya sekarang ini.
"Tiada kerja yang boleh menandingi apa yang saya lakukan sekarang iaitu menggalakkan anak-anak kecil menjalani hidup aktif di samping berseronok.
"Sejak menyertai Hi-5 saya berasa hidup sangat indah kerana ke mana saja saya pergi sekarang ramai kanak-kanak senyum kepada saya. Bermakna usaha kami untuk menerapkan kasih sayang menerusi muzik, tarian dan hiburan mencapai objektifnya," katanya.
Sebelum menyertai Hi-5, Tim terlebih dulu menimba pengalaman berlakon dalam drama teater seperti Fyedka in Fiddler on the Roof dan Luke in Altar Boyz.
Dia juga pernah menjadi pelakon jemputan dalam siri televisyen popular Australia, Blue Water High.
Dinilai dari sudut pengalaman ternyata Lauren mempunyai kelebihan kerana sudah berlakon dalam beberapa drama termasuk diterbitkan produksi Hollywood iaitu The Starter Wife.
Pada 2007, dia mengacarakan rancangan bercorak pengembaraan Humphrey Bear Show dan menjadi tenaga pengajar dalam bidang lakonan iklan televisyen, kemahiran komunikasi dan teater muzik di Brightstars Talent Academy di Gold Coast.
Jelas Lauren, perkara paling menarik apabila dapat menjadi sebahagian daripada anggota kumpulan Hi-5 adalah mempunyai empat rakan baik.
"Bayangkan setiap hari kami dapat melakukan perkara menyeronokkan bersama iaitu menari, menyanyi, dan berlakon sebagai tugas harian. Rasanya tiada perkara lebih menarik berbanding apa yang saya buat sekarang," katanya.
Sementara itu anggota yang masih kekal iaitu Stevie dan Casey berkata mereka tidak mempunyai masalah untuk bekerja dengan anggota baru dan mengalu-alukan kehadiran mereka sebagai sebahagian ahli keluarga Hi-5.
"Setakat ini kami seronok bekerjasama. Boleh dikatakan Fely, Tim dan Lauren, individu yang mempunyai bakat besar. Kami juga percaya penonton setia Hi-5 akan menyukai mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: