Saturday, June 6, 2009

Khabir akui Mira cerewet


Mira
SELEPAS mencatat kejayaan manis menerusi filem Cinta dan Sepi, pasangan suami isteri juga pengarah dan penulis skrip, Kabir Bhatia dan Mira Mustaffa sekali lagi bergabung menghasilkan Nur Kasih.

SELEPAS mencatat kejayaan manis menerusi filem Cinta dan Sepi, pasangan suami isteri juga pengarah dan penulis skrip, Kabir Bhatia dan Mira Mustaffa sekali lagi bergabung menghasilkan Nur Kasih.

Sebelum ini Kabir dan Mira sering bekerjasama dalam menghasilkan drama diminati ramai seperti Mastura, Kekasihku Seru dan Front Page.

Ditemui di majlis pelancaran Nur Kasih, Khabir tidak menafikan keserasian menjadi kunci utama mengapa dia sering bekerjasama dengan isteri sendiri.

Lebih menarik apabila pasangan ini berani mencuba dengan mengetengahkan tema atau konsep berbeza dalam setiap produksi dihasilkan.

Selaku pengarah, Kabir cuba memberikan sentuhan berbeza dari sudut penggambaran dengan penekanan diberikan kepada sinematografi. Bagi memastikan cerita ditampilkan bertambah menarik penggambaran Nur Kasih turut dijalankan di Sydney, Australia dan Jordan.

Bekerja dengan Mira, bagaimanapun jelas Kabir tidak mudah terutama apabila isterinya itu mempunyai sikap terlalu cerewet dan teliti terhadap skrip yang dihasilkan.

"Ada ketika selaku pengarah saya pening dengan Mira kerana terpaksa menunggu lama untuk dia melepaskan skripnya kepada saya.

"Satu perkara mengenai Mira, jika dia berasa tidak puas hati dengan jalan cerita atau berasakan ia tidak mempunyai jiwa selagi itulah dia akan simpan skripnya.

"Kadang-kadang apabila sudah sampai ke lokasi pun dia masih sempat mengubah babak jika dia berasakan idea diperoleh pada saat akhir jauh lebih menarik," katanya.



Bercerita mengenai keputusannya membawa Nur Kasih menjalani penggambaran di luar negara, jelas Khabir ia perlu kerana mahu karya terbarunya itu berbeza dengan drama dihasilkan sebelum ini



"Untuk Nur Kasih penggambaran di luar negara penting kerana ia dapat menghidupkan lagi penghayatan karakter. Kami menggunakan Sydney sebagai lokasi dan ternyata ia mempengaruhi suasana dan penghayatan pelakon. Apabila ditonton kembali babak yang kami rakamkan ternyata ia benar-benar hidup.

"Begitu juga dengan babak Aidil yang melanjutkan pelajaran dalam bidang keagamaan di Jeddah dan Madinah. Penggambarannya akan dilakukan di Jordan pada 6 Jun ini.

"Mengikut perancangan awal produksi Filmscape mahu membuat penggambaran di Tanah Suci, tetapi selepas mendapat maklum balas mengenai kepayahan bakal kami hadapi sekiranya ia dilakukan di sana, jadi kami mengambil jalan selamat dengan menukar lokasi di saat akhir.

"Begitupun kami ada gambar yang diberikan kerajaan Arab Saudi yang boleh digunakan sebagai latar untuk Nur Kasih," katanya.

Menerusi Nur Kasih, Mira Mustafa cuba menampilkan konsep keislaman dengan jalan cerita berkisar kisah keluarga Ustaz Hassan lakonan Datuk Jalaluddin Hassan dan cinta tiga segi membabitkan anaknya iaitu Aidil (Fizz Fairuz), Adam (Remy Ishak) dengan Nur Amina dilakonkan pelakon baru, Tiz Zakiah.

Jelas Mira, dia senang jika Khabir mengarahkan skrip ditulisnya sendiri. Baginya hanya suaminya saja memahami apa yang cuba disampaikan kepada penonton.

"Pada saya perkara itu sangat penting. Ia juga pernah saya jelaskan sebelum ini. Kalau pengarah tidak faham akan skrip ditulis pasti maksud yang diterjemahkan ke layar tidak menjadi.

"Kali ini dalam merencanakan jalan cerita Nur Kasih untuk dialog saya dibantu Marina Hashim yang menjaga karektor Adam manakala Maizura Mohd Idris menulis untuk watak Aidil," katanya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: