
Penyampai radio Hot FM yang lebih mesra dipanggil sebagai Fara, ditemui ketika majlis Inspirasi TV3 sempena sambutan ulangtahun TV3 ke 25 tahun bertempat di Hotel Crown Plaza, Bukit Bintang, Kuala Lumpur baru-baru ini.
Fara pertama kali berkhidmat di TV3 pada tahun 1999 sebagai pengacara rancangan kanak-kanak, Ronald McDonald Funtime bersama seorang lagi pengacara lelaki yang kini berkhidmat di rangkaian Astro Awani, Syed Faradino.
Ketika mula-mula berkhidmat di stesen tersebut, bakat Fara diselia dua personaliti senior TV3 yang cukup dikenali, Nurfarahin Jamsari dan Ezzah Aziz Fawzy.
“Mereka berdua memang tegas dan garang. Silap sikit je, siap sedia la kena marah. Tapi, sebab merekalah yang membolehkan Fara berdiri di sini hari ini,” celotehnya ketika mengimbas detik permulaan beliau sebagai pengacara.
Fara mula melangkah untuk menceburi satu lagi cabang penyiaran iaitu menerusi radio Era. Mula dikenali menerusi skuad promosi Era sebelum ditugaskan untuk menggalas tanggungjawab sebagai penyampai radio Era.
Celotehnya yang begitu bersahaja ketika mengendalikan segmen di radio membolehkan beliau mencipta nama dalam tempoh yang amat singkat. Rezeki Fara semakin mencurah-curah apabila pada hujung tahun 2004, Fara diberi peluang oleh TV3 untuk mengembangkan bakat sebagai pengacara di samping Wahid Senario menerusi majalah TV paling hangat negara, Melodi.
Tindakan TV3 mengambil Fara sebagai pengacara program yang penuh dengan cerita-cerita sensasi dan kontroversi itu ternyata berbaloi apabila beliau dinobatkan sebagai pengacara popular di ABP.
“TV3 merupakan sebuah stesen TV yang bertanggung jawab menaikkan nama saya sebagai pengacara. Sempena ulang tahun ke 25 TV3, saya amat berterima kasih kepada pihak TV3 dan juga produser Melodi ketika itu, Saniboey Ismail dan Jamil Hasan,” jelas Fara menunjukkan rasa syukurnya.
Bukan itu sahaja, tuah senantiasa menyebelahi Fara apabila beliau disambar oleh Media Prima Berhad (MPB) sebagai penyampai radio bahasa Melayu pertama milik MPB iaitu Hot FM pada 2006.
Tugas yang menantinya bukanlah mudah apabila dipertanggungjawabkan sebagai penyampai utama segmen pagi bersama Faizal Ismail.
No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: