
“UMMI Nazeera, jangan salah mengeja namanya ya,” pesan gadis muda yang manis sekali apabila dia tersenyum. Baru mencecah 19 tahun, itu adalah usia untuk mekar dalam segala hal. Dia tidak juga kalah dengan usikan bercinta.
Baru kali ini saya dapat mengenalinya. Seiring dengan karya lakonannya yang sudah semakin membiak dalam industri, dia terlihat matang sekali dalam pertuturan dan memberi komentar. Sekali imbas, Ummi seperti mendahului umur yang dibawanya.
Namun, selepas beberapa jam bersama, dapat juga ditangkap sikapnya seperti anak belasan tahun yang lain – ada nakal tersendiri. Tingkah manjanya yang tidak dibuat-buat dengan sedikit senyuman memang boleh membuatkan saya terfikir, patutlah Remy Ishak boleh jatuh cinta. Bahkan lelaki mana pun.
Sengaja saya usik dia dengan topik itu yang sememangnya sinonim dengan anak muda. Semua itu untuk melihat reaksi pendatang segar dunia lakonan ini yang sudah terkena tempias tersebut. Bukan dengan calang-calang orang tetapi dengan pelakon muda yang juga berbakat besar.
‘Cinta’ dia dengan Remy, kata gadis ini, enggan diperbesarkan.
“Saya tidak mahu khalayak kenal saya dengan gelaran ‘Ummi Remy’. Rasanya macam tidak enak sahaja. Saya memang berkawan dengan Remy tapi cukup sampai di situ sahaja. Saya kalau boleh mahu orang fokus pada lakonan dan bakat saya.
![]() |
| |
“Bukan hal-hal sebegini. Kerana ini kami berdua cuba mengelak jika ada fotografi bersama. Lainlah kalau ada hal kerja yang melibatkan komitmen kami berdua. Itu dikira profesional,” jawabnya tenang sambil menyisir rambutnya yang panjang mencecah pinggang.
Bosan jadi baik
Raut wajah ayu sering sahaja membuatkan portfolio lakonannya diisi dengan watak baik-baik. Di layar perak mahupun kaca televisyen, Ummi sering tampil sebagai pembawa peranan baik atau ‘putih’ sifatnya. Walaupun dia tidak mengeluh, namun sudah resam orang muda sepertinya untuk bereksperimentasi.
Akhirnya semua itu terjawab apabila pengarah Kabir Bhatia berani memberikan satu watak yang berbeza untuk Ummi, lantas membuka kepompong yang selama ini didiaminya. Melakonkan watak Siti Sara, adik kepada heroin dalam siri televisyen Nur Kasih, ia pembuka jalan untuk menguji kemampuan Ummi.
“Saya puas hati, akhirnya dapat watak antagonis. Watak ini nampak tenang di luar tetapi realitinya dia seorang anak yang mempunyai hati yang hitam dan penuh dengan hasad. Kuat memberontak,” ulasnya tentang siri televisyen baru yang turut dibintangi Remy Ishak, Fizz Fairuz dan Tiz Zakya.
![]() |
| |
Ujar Ummi lagi, Kabir telah memberikan bimbingan dan tunjuk ajar yang cukup banyak buat dirinya. Setelah bekerja dengan Kabir, dia kini mengerti bahawa sutradara itu mahukan sesuatu yang realistik, bersahaja dan tidak terlalu terbawa-bawa.
Sebelum ini, bukan tidak pernah ditawarkan watak-watak hitam kepada dirinya. Ummi sekadar menganggap ‘jodohnya’ untuk bekerjasama dengan produksi terbabit belum sampai. Sering sahaja ada kendala yang menghalangnya untuk menjadi ‘jahat’ di depan kamera.
Tiada masalah berkemban
Usai diberikan watak jahat, dia mencuba lagi sesuatu yang baru. Jika sebelum ini apabila disebut nama Ummi Nazeera, yang terbayang dalam fikiran adalah sosoknya yang santun bersarung baju kurung atau kebaya. Kini dia bakal mencuba sesuatu yang di luar kelaziman itu.
Ummi tiada masalah untuk mencuba sesuatu yang kontra daripada gambaran dirinya. Adegan berkemban dalam filem terbaru di bawah produksi KRU bukanlah halangan besar buatnya. Filem epik Hikayat Merong Mahawangsa, yang diarahkan oleh Yusry itu akan membawa Ummi ke satu tahap pengalaman berbeza.
“Watak Embok masih seorang yang lemah lembut. Namun dia ada pengalaman pahit iaitu pernah dirogol sehingga dia bencikan lelaki. Sehinggalah dia berjumpa dengan Merong Mahawangsa, segalanya berubah,” terangnya dengan penuh antusias.
Untuk sebuah filem epik dengan tenaga kerja dan produksi yang berskala besar, Ummi menetapkan sebuah persedian yang jitu. Malah, dia nekad mahu ke gimnasium untuk mencantikkan tubuh dan lengan agar elok ketika berkemban kelak.
Dia sudah mula mengkaji siapa Embok, belajar tentang perjalanan wanita lama dan membuat ulang kaji perihal epik. Tambah Ummi, dia sudah mula menyimpan bulu keningnya agar terbentuk seperti wanita zaman silam.
![]() |
| |
“Saya akan membuat interpretasi sendiri tentang Embok. Saya akan bentuk dia mengikut skrip dan imaginasi saya. Saya teruja dengan filem kedua saya ini sebenarnya. Bulan Julai ini saya akan mulakan penggambaran filem ini.”
Filem yang menampilkan Stephen Hughes Rahman sebagai hero itu turut disertai Datuk Rahim Razali. Keterujaan bakal berlakon bersama malah menjadi anak kepada Rahim diluahkan sewaktu sesi temu ramah di studio abang Ummi tempoh hari.
“Dugaan saya bergelar pelakon baru adalah apabila kita tidak tahu kesalahan yang dilakukan. Kalau berlakon dengan aktor senior, saya jadi ‘goyang’ sebab takut buat salah. Tapi, saya hilangkan perasaan itu dengan meminta pendapat dan buat ikut naluri saya,” katanya sambil berterima kasih kepada krew yang banyak memberikannya kritikan dan panduan.
Bagi bekas penari yang bakal memantapkan ilmu dengan mengikuti kelas lakonan ini, impiannya adalah untuk menjadi seorang yang berjaya dalam hidup. Biar tidak dinyatakan secara khusus sasaran kejayaan yang dimaksudkan itu, Ummi buat masa ini mahu serius dalam fasa hidupnya yang menceburi bidang lakonan.



No comments:
Post a Comment
Tinggalkan Komen Anda Sini: