|
 |
| SELEPAS kejayaan Khairul Noormaidah Zali atau Aida menjuarai Gadis Melayu TV9 yang pertama, kini pencarian diteruskan lagi untuk musim kedua. |
SELEPAS kejayaan Khairul Noormaidah Zali atau Aida menjuarai Gadis Melayu TV9 yang pertama, kini pencarian diteruskan lagi untuk musim kedua. Sebanyak lima lokasi di Semenanjung Malaysia dipilih untuk menjayakan uji bakat pencarian itu.
Bermula dengan Johor Bahru, Pulau Pinang, Sri Pentas 2 Shah Alam dan Ipoh, hujung minggu ini pula uji bakat berlangsung di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur. Menjadi lokasi terakhir pencarian, diharap 12 gadis Melayu yang dicari akan ditemui.
Penerbit Gadis Melayu TV9, Shukri Ibrahim berkata pencarian musim kedua ini agak memberi cabaran kepada peserta kerana ia berlainan daripada tahun lalu. Seiring dengan perubahan kemodenan, peserta akan diuji daripada pelbagai sudut.
"Bukan sekadar mengetahui adat Melayu semata-mata, tetapi peserta dicari juga dinilai menerusi kebijaksanaan, kreativiti, kepandaian serta berpengetahuan luas. Sekiranya semua ciri-ciri itu ada, peserta terbabit sekali gus layak dipilih.
"Ia satu kelainan bagi menguji bakat sebenar peserta. Oleh itu, pada sesi uji bakat musim ini kita (TV9) turut mengundang selebriti dan pelakon sebagai juri. Jika peserta mengakui berbakat dalam lakonan, mereka akan diuji serta-merta.
"Mereka (peserta) perlu berlakon dengan juri itu lebih dulu, sebelum markah diberikan. Antara pelakon diundang sebagai juri Gadis Melayu ialah Fauziah Nawi di Johor Bahru, Jehan Miskin (Pulau Pinang), Rusdi Ramli (Shah Alam) serta Zulhuzaimi dan Maizurah Hamzah (Ipoh)," katanya.
Menurut Shukri, untuk lokasi uji bakat di Hotel Le Meridien Kuala Lumpur yang diadakan hari ini dan esok bermula jam 9 pagi, juri terbabit ialah Nurfarahin Jamsari, Sharifah Syawati Syed Mohd, Datuk Mahadzir Lokman dan Pengarang Hiburan Harian Metro, Adam Salleh.
"Dari empat lokasi uji bakat yang lalu, tidak dinafikan penyertaan peserta diterima amat memberangsangkan. Boleh dikatakan, kira-kira 600 peserta sudah hadir uji bakat dan calon yang berjaya disenarai pendek setakat ini seramai 30 orang.
"Justeru, pencarian diteruskan lagi di Kuala Lumpur. Diharap 12 peserta Gadis Melayu diperlukan untuk menyahut cabaran musim kedua nanti akan ditemui. Saya yakin ia berjaya memandangkan hadiah disediakan untuk pemenang juga agak lumayan," katanya.
Ditanya mengenai cabaran akan dilalui calon Gadis Melayu terpilih, Shukri berkata antaranya mereka (peserta) akan diminta menyediakan masakan kampung. Wang saku diberikan, tetapi seandainya tidak cukup, pandai-pandailah mereka mencari ulam-ulaman.
"Secara tidak langsung, peserta diuji sama ada mengenali ulam kampung atau tidak. Apapun, yang dicari sebenarnya karakter. Kita mahu Gadis Melayu dicari itu memiliki karakter diri. Ditambah lagi dengan bakat dan personaliti tersendiri," katanya.
Menyentuh mengenai mengapa pencarian uji bakat tidak dilakukan di Sarawak dan Sabah kali ini, kata Syukri bergantung pada situasi. Jika 12 calon Gadis Melayu dicarinya belum ditemui, kemungkinan akan diadakan di sana pula.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: