Sunday, June 7, 2009

Pelancongan Bamiyan tejejas teruk


PETANI Afghanistan menggali tanaman kentang berlatar belakangkan pemandangan gunung.

Ketibaan pelawat disambut amaran periuk api

MELANCONG ke Afghanistan? Mungkin ramai yang tidak terfikir mengenainya kerana apa yang dibayangkan jika nama negara itu disebut hanyalah berita serangan bunuh diri, penculikan dan pejuang Taliban.

Malah ada yang berpendapat hanya mereka yang benar-benar gila saja sanggup memilih negara itu sebagai destinasi pelancongan berikutan pergolakan sekarang.

Namun Afghanistan suatu masa dulu pernah menjadi tarikan pelancong yang tidak pernah putus saban tahun untuk menyaksikan keindahan rantaian pemandangan yang memukau serta khazanah arkeologi peninggalan sejarah.

Bamiyan, misalnya sebuah kawasan lembah yang aman dan mendamaikan di tengah Afghanistan menjanjikan pemandangan penuh eksotik.

Selain memiliki koleksi tapak warisan dunia, termasuk sisa kota Buddha gergasi yang dibom Taliban pada 2001, Bamiyan juga memiliki kawasan air terjun yang dihiasi dengan tasik yang indah yang mana ia diisytiharkan sebagai taman negara pertama Afghanistan, April lalu.

Satu-satunya perhubungan untuk ke Bamiyan melalui jalan darat.

“Bamiyan ialah tempat yang amat terkenal,” kata Najibullah Ahrai, ketua penerangan dan kebudayaan wilayah terbabit, mengenai wilayah yang menempatkan peninggalan purba Buddha yang dibina ketika zaman Kushan pada kurun kelima itu.

Pada masa ini, kawasan itu hanya mempunyai dua hotel dengan satu daripadanya diusahakan seorang wartawan Jepun yang pertama kali ke Afghanistan pada 1990-an.

Satu-satunya perhubungan ke Bamiyan ialah melalui jalan darat sejauh kurang 200 kilometer dari Kabul atau kira-kira sembilan jam perjalanan.

Bagaimanapun, kebanyakan kawasan peninggalan sejarah yang menjadi tarikan pelancong itu akan menyambut anda dengan tanda amaran periuk api dan laluan yang selamat ditandakan pasukan pencegah periuk api dengan batu merah dan putih.

Rumah gua yang didiami penduduk di wilayah Bamiyan menjadi tarikan pelancong ke Afghanistan.

“Kami mempunyai banyak kawasan bersejarah yang dapat menarik ramai pelancong ke Bamiyan tetapi elemen perkhidmatan dan penerangan masih lemah,” kata Amir Foladi, ketua Program eko-pelancongan Bamiyan.

Kawasan tanah yang tandus dan cuaca yang melampau menyebabkan Bamiyan tidak sesuai untuk aktiviti pertanian. Sehubungan itu, penduduk di sana mengharapkan kedatangan pelancong dapat memberi mereka mencari rezeki untuk bebas daripada belenggu kemiskinan.

Malah beberapa pertubuhan bantuan asing turut membantu penduduk tempatan mengatur strategi mewujudkan industri pelancongan di kawasan terbabit. New Zealand misalnya menyumbangkan sejumlah AS$1.2 juta (RM4.3 juta) bagi projek Foladi untuk tempoh tiga tahun.

Tujuannya ialah membantu membiayai rumah tamu kecil di sekitar wilayah itu, melatih kakitangan, menyediakan khidmat pemandu pelancong, menyediakan risalah pelancongan serta menarik pelancong melalui acara seperti pesta tahun baru penduduk Parsi.

Jalan di Bamiyan kini mula diturap menggantikan laluan berdebu yang mampu dapat menarik pelawat tempatan sebagai permulaan kepada industri pelancongan di wilayah terbabit.

“Apabila kami memiliki jalan berturap ia diharapkan mampu menarik ramai pelancong tempatan, cukuplah dulu sehingga keadaan keselamatan semakin pulih,” kata Foladi.

Kawasan itu pernah dikunjungi lebih 60,000 pelancong setahun sebelum perang di Afghanistan dan kira-kira separuh daripada jumlah itu pada 2005 ketika keadaan keselamatan baik, katanya.

Bagaimanapun kini hanya pelancong asing yang sukakan cabaran saja masih melawat Afghanistan dan menikmati keindahan dan keunikan Bamiyan.

“Saya amat berminat ke tempat yang sedikit berbeza,” kata seorang guru Britain, Toby Waterson yang melawat seorang rakannya yang bekerja dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di negara itu sebelum mengakhiri lawatannya ke utara negara itu yang lebih selamat.

Beliau tertarik dengan Afghanistan sehingga sanggup menangguhkan beberapa hari lagi kepulangannya semata-mata untuk lebih meneroka ke negara yang sedang dilanda perang itu.

Hakikatnya masih ada kawasan yang selamat untuk dilawati di Afghanistan terutama kepada mereka yang sukakan cabaran, keunikan kawasan bersejarah serta pergunungan yang indah.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: