Tuesday, June 2, 2009

Dengarnya...: Zahid buka kafe di Wangsa Maju


DALAM diam rupa-rupanya, kekasih hati Nita, Zahid tidak betah duduk diam demi memastikan kelangsungan hari mendatang. Cik Normah puji orang yang sentiasa memikirkan masa depan daripada asyik termenung mengenang nasib dan menyalahkan orang lain.

Setidak-tidaknya kalau suatu hari nanti Zahid terfikir untuk bersara di dalam bidang seni, dia masih ada ‘lubuk’ kewangan lain untuk dijana.

Selain mempunyai pusat asuhan kanak-kanak di Nilai, Negeri Sembilan yang diuruskan kakak Zahid sendiri, juara Akademi Fantasia musim kedua itu turut dalam proses membuka kafe yang diberi nama Studio Cafe.

Ia adalah projek bersama Zahid dan kawannya. Cik Normah diberitahu, nama Nita juga dicanang untuk menjadi rakan kongsi. Baguslah, Cik Normah tumpang gembira kalau teman yang lain bahagia.

Setakat ini 60 peratus projek kafe yang bakal beroperasi di Wangsa Maju itu sudah siap. Kalau jadi, mungkin sekitar Julai kafe itu akan beroperasi. Kafe itu ala premis Hard Rock Cafe dan Planet Hollywood yang menyediakan muzik dan makanan pada satu masa. Sambil menikmati hidangan makanan, pengunjung juga akan dihiburkan dengan persembahan band dan akustik.

Kisah yang Cik Normah dengar ini masih dalam perancangan. Cik Normah tak sabar tunggu bilakah ia akan menjadi kenyataan. Lagi satu, Cik Normah pun tengah tunggu khabar gembira Zahid akan menyunting Nita sebagai permaisuri hatinya. Jangan tunggu lama-lama Zahid, nanti dikebas orang!

Buat Zahid dan Nita Cik Normah doakan semoga terus sukses dalam apa juga yang direncanakan. Mengenai perkembangan seni, Cik Normah tak tahu apa kesudahan yang akan terjadi kepada Nita bersama syarikat rakaman Suria Record. Kasihan Cik Normah melihat status Nita yang bagaikan digantung tidak bertali. Bab Zahid dengan syarikat Astro Entertainment Sdn Bhd, Cik Normah tak berani nak komen. Cik Normah pun tidak tahu hujung pangkalnya.

No comments:

Post a Comment

Tinggalkan Komen Anda Sini: