|
| FENOMENA ketika ini menunjukkan kemerosotan ketara dalam jualan album, selain pada masa yang sama peningkatan mendadak kutipan jumlah muat turun daripada teknologi tanpa sempadan, Internet. |
FENOMENA ketika ini menunjukkan kemerosotan ketara dalam jualan album, selain pada masa yang sama peningkatan mendadak kutipan jumlah muat turun daripada teknologi tanpa sempadan, Internet.
Melihat senario ini, ia seakan-akan memaparkan satu isyarat jelas album tidak lagi relevan pada masa kini, malah dilihat sedang meniti era kepupusan.
Apatah lagi, fenomena ini turut diakui penyanyi popular tempatan apabila penjualan album mereka tidak berupaya menarik hati peminat seperti jualan album sebelumnya yang mencatat angka memberangsangkan.
Jauh beza dengan keadaan sebelum ini apabila peminat sanggup mengumpul duit semata-mata ingin membeli cakera padat (CD) artis kesukaan mereka. Entah apa puncanya, dunia muzik tempatan selalu menerima ancaman seperti cetak rompak dan terbaru, muat turun daripada Internet.
Menjawab persoalan sama ada album masih relevan atau tidak dihasilkan, Ketua A & R Domestik & Regional Repertoire, Mokhtaza Ahmad dari Warner Music (Malaysia), menegaskan ia perlu diteruskan sebagai satu kaedah promosi untuk memperkenalkan penyanyi melalui format berbeza.
"Album masih lagi relevan cuma ia perlu mengikut peredaran zaman. Jika sebelum ini kita mengeluarkan album berbentuk fizikal kini ditukarkan ke alam maya.
"Maksudnya, penjualan album melalui Internet. Walaupun konsep penjualannya sudah berubah, ia masih sama cuma digitalkan saja. Menariknya, peminat muzik tempatan yang tidak mahu membeli album, tetapi berminat dengan satu lagu artis kesukaan, mereka boleh memuat turun saja menerusi Internet dengan harga berpatutan.
"Dengan teknologi ini, bukan saja menguntungkan penyanyi malah turut memberi kebaikan kepada peminat muzik tempatan apabila mereka boleh memuat turun pelbagai lagu di Internet dengan harga menarik," katanya.
Menyentuh ada kemungkinan album berbentuk fizikal tidak lagi dikeluarkan berikutan kecanggihan teknologi, kata Mokhtaza, itu tidak akan berlaku.
"Walaupun kami (syarikat rakaman) dari Warner Music memberi lebih perhatian kepada penjualan menerusi Internet, pengeluaran album berbentuk fizikal masih diteruskan. Cuma, mungkin tidak seperti dulu yang percetakan hingga puluhan ribu. Kini, pencetakan album berbentuk fizikal untuk seorang penyanyi mungkin dalam 500 atau 1,500 untuk memantau keadaan pasaran dulu.
"Sekiranya menguntungkan dan ada permintaan, baru kami buat cetakan kedua. Bagaimanapun, ingin saya tegaskan walau apa keadaan sekalipun, album berbentuk fizikal akan tetap diteruskan.
"Kita kena ingat bukan semua yang mempunyai kemudahan Internet dan ada antara mereka terdiri daripada peminat yang suka menyimpan koleksi album artis kesukaan. Justeru, album berbentuk fizikal masih diperlukan," katanya.
Tidak sah atau lengkap tanpa menjengah persoalan kedatangan pelbagai perisian yang memudahkan peminat muzik memuat turun lagu kesukaan mereka tanpa bayaran.
"Sebelum ini, masalah cetak rompak berleluasa sewaktu kegemilangan album berbentuk fizikal. Sekarang, apabila kami beralih arah ke penjualan menerusi Internet, timbul pula lanun alam maya yang menyediakan pelbagai perisian kepada peminat muzik untuk memuat turun lagu secara percuma.
"Ini adalah satu senario yang membimbangkan apabila bukan saja merosakkan dunia muzik tempatan malah menggugat pendapatan penyanyi yang mencari rezeki menerusi lagu mereka. Sukar untuk diperkatakan, cuma saya fikir setiap negara mempunyai penguatkuasaan tersendiri dalam membanteras gejala ini.
"Mungkin, pemantauan kurang dari pihak berkuasa menyebabkan permasalahan ini kian merebak dan saya risau ia akan menjadi virus dalam pentas muzik tempatan. Justeru, saya mengharapkan terdapat satu pemantauan ketat dijalankan bagi membendung gejala ini kian berleluasa.
"Peminat muzik tempatan perlu menghormati karya penyanyi kesukaan mereka. Untuk itu, saya fikir jalan terbaik mengajar peminat muzik menghormati karya penyanyi adalah melalui penguatkuasaan undang-undang," katanya.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: