Sunday, June 14, 2009

Tomok akui kesilapan

Selepas Tomok meraih gelaran juara dalam program realiti One In A Million (OIAM) musim ke-3 lalu, dirinya sering menjadi perhatian umum tidak mengira peringkat umur.

Namun, baru-baru ini, sebuah akhbar melaporkan Tomok didakwa bersikap sombong oleh segelintir peminatnya. Walaupun begitu, pemilik nama Shah Indrawan Ismail, 25, ini tidak menyalahkan peminat yang membuat dakwaan itu sebaliknya mengakui sebagai kesilapannya sendiri.

“Saya tak salahkan mereka kerana mungkin kesilapan itu datang daripada diri saya sendiri. Saya tak mampu untuk puaskan hati semua orang kalau sesebuah show itu dihadiri beribu-ribu orang.

“Perkara sebegitu saya akan ambil iktibar untuk memperbaiki diri saya,” katanya ketika menghadiri sidang media ‘Inspirasi TV3’ di Hotel Crown Plaza, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Sebelum mengecap populariti sebagai juara One In A Million (OIAM), Tomok pernah muncul sebagai vokalis kumpulan remaja popular suatu ketika dahulu, New Boyz (NB). Namun, apabila meningkat dewasa, populariti Tomok dan kumpulan tersebut kian pudar.

Menurut Tomok, NB belum lagi berkubur. Mereka masih lagi menerima undangan untuk mengadakan persembahan pentas. Cuma memerlukan sedikit masa untuk menghasilkan album terbaru mereka dengan konsep yang baru.

Kini, setelah bergelar juara, Tomok tampil dengan pembaharuan imej yang menarik serta persembahan vokal yang mengagumkan untuk mewarnai industri hiburan tempatan.

Kesannya, Tomok bukan sahaja kembali merasai dunia kemasyhuran malah dia juga semakin sibuk dengan kariernya yang semakin berkembang itu.

“Impak (popular) dulu dan sekarang agak berbeza kerana sekarang saya turut menerima peminat berbilang kaum seperti Cina dan India serta mereka bukan sahaja terhad kepada golongan remaja malah seluruh keluarga,” katanya.

Selain sibuk dengan bidang nyanyian, rezeki Tomok juga kian bercambah apabila ditawarkan untuk berlakon filem yang bakal diterbitkan hasil usaha sama produksi Malaysia dan Rusia sejurus memenangi OIAM yang berjudul ‘Mantera’.

Syarikat produksi Malaysia, Flare Studio dan Space Toon (Rusia) merupakan syarikat produksi yang bertanggungjawab menghasilkan filem ala-ala Transformers dan Ironman tersebut. ‘Mantera’ akan memulakan penggambaran pada bulan Julai dan akan dimulakan di Rusia sebelum di sambung di Malaysia.

”Saya memegang watak Azman iaitu watak utama yang akan berlakon di samping aktres dari Rusia. Selain itu, Lisa Surihani juga turut terlibat dalam filem ini,” ujarnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: